Thursday 30 September 2010

HASRAT KECUNDANG

Hasrat saya untuk bersara sebagai seorang Ketua Polis Daerah atau Komandan Pusat Latihan Polis tidak kesampaian kerana bahagian perjawatan yang sengau sahaja akan membuat pertukaran terhadap seorang pegawai yang akan bersara pada 1 Februari 2011. Ingin bersara sebagai KPD atau Komandan bukan kerana pangkat yang dikejarkan tetapi jawatannya. Tiada gunanya pangkat besar tetapi tiada kuasa membuat keputusan atau lebih teruk lagi, takut membuat keputusan. Of course, lebih gahlah sikit kalau bersara sebagai Assisten Komisioner Polis atau lebih sombong lagi seperti beberapa orang squad mate yang akan bersara sebagai Komisioner Polis atau Deputi Komisioner Polis dan dengan gelaran Dato’, lagi. Paling koman pun, akan ada 2-3 buah public listed companies yang akan jemput mereka jadi ahli lembaga pengarah syarikat dengan elaun paling sengkek sebanyak RM 3,000 sebulan. Tak perlu pegang senapang patah jaga bank. Hanya hadir mesyuarat lebih kurang 3 hingga 4 kali setahun dan sain apa aje surat yang ditonyoh oleh setiausaha syarikat kepada anda, buta-buta dapat RM 9,000 sebulan. Lainlah superintendent polis pencen macam saya yang terpaksa ke hulu ke hilir minta kerja untuk tambah duit pencen.

Nak jadi OCPD atau Komandan Pusat Latihan tu, bukan apa. Memegang command post ni, kita ada authority untuk melaksanakan impian-impian murni kita untuk memertabatkan PDRM. Budak-budak polis dalam daerah saya akan tersengeh aje 24 jam sehari dan akan memberi salam terlebih dahulu kepada siapa sahaja yang mereka temui sewaktu bertugas. “Tegas Tapi Peramah” akan menjadi moto daerah polis di bawah jagaan saya. Mangsa akan tidak sabar-sabar untuk menemui pegawai dan anggota saya kerana mereka (mangsa) akan menganggap polis sebagai kawan. Dalam masa yang sama, segala taukeh ekor, taukeh jalang dan pegawai polis yang korup akan berpindah ke daerah polis lain untuk cari makan. Yang pastinya, kalau ada majlis-majlis polis di daerah saya, tak berapa galmourlah sikit kerana tiada tajaan.

Kalau jadi komandan pulak, impian saya adalah untuk menyediakan 1 loceng besar di padang kawad pusat latihan, ala American Navy SEALS (komando laut US). Sesiapa sahaja pelatih yang tidak tahan dengan regim latihan saya, akan membunyikan loceng tersebut dan keesokkan harinya, adjutant saya akan menyediakan surat letak jawatan mereka. Sasaran saya ialah 5 perletakkan jawatan sebulan bagi setiap 100 pelatih kerana hanya pegawai dan anggota yang tak hangus dek api, tak basah dek hujan, tidak rebah dilanda taufan, bersemangat “mujur lalu melintang patah” tetapi sentiasa tersenyum, sahaja yang akan dikeluarkan oleh pusat latihan saya. Dalam situasi sekarang, di mana haruan makan anak, anak sembelih bapak, emak buang anak, orang makan orang dan penyangak jadi peguam dan pemimpin negara, rakyat memerlukan satu pasukan polis yang berjiwa kental, bekerja untuk rakyat bukan untuk political mileage sendiri dan takut kepada Allah (bukan manusia) sahaja.

Bukan tak mohon untuk diberi peluang tunjuk taring sebagai KPD atau Komandan Pusat Latihan tetapi besar kemungkinan ada hamba Allah di Bukit Aman yang kesian kat saya. Mereka bimbang agaknya, kalau-kalau saya ditimpa berkoyan-koyan surat tohmahan sehingga tak sempat bersara jika dilantik sebagai KPD atau Komandan..

Sebut pasal bersara ni, Tan Sri Musa dah pun tamat kontraknya sebagai Ketua Polis Negara. PDRM mempunyai KPN dan T/KPN yang baru sementara pada pertengahan bulan Oktober ini, giliran Pengarah Pengurusan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil pula meninggalkan PDRM buat selama-lamanya. Enam bulan pertama 2011 pula, akan melihat ramai lagi muka-muka baru menganggotai barisan 10 orang pemimpin tertinggi PDRM, yang akan menentukan jatuh bangunnya pasukan.

Saya telah ditanya oleh rakan, sahabat dan taulan. Apakah akan ada perubahan pada pasukan dengan adanya muka-muka baru untuk menerajui PDRM? Jawapan saya mudah. Bertambah baik, belum nampak lagi cahayanya di hujung terowong. Yang menakutkan saya ialah possibility pasukan menjadi lebih teruk dari sekarang, bukan sesuatu yang mustahil.

Salam sayang dari Uncle B, yang percaya bahawa membuang anak pokok yang tidak sihat daripada ladang tidak akan menyelesaikan masalah tanaman berpenyakit kecuali ladang itu sendiri yang dibersihkan.

Byeeee!!!!!

Tuesday 14 September 2010

SYNERGY DAN ORANG MELAYU

Hari Raya Aidil Fitri tahun ini, semacam aje malapnya daripada tahun-tahun yang lepas, walaupun untuk pancing undi, kerajaan BN telah memberi bonus hari raya sebanyak RM 500/- kepada semua kakitangan kerajaan termasuk semua pegawai Islam yang tidak berpuasa. Bunyi dum dam mercun dan percikan bunga api di langit malam, jauh berkurangan. Tak tahulah sama ada kerana pihak kastam dan polis bekerja keras untuk memastikan budak-budak dan bapa budak tak dapat bekalan mercun dan bunga api atau kerana JAKIM berjaya menyedarkan orang Melayu beragama Islam Malaysia bahawa bermain bunga api dan mercun di bulan Syawal adalah amalan yang unislamic. Bermaaf-maafan di pagi raya pun dah jadi perfunctory atau satu ritual sahaja tanpa sebarang keikhlasan di sebaliknyanya. Barangkali inilah harga yang perlu dibayar dalam kita merealisasikan Visi 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, 10 tahun dari sekarang.

Dalam mengharungi trafik jem gila sejauh 10 km kerana sebutir trafik light di jalan masuk ke pekan Gemenceh, dari Gemas, NS dan jem lagi di sepanjang lebuhraya berhampiran Senawang, menuju Kuala Lumpur, dicampor dengan perangai majoriti orang Malaysia yang memandu ibarat siamang bawa kereta, hampir gila saya dibuatnya. Dahlah bayar tol berpuluh ringgit , konon boleh licin perjalanan, akhirnya perjalanan 2 ½ jam dari Segamat ke Kuala Lumpur mengambil masa 4 ½ jam. Apa kejadah dah jadi dengan KPI dan initiatif NKRA Menteri Pengangkutan untuk memperkasakan pengangkutan awam. Yang aku tahu, tokel tol aje yang kaya raya, pasang lukah di jalanraya. Dalam jem-jem tu, aku sempat terfikir fasal kekuatan ekonomi orang Melayu. Nak pasang angan-angan fasal Maya Karin atau artis-artis lain yang dah janda, aku tak berani kerana bini ada sebelah.

Mengikut Kamus Dwibahasa Oxford Fajar, synergy adalah “kerjasama daripada 2 benda atau lebih untuk menghasilkan gabungan kesan yang lebih besar daripada kesan jika diasingkan”. Secara mudahnya, 2 + 2 = 5. Contohnya, jika 2 orang PAS dan 2 orang UMNO, masing-masing bersilat melawan 3 orang musuh secara berasingan, sukar untuk 2 tenaga PAS mengalahkan 3 tenaga musuh kerana 2 lawan 3. Begitu juga dengan 2 orang UMNO yang berhadapan dengan 3 orang musuh. Tetapi jika 2 orang PAS dan 2 orang UMNO tadi bergabung untuk melawan 6 orang musuh yang ada, synergy yang diterbitkan oleh gabungan ini, bukan lagi tenaga 4 orang dari UMNO dan PAS tetapi adalah tenaga yang melebihi 4 orang kerana kesan synergy tersebut.
Katakan rakyat Malaysia sekarang berjumlah 26 juta orang. 50% atau 13 juta orang daripada jumlah tersebut adalah orang melayu. Daripada jumlah 13 juta ini, kita kira cuma 1/3 atau seramai 4.3 juta sahaja orang melayu yang ada sumber pendapatan kerana 2/3 lagi, masih kanak-kanak atau tiada pekerjaan.

Dimisalkan orang melayu tiba-tiba jadi gila dan berpakat untuk bersatu padu. Pakat ramai-ramai untuk collect RM 1 sahaja, satu kepala, setiap bulan, daripada 4.3 juta orang melayu yang bekerja. Bermakna setiap bulan akan terkumpul RM 4.3 juta atau RM 51.6 juta setahun untuk menjana ekonomi orang melayu. Bayangkan. 1 orang melayu secara bersendirian mungkin mampu memiliki 1% saham sebuah syarikat gergasi asing. Sebaliknya jika orang melayu bersatu mengumpul modal, dengan modal terkumpul mungkin mampu memiliki 51% saham syarikat berkenaan, bukan atas nama individu melayu seperti yang terjadi sekarang tetapi atas nama bangsa melayu. Ini synergy.

Pastinya, atas nama orang melayu, sedikit demi sedikit, boleh tertubuh satu conglomerate atau sogososha melayu yang bertaraf gobal. Kemudian, dividen atau keuntungannya digunakan untuk memperhebatkan orang melayu dalam segala bidang. Ketika itu tidak perlulah orang melayu menghinakan diri menjadi pengemis di bumi sendiri dan berselindung di sebalik Dasar Ekonomi Baru atau apa-apa dasar bumiputera untuk mendapatkan sesuap nasi. Ini pernah berlaku di Turkey satu masa dulu apabila seorang ulama Islam berjaya mengumpulkan wang dari setiap rakyat Turkey untuk membangunkan sebuah kilang membuat fez (buka Wikipaedia kalau tak tahu apa kebendanya Fez) dan keuntungannya dikongsi bersama.

Tiba-tiba lamunan saya terbantut apabila tiba di rumah tol dan saya terpaksa mengeluarkan RM 20 untuk nikmat merangkak-rangkak dalam kesesakan lalu lintas untuk sampai ke tol Sg.Besi dari Segamat, Johor, sementara tokeh tol berseronok-seronok dengan isteri kedua, ketiga, mungkin keempat atau dengan kekasih gelap, hasil tol yang dikutip dari rakyat yang terperangkap di jalanraya untuk menyambut hari raya.

Aku terfikir, siapa yang nak laksanakan ide merapu aku ni. Nak suruh pihak berkuasa atau pemimpin-pemimpin melayu yang ada sekarang? Tak usah haraplah. Perabih harta benda orang melayu lagi ada seperti yang terjadi di Kampong Wadihana, Johor Bahru, Koridor Pembangunan Iskandar, Johor, yang merangkumi tanah reserve orang melayu yang telah dibeli oleh orang bukan melayu dan tak lama lagi Kampong Baru, Kuala Lumpur.
Kepada yang bertanya, “Kalau dah macam tu, macam mana nak buat?”, jawapan saya mudah. Tepuk dada tanya selera. Semuanya ditangan anda. Jika memilih musang untuk menjaga ayam, andalah orang melayu yang paling ngok di bumi bertuah ini.

Wassalam dari Uncle B, yang selalu bertanya diri sendiri, sampai bilakah orang melayu nak menyuruh penyangak menjaga rumah sendiri.
Calo!!!.

Wednesday 8 September 2010

ELEH! SEKARANG BARU NAK CAKAP

Majoriti akhbar negara pada 7hb September 2010, meletup-letup dengan pendedahan bakal mantan KPN bahawa sepanjang 41 tahun perkhidmatan dalam PDRM, yang paling mengecewakannya ialah campur tangan orang ketiga dalam urusan kepolisan. Media elektronik telah lebih awal menyiarkan berita gempak tetapi tidak menghairankan ini (kerana ianya berlaku di Malaysia) pada malam sebelumnya, 6 September 2010.

Dah menjadi macam satu trend pula nampaknya bagi pucuk pimpinan tertinggi PDRM membuat kenyataan akhbar atau mendedahkan, hanya di saat-saat akhir memegang pangkat dalam pasukan, bahawa mereka sering terbatas atau diganggu-gugat dalam melaksanakan tugas kerana faktor-faktor luaran seperti yang disebutkan oleh bakal mantan KPN. Imbas kembali kenyataan bekas Pengarah JSJ, Dato’ Salleh Mat Som bahawa nisbah pegawai penyiasat berbanding kertas siasatan (KS) adalah terlalu rendah untuk membolehkan siasatan dijalankan dengan teliti, cepat dan berkesan iaitu 1 pegawai penyiasat untuk 15 KS berbanding yang sepatutnya iaitu 1 pegawai penyiasat untuk 5 KS sebulan. Atau kelohan mantan KP KL, Dato’ Syed Rahman bahawa PDRM tidak diberi sokongan logistik yang sewajarnya untuk melaksanakan tugas dengan lebih berkesan. Kenapa dah nak pencen baru nak bersuara?

Mungkin pandangan seorang Inspektor JSJK Bukit Aman mengapa ini berlaku, ada kebenarannya. Barangkali ada kepentingan–kepentingan peribadi yang boleh tergugat dan perlu dilindungi jika terlalu vokal semasa dalam perkhidmatan. Bimbang tentang kemajuan kerjaya agaknya atau gelaran dan tidak mustahil untuk memastikan sentiasa berada dalam good books “pemerintah” selepas bersara. Mana tahu, boleh dilantik jadi ahli Lembaga Pengarah GLC. Tapi ini semua andaian sahaja. Entah tepat entahkan tersasar. Hanya Allah dan empunya badan sahaja yang tahu.

Syukur Alhamdullillah, dalam kapasiti saya sebagai warga kerdil PDRM yang banyak kekurangannya, saya tidak pernah lari daripada menzahirkan apa yang terpendam dalam dada atau menyuarakan pandangan rakan-rakan seperjuangan yang bimbang digam jika bercakap. Isu Tan Sri Jaafar (ketika itu T/KPN) ke pejabat dengan half uniform, yang saya bentangkan semasa mesyuarat agung Persatuan Inspektor, sehingga saya dijemput oleh Urusetia TataTertib Bukit Aman untuk dinasihati supaya menutup mulut di masa-masa akan datang. Hal ketidak boleh percayaan Koperasi Polis untuk dilantik sebagai fund manager pelaburan duit ahli Mes Pegawai Kanan PDRM (MPKPDRM) dalam Mesyuarat Agung Khas MPKPDRM untuk mendapatkan kelulusan ahli, melaburkan duit ahli mes yang ketika itu berjumlah RM 1.5 juta dalam Bursa Saham Malaysia. Mesyuarat Khas ini dipengerusikan oleh Tan Sri Rahim Noor.

Mengambil masa 4 jam bertikam lidah secara sopan dengan T/PJSJ I (ketika itu Dato’ Jamil Johari) untuk menyakinkan beliau bahawa cadangan beliau untuk mengambil tindakan di bawah Ordinan Darurat 5/69 terhadap 2 orang inspektor (sekarang dah Supt dan ACP pun) dan 6 orang APR kerana rasuah adalah bercanggah dengan peruntukkan Ordinan berkenaan. Di akhir 4 jam, saya diarah merujuk kes kepada Senior Federal Counsel KDN yang akhirnya bersetuju dengan rumusan saya. Masih ingat tak saya “menghentam” Tun Haniff dalam akhbar Utusan Malaysia secara terbuka, apabila beliau celupar mengatakan 40% daripada pegawai PDRM kaki rasuah. Saya berani ke depan untuk membela PDRM walaupun PDRM menikus. Banyak lagi boleh cerita tapi bimbang you all kata saya “naik lift, sendiri tekan butang” pulak.

Walaupun sedar “keterlanjuran” saya itu boleh memudaratkan diri sendiri, saya tetap melakukannya kerana arwah datuk mengajar saya, bahawa sebagai seorang pemimpin walau pemimpin kecil sekali pun, saya perlu loyal atau taat setia kepada objektif organisasi saya dan bukan kepada kepentingan diri sendiri atau pemimpin-pemimpin organisasi.

Sebagai perbandingan, apa kata saya bawa tuan-tuan kepada muka depan akhbar The New Straits Times suatu masa dahulu, yang menyiarkan kenyataan Ketua Turus Tentera Udara ketika itu (tidak ingat siapa tetapi selepas Dato’ Sulaiman Sujak) yang masih ada 2-3 tahun untuk berkhidmat bahawa jangan salahkan TUDM jika ruang udara Malaysia dicerobohi oleh musuh kerana Kementerian Kewangan enggan membekalkan Air Defence Radar yang canggih kepada TUDM. Tidak sampai setahun selepas itu, kabinet meluluskan pembelian radar yang dikehendaki. Dan Ketua Turus Tentera Udara tersebut pun bersara apabila cukup masa tanpa diberi kontrak untuk sambung perkhidmatan. Hah! ini baru betul, baru lah gua respek sama lu.

Sehingga jumpa lagi, satu pesanan dari Uncle B, “Lebih baik mencakar semasa masih berkuku daripada mengaum apabila taring dah hilang”.
Ta!Ta!

Monday 6 September 2010

HADIR KERANA IKLAS, HADIR KERANA PAKSA

Habis simpang-perenang perancangan cuti raya pegawai, anggota dan kakitangan awam PDRM kali ini. 8hb Sept 2010 ada mess night di KLCC dan 12hb Sept ada perbarisan. Kedua-duanya kerana tamat kontrak (bukan persaraan) Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara.

Ada dua perayaan keugamaan yang dianggap penting oleh umat Islam Malaysia iaitu sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Lazimnya Aidil Fitri akan diberi keutamaan dan disambut dengan lebih meriah kerana inilah satu-satunya peluang untuk semua ahli keluarga berkumpul dan bermaaf-maafan antara satu sama lain. Bagi warga PDRM, terutama yang kampongnya jauh dari tempat bertugas, mungkin inilah sekali dalam setahun untuk berjumpa dengan orang tua yang masih ada. Cuti raya dah mohon awal-awal lagi sebelum pengumuman mengejut dibuat, KPN tidak disambungkan kontrak. Tup-tup!, ramai warga PDRM yang diarahkan untuk menghadiri majlis/upacara tersebut.

Bagi suami isteri yang pasangan masing-masing berasal dari kampung yang sama atau berdekatan, berhari raya di kampong tidak menjadi masalah. Sekali jalan, sekali belanja, dapat beraya sekaligus di rumah ibu bapa sendiri dan rumah mertua. Bagaimana dengan mereka yang seorang berasal dari Kelantan dan seorang dari Johor. Bukan setakat 2 kali perjalanan dan 2 kali belanja, cuti raya pun kena panjang-panjang. Tidak boleh cuti main-main sehari dua sahaja. Jadi kalau dah hari raya ketiga kena balik KL untuk tunjuk muka dalam majlis-majlis yang saya sebutkan tadi, macam mana cerita? Jawabnya kena 3 kali perjalanan dan 3 kali belanjalah.

Saya tidak berhajat untuk berdebat mengenai patut atau tak patutnya majlis-majlis tersebut diadakan. Tidak ada hasilnya. Cuma terfikir aje. Tak boleh ke tangguh majlis tersebut atau dibuat dalam skala yang lebih kecil sahaja dimana warga PDRM yang kampung mereka di sekitar Lembah Kelang dapat menghadirkan diri. Hairan juga, bagaimana sambutan Hari Kemerdekaan kita yang ke 53 tahun, boleh diadakan dengan skala yang jauh lebih kecil di Stadium Bukit Jalil berbanding jika Hari Merdeka jatuh pada hari biasa.

Berkorban kerana benar-benar tugas, no hal, tapi kalau kerana majlis-majlis yang macam ni, entahlah. Yang susahnya dalam PDRM ini, pengurusan majlis perkhawinan anak bos pun dianggap tugas. Ini bukan masalah kita kena berkorban sekali dalam perkhidmatan, kerana semangat setiakawan atau apa-apa juga alasan yang sewaktu dengannya. Berkorban tidak dapat berhari raya kerana tugas bukan perkara baru bagi warga PDRM kecuali mungkin bagi mereka yang tidak pernah bertugas dalam Pasukan Polis Hutan (sekarang PGA), Trafik, Polis Marin, jadi pegawai penyiasat atau bertugas di balai-balai. Bukan nak ekk tetapi saya sendiri, cuma berhari raya di udara sahaja yang belum, yang lain semua dah dilalui termasuk sembahyang raya di luar negara kerana tugas. So, tolonglah janganlah beri alasan korban-korban ni kerana saya sendiri dah jeran dikorbankan oleh pasukan.

Hingga ketemu lagi, Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir & Bathin yang ikhlas (bukan rutin punya mohon maaf) dari Uncle B, yang dah tak tahan asyik berkorban dan dikorbankan aje.

Wednesday 1 September 2010


Sepanjang 34 tahun perkhidmatan saya dalam PDRM yang hanya tinggal 6 bulan ke garisan penamatnya (sebelum ditolak baki cuti 67 + 13 hari), dilema yang sering dihadapi semasa bertugas ialah sama ada hendak kerja rajin atau tidak. Lebih tepat, sama ada mahu masukkan jiwa dan raga dalam melaksanakan sesuatu tugas atau sekadar melepaskan batuk ditangga sahaja.

Untungnya buat kerja stail asal siap ialah bos akan kata kerja kita tidak memuaskan dan selepas itu bos akan jeran untuk mengarahkan kita buat kerja lagi, terutama kerja-kerja penting yang boleh menjejaskan imej cawangan di mana anda berkhidmat maupun nama baik bos sendiri sebagai ketua anda. Jadi bolehlah kita duduk rehat dan makan gaji buta sahaja. Ada orang kata, kalau gagal menunjukkan kecermelangan kerja, bagaimana nak naik pangkat? Betul ke dalam PDRM kalau setiap kerja yang dihasilkan mencapai piawaian kebangsaan atau antarabangsa, anda boleh naik pangkat 2 kali setahun atau ada elemen-elemen lain seperti kebolehan kipas-mengipas dan kemahiran angguk-angguk yang diambil kira? Cuba jawab soalan secara jujur dan ikhlas dan bukan untuk kepentingan politik.

Tidak ada salahnya kita menghasilkan kerja yang excellent tetapi dalam realiti budaya kerja organisasi kita, adakah ianya berbaloi? Menghasilkan kerja yang bermutu bukan senang. Anda perlu mencurahkan jiwa, raga, masa dan memerah otak untuk menghasilkannya. Katakan anda begitu dipercayai sehinggakan titah Sultan kepada Rotary Club negeri pun anda sediakan, kertas kerja bos untuk seminar jenayah FBI di luar negara, anda yang siapkan atau pun Vice Chancellor UITM pun kagum dengan hasil kerja anda. Apa perasaan anda, jika penyudahnya, ganjaran yang diterima ialah “Lembu punya susu, sapi dapat nama” atau seperti kata Det.Kpl Chew (sekarang D/SI) semasa kami di JSJ D7 Bukit Aman, satu masa dulu, “Tuan gali perigi, orang lain minum airnya”. Tidak dinafikan memang ada bos yang akan mendedahkan kepada pucuk pimpinan bahawa andalah author atau originator sesuatu kerja tetapi bos jenis ini, bak kata P.Ramlee, hanya kadang – kadang, kita jumpa.

Ini yang susahnya, kalau ikut hati mahu aje buat kerja asal siap. Main buat aje. Malang bagi jenis manusia yang take pride in whatever they do atau jenis yang merasa bertanggungjawab ke atas hasil kerja anda ianya adalah cermin kepada keperibadian diri, anda akan merasa malu yang teramat sangat untuk menghasilkan kerja cincai. So, walaupun pangkat terkemut-kemut nak naik, kerja-kerja tetap dibebankan kepada anda sebab anda segan untuk menghasilkan sub standard work. Hasilnya, sebagaimana kata seorang ACP yang marah saya cadangkan namanya untuk jadi AJK MS ISO 9001:2008, PDRM kerana pengalaman dan kepakaran beliau dalam bidang tersebut, kita akan jadi keldai. Berapa jauh dan berat sekali pun beban yang kita tanggung, kita akan tetap jadi keldai, tak boleh jadi orang punya.

Message penting yang ingin saya sampaikan kepada adik-adik inspekter atau ASP dalam nukilan di atas, amat mudah. Jika anda ingin naik pangkat setahun sekali tetapi malas nak perah-perah otak, bodek bos, angguk kepala dan suruh keldai-keldai yang ada untuk buat kerja anda. Takkan bos nak percaya keldai pandai buat kerja kan? Jadi nama anda akan terkenal seantero PDRM sebagai ketua yang pandai memimpin dan mengarah anak buah dan tup-tup anda akan naik pangkat sebegitu cepat sehingga termengah-mengah anda dibuatnya. Tentang keldai tu senang aje. Bagi dia rumput dan air mineral, happylah keldai tu.

Sehingga jumpa lagi, selamat mengdelegatekan kerja anda, daripada Uncle B, yang tak mahu berkaraoke kalau tone dan pitch lintang pukang entah ke mana. Something worth doing is worth doing well. Jadi kalau suara, pitch dan tone macam katak puru mengawan, rentikanlah menyanyi.
Ta!Ta!