Wednesday, 30 December 2009

15 PERKARA YANG MENGUNDANG BALA


Ini adalah blog terakhir saya bagi tahun Masehi 2009 dan yang pertama bagi tahun Hijrah 1431 yang telah pun 13 hari berlalu. Terlebih dahulu a thousand apologies kepada mereka yang sudi menjengah blog saya tetapi mendapati bahawa akhir-akhir ini penulisan saya agak erratic, kadang-kala sampai 10 hari, baru ada posting baru. Saya tidak dapat menawarkan sebarang alasan mengapa jadi demikian tetapi InsyaAllah dengan kehadiran 2010, things will change. At least for KACA MATA KU.

No komen dari saya mengenai perkembangan sosial, politik atau atau PDRM. Kadang-kadang buat sakit hati aje memberi pandangan atau mengajak orang kita berfikir. Sama ada mereka boleh memandang tetapi enggan melihat atau mereka takut sakit kepala jika terlalu banyak berfikir. Sebab itulah wujud pepatah Inggeris yang berbunyi ”All It Takes For Evil To Run The World Is For One Good Man To Remain Silent”. Agaknya moto orang kita ialah, ”Lantaklah deme, apa nak jadi jadilah, asalkan teman tak kena, udah”. Baguslah itu. Izinkan saya memetik satu artikel yang dikeluarkan dalam akhbar mingguan I LUV ISLAM Edisi Pengenalan di mukasurat 27.

Maksud Hadis : Daripada Ali Bin Abi Thalib r.a, diriwayatkan oleh Termizi, Rasullulah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Apabila umat ku telah membuat 15 perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka, iaitu:
· Apabila harta negara hanya beredar kepada orang-orang tertentu
· Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan
· Zakat dijadikan hutang
· Suami yang menurut kehendak isteri
· Anak derhaka kepada ibunya
· Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya
· Ia suka menjauhkan diri dari ayahnya
· Suara sudah ditinggikan di dalam masjid
· Yang menjadi ketua satu kaum adalah yang terhina di antara mereka
· Seseorang yang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya
· Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat
· Kain sutera sudah banyak dipakai (oleh kaum lelaki)
· Golongan artis disanjung (menjadi pujaan)
· Muzik banyak dimainkankan
· Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat)

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi ataupun mereka akan diubah menjadi makluk yang lain”

Telah berlakukah 15 perkara ini di Malaysia? Meh! biar kita benar kepada diri sendiri. Amati dengan jujur apa yang sedang berlaku di sekeliling anda, jawapannya ada di depan mata. Saya tidak hairan jika Malaysia menghadapi bencana lepas satu bencana. Jenayah makin meningkat. Cuaca tak menentu. Politikus bercakaran berebut laba bukan membela rakyat. Ilmu telah padam oleh Akademi Fantasi, Mentor, Malaysian Idol dan entah apa-apa lagi rancangan melalak di TV. Harga barang makin meningkat, Cukai GST menunggu. Negara dah papa kedana. Ini bukan bala ke?

Hingga bertemu pada minggu pertama 2010, salam dari Uncle B yang teringat tentang bala-bala yang Allah turunkan kepada umat-umat di zaman nabi-nabi kerana keengkaran mereka kepada Allah.

Tuesday, 22 December 2009

PENCEN 60

Khabar angin tersebar luas bahawa kerajaan akan melanjutkan umur persaraan wajib kepada 60 tahun. Cuma tarikh cut off nya sahaja yang belum ditentukan. Sama ada maklumat ini bertaraf C3, khabar angin atau berita radio karat, saya tidak dapat pastikan.

Ada cakap-cakap, usia bersara wajib dinaikkan kerana negara dah pokai, dah papa cuma belum kedana sahaja lagi dan oleh itu tidak berduit untuk bayar gratuiti kepada pegawai yang akan bersara apabila mencapai umur 58 tahun. Ada juga cerita yang kerajaan ragu-ragu terhadap kesetiaan pegawai-pegawai muda kerajaan yang akan menggantikan tempat orang lama yang akan bersara. Orang lama dilihat sebagai penjaga status quo dan oleh itu lebih bersimpati terhadap kelentong kerajaan. Yang muda pula dilihat lebih kritikal terhadap pengurusan kerajaan oleh kabinet sekarang. Kerajaan bimbang agaknya, pegawai-pegawai muda ini akan meracuni minda masyarakat dengan fakta-fakta yang disorokkan sehingga boleh memudaratkan kerajaan sekarang dalam PRU ke 13 nanti. Sama ada gosip-gosip ini berasas, wallahhuallam tetapi persoalan yang perlu saya jawab ialah, sama ada saya patut membuat pilihan untuk bersara pada umur 60 tahun.
Berdasarkan keadaan PDRM sekarang dan ramalan saya mengenai suasana kerja dalam pasukan di hari-hari muka menjelang saya bersara pada umur 60 tahun, saya gagal mencari alasan-alasan yang kukuh lagi konkrit untuk saya menyiksa diri selama 2 tahun lagi. Cukuplah sampai di sini sayang.

Tak perlu saya jelaskan dengan panjang lebar mengapa timbul 99% kemungkinan saya tak tergamak memakai uniform biru untuk tempoh 3 tahun lagi. Apa pun yang akan saya perkatakan akan diremehkan sebagai cakap-cakap seorang pessimist yang sememang hobinya mencari salah sahaja. Lebih menyakinkan jika anda bertanya kepada sahabat handai dan rakan taulan anda yang sedang berkhidmat dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia keadaan dalam PDRM sekarang.

Saya cuma terfikir. Kalau selepas 202 tahun pengalaman mengurus keselamatan dan ketenteraman awam negara, PDRM boleh berada dalam keadaan sekarang, apa jenis penambahbaikan dan perkasaan yang diharapkan dalam tempoh 3 tahun lagi. Entahlah!

Hingga jumpa lagi, tepok dada tanya selera dan buatlah pilihan yang terbaik buat diri anda, dari Uncle B, yang mesti tangkap lentok, sayu dan sebak dada apabila mendengar lagu Kris Dayanti, Menghitung Hari.

Friday, 11 December 2009

MENJUAL AIR BATU KEPADA ORANG ESKIMO

Sekitar tahun 1976, saya mengikuti satu kumpulan T. Dalam satu sessi penghayatan, guru kami memaklumkan, yang malam sebelumnya, beliau telah menghabiskan masa satu jam lebih di night club, Hotel Mecinta, Johor Bahru. Time tu night club Hotel Mecinta ini kira famous sebagai tempat relax, mabuk-mabuk dan yang bestnya ada tarian bogel. Pengunjungnya ramai juga orang Melayu berugama Islam. Semasa di sana, beliau berjubah dan berserban dan minum fresh orange sahaja.

“Kehadiran saya di sana, walaupun tanpa berkhutbah kepada sesiapa, sudah cukup untuk mengingatkan sekurang-kurangnya 1 pengunjung melayu, yang dirinya (pengunjung melayu) juga seorang muslim. Mungkin sebelum saya masuk, hamba Allah tadi sedang mengangkat segelas bir ke bibirnya tetapi apabila terlihat saya masuk, hamba Allah tadi meletakkan semula gelasnya kerana tiba-tiba tersedar yang dia seorang Muslim . Dalam keadaan ini, saya telah berdakwah”. Begitu penjelasan guru kepada kami yang tertanya-tanya, adakah wajar seorang warak seperti beliau pergi ke sarang maksiat seperti itu.

Pagi tadi, 8 Dis 2009, di akhbar SINAR, saya terbaca polemik tentang patut atau tidak patut cadangan bekas mufti Perlis, Dr. Asri, untuk turun padang, ke disco-disco dan tempat-tempat pencetus maksiat yang seumpamanya untuk berdakwah. Seperti juga usaha menjahanamkan Nik Aziz dan PAS, saya percaya polemik pendakwah turun padang ini akan berterusan. Dan seperti lazimnya, oleh kerana beliau bukan ustaz gomen, Dr. Asri akan dibelasah hingga ¾ nyawa oleh makhluk-makhluk yang menyempitkan dan tidak rela Islam berkembang kecuali di bawah kepimpinan mereka sahaja yang kononnya bertauliah untuk bercakap tentang Islam.

Dalam kehidupan sehingga ke hari ini. tidak kurang 3 kali saya telah didatangi oleh kumpulan Tabligh ketika saya berada di rumah. Mereka datang selepas waktu Asar, dalam kumpulan 4 hingga 6 orang, dengan jubah yang tak berapa nak putih, janggut tak terjaga dan berselipar jepun, menjemput saya ke masjid atau surau berhampiran untuk maghrib berjemaah sambil berkhutbah sedikit. Sebelum sempat mereka berkhutbah panjang di depan pintu rumah, saya akan mencelah.

”Saudara-saudara, jika saya berada dengan keluarga di rumah waktu asar pada hujong minggu begini, bermakna saya bukan berada di lorong Belakang Mati ketika ini. Jadi saudara-saudara salah sasaran dan buang masa nak berdakwah kepada saya. Apa kata saudara-saudara pergi ke disco-disco, kelab malam, sarang pelacuran, ajak saudara Islam kita yang berkunjung ke sana untuk balik ke rumah, Saya rasa mereka lebih hilang arah dari saya. Tarbiahkan mereka dahulu bukan saya”.

Kata saya lagi, ”Saya tidak yakin ketrampilan saudara-saudara sekarang adalah sebagaimana ketrampilan seorang muslim yang digambarkan oleh junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. Cara saudara-saudara menampilkan diri tidak lansong mencerminkan seruan azan, ”Marilah kita Menuju Kejayaan”. Lazimnya mereka akan terkedu dan berlalu.

Bagi saya yang dangkal ilmu agama, berdakwah bertujuan mengajak orang ke jalan yang benar. Jadi apa kejadahnya berdakwah di masjid, surau atau di dewan-dewan kerana kaki clubbing tidak akan berada di majlis agama. Yang sanggup mendengar ceramah ugama adalah mereka yang sedang mencari jalan yang lurus. Saya cetek ilmu ugama dan oleh itu tidak layak berdakwah. Sedihnya, penghayatan Islam hari ini dah tidak ada bezanya dengan cara orang Christian menghayati ugama mereka. Lebih form dari substance. Rituals keugamaan di pentingkan. Lebih theory dari praktiknya. Baca doa sebelum majlis, buat kenduri kendara, doa selamat, dll, tetapi keperibadian dan perlakuan lansung tidak mencerminkan adab seorang Muslim. Pernahkah anda memberhentikan kereta di tepi jalan dan meminjam gergaji untuk memotong pokok getah yang tumbang menghalang sebelah jalan supaya orang yang berikutnya tiada halangan dalam perjalanan mereka. Ini perlakuan seorang muslim. Buat kerana Allah s.n.w. dan bukan bercakap untuk menang undi.

Apa kaitannya cerita-cerita di atas dengan cadangan Dr. Asri untuk berdakwah di disco-disco dan tempat-tempat pencetus maksiat yang seumpamanya?. Lu fikirlah sendiri.

Salam dan jumpa lagi dari Uncle B yang percaya ianya adalah satu kerja kurang siuman, menjual peti sejuk di Khutub Utara.

Saturday, 5 December 2009

KATA DULANG PAKU SEREPEH

Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk tidak memberi pandangan seposen saya mengenai situasi politik negara. Buat perabih beras aje. Pertama, saya bukan bekas PM atau tokoh-tokoh ternama, jadi jarang-jarang dan kadang-kadang sahaja orang akan termelawat laman blog saya. Kedua, pandangan saya hanya pandangan orang sekolah atap sahaja, bukan pandangan seorang intellektual yang boleh dibuat iktibar. Ketiga, orang Malaysia terutama orang melayu, jenis mudah lupa dan mudah digula-gulakan. Jadi, walaupun nampak keburukkan di depan mata yang dilakukan oleh mereka yang diamanahkan, walaupun dilonggokkan depan mata kepincangan-keincangan yang berlaku, orang melayu akan mudah menutup mata, memekakkan telinga dan mengunci mulut dari berkata-kata, hanya dengan retorik bahawa apa yang dilakukan oleh kaum yang diberi amanah adalah semata-mata untuk bangsa, negara dan agama.

Saya terpaksa langgar pantang kerana akhir-akhir ini serangan terhadap kepimpinan dan pentadbiran negeri yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan PKR, terutama serangan peribadi terhadap Nik Aziz, oleh mereka yang berkepentingan telah mencapai tahap melampau. Bukan tempat saya untuk komen sama ada serangan-serangan tersebut berasas atau tidak. Saya hanya mempersoalkan double standard yang diamalkan oleh mereka yang melancarkan serangan dan media massa yang melaporkannya dengan begitu ghairah sekali.

Adakah selama ini, pihak yang lagi satu itu (penyerang/yang berkepentingan) maksum? Apakah mereka tak pernah melawat anak di luar negara guna duit rakyat, tak pernah menerima satu sen pun komisen kerana sebarang pembelian, perolehan atau projek pembangunan kerajaan, tak pernah mendapatkan sponsorship untuk bawa 14 wakil rakyat melawat Taiwan, tak pernah cuit punggung waitress, ada affairs, ada perempuan simpanan atau kebas bini orang dan lain-lain lagi cacat cela. Bagaimana dengan budak negeri sembilan yang naik tocang apabila bapa mertuanya jadi orang pertama negara. Kenapa tiada seekor pun yang berani bersuara.

Kalau kumpulan yang menyerang pembangkang dan Nik Aziz, tiada sekelumit pun kudis dikaki, Alhamdullillah, saya bersyukur ke hadrat Allah s.n.w. kerana negara kita dipimpin oleh mereka yang tinggi budi pekertinya, yang luhur budi dan kepimpinan mereka, segandingan dengan khalifah-khalifah Islam kita yang empat.

Betul-betul cakaplah. Apakah motif sebenarnya NIk Aziz diserang. Kerana rakyat didahulukan atau bimbang rakyat termasuk yang bukan Islam akan mendahulukan Nik Aziz untuk memerintah negara. Cuba renungkan,

Salam dari Uncle B, yang rasanya tak tergamak nak terus berkhidmat dalam PDRM, jika umur bersara dilanjutkan ke 60 tahun.

Saturday, 28 November 2009

ORANG BUKAN ORANG


Petang 27/11/09 lebih kurang jam 7:45 malam saya berlepas balik ke rumah keluarga di Kampong Bukit Pupok, KM 8, Jalan Muar, Segamat, Johor. Memang jadual bulanan menziarah ibu yang telah pun berumur 80 tahun. Kebetulan sambutan Hari Raya Eidil Adha. Ayah telah meninggal dunia 6 tahun yang lalu.

Saya nak tanya. Adakah anda menziarah ibu bapa anda sebulan sekali atau anda terlalu sibuk dengan tugas negara. Yang jauh sangat perjalanannya, saya faham tetapi kalau yang setakat Melaka, apa alasan anda?

Malam tadi (27/11/09) semasa di kampong, saya tertengok drama Melayu di TV, “Taubat Nasuha”. Cerita fasal bapa yang bengkeng sangat dengan isteri dan 3 orang anaknya. Masa isteri dan anak-anak masih hidup, buat dek aje dengan family, mentelah ada awek kat ofis yang syok dengan husband ni. Bila anak dan isteri dibunuh semasa satu rompakan, baru menangis sakan dan bertaubat. Jalan cerita biasa-biasa aje. Yang menarik ialah ungkapan yang dipaparkan semasa ending creditsnya, “Kita hanya akan menghargai sesuatu kurniaan itu setelah kita kehilangannya”. “You will only appreciate what you have, after you have lost it”

Bagaimana saya dan anda. Adakah kita menghargai apa yang sedang kita miliki sekarang. Fikir dan renungkanlah.

Pagi ini, 28/11/09 (mana lagi - kat kamponglah!) semasa membaca akhbar KOSMO terbaca pula ungkapan emas oleh Elbert Hubbard, seorang penulis Amerika. Kata Hubbard, “Untuk elak daripada kritikan, tak perlu buat apa-apa, tak perlu cakap apa-apa dan tak perlu jadi apa”. Dalam tu dik, kalau kita mampu dan sudi merenung dan memikirkannya.

Barangkali itu sebabnya selepas 202 tahun, PDRM berada dalam keadaan yang ia (PDRM) ada sekarang. Apa keadaan PDRM sekarang, anda jawablah sendiri. Sehinggakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil pun jadi pengemis, menumpang di bangunan orang, sisa buruk Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Belia dan Sukan yang telah berpindah ke Putrajaya. Begitu papa kedana, hina dina jadi setinggan sehinggakan nak buat parking lot, ubahsuai pejabat dan nak pasang air cond lebih masa pun kena mohon izin JKR. Buat kerja sebelum jam 8 pagi atau kerja lebih masa, kena berlenggeng kerana air-cond JKR switch on jam 8 pagi dan shut down jam 5 petang.

Agaknya, kita jadi begini kerana yang berkuasa dan ada taring antara kita warga PDRM, lebih suka tak buat apa-apa dan tak mahu cakap apa-apa kerana takut disenarai-hitamkan. Yang ajaibnya mereka (yang berkuasa dan ada taring antara kita warga PDRM) ini hanya berani tunjuk gigi dan mengigit anak buah sendiri aje. Kecewa sekali, apabila hadir mesyuarat peringkat kementerian i.e. dengan big-big boss sektor awam, menikus. Itu pun kalau hadir, kerana selalunya Supt ke bawah aje yang diarahkan hadir walaupun pengerusi mesyuarat KSU kementerian.

Jika tidak masakan AADK lebih sudu dari JSJN, Polis Marin turun taraf jadi peronda sungai dan tasik, polis trafik nak kena rampas dengan JPJ dan jangan terperanjat satu hari nanti, JSJK kena colek dengan Bank Negara dan Kementerian Kewangan.

Setuju tidak kalau saya kata, “Jika kita takut nak buat apa-apa, takut nak cakap apa-apa, lebih baik jangan jadi apa-apa. Jadi orang pun jangan, apa lagi jadi boss”.

Wassalam dari Uncle B, yang pasal beria-ia sangat nak buat apa-apa dan berani cakap apa-apa, dari Inspekter sampai nak pencen, tak habis-habis kena tohmahan.

Byeeee!!.


Sunday, 22 November 2009

SELAMAT DATANG KE PDRM

Kalau tiada siapa yang ingin menjenguk KACA MATA KU selepas ini, saya tidak akan menyalahkan mereka. Apa tidaknya, telah lebih 2 minggu saya menyepi diri. Walhal menurut mereka yang arif, setiap blog hendaklah dikemaskinikan atau di update setiap 2 atau 3 hari sekali bagi memikat hati pembaca.

KACA MATA KU adalah perharian online untuk merekodkan apa yang terbuku di hati saya buat generasi yang akan datang. Kira-kira ala "The Diary Of Anne Frank". Cucu cicit saya tidak akan mempunyai seorang atuk yang glamour atau pillar of society. Tidak ada penulis yang akan membukukan kisah hidup saya untuk dijadikan iktibar bagi generasi yang akan datang. Bagaimana mahu dijadikan contoh dan tauladan kalau kerjaya sendiri pun dalam PDRM tidak ke mana. Kecualilah saya bersara sebagai seorang ketua polis negeri atau pengarah jabatan PDRM mungkin ada yang sudi membaca kata-kata hikmat saya sebagai mana ada rencana TV khas oleh ASTRO mengenai Dr.Mahathir. Orang gila sahaja yang sanggup keluar duit untuk membeli autobiography Baharuddin Hj Idris, pesara polis.

Menulis dengan harapan penulisan saya dapat membuka hati pembaca untuk menilai semula apa yang berlaku di sekeliling mereka dan melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan hanya satu angan-angan Mat Jenin. Kalau dulu masyarakat tidak dapat berfikir, saya tidak hairan kerana ketika itu kita hanya ada Universiti Malaya, Kolej Pertanian Serdang dan Universiti Kebangsaan sahaja. Kalau anak menjejak kaki ke menara gading, satu kampong datang ke Kuala Lumpur untuk mendaftar. Hari ini kita ada beratus-ratus institusi pengajian tinggi swasta dan awam tempat para graduan seharusnya diajar berfikir. Saya tidak tahu anda tetapi secara peribadi saya gagal melihat budaya berfikir secara analytical berleluasa di kalangan golongan muda. Jika tidak masakan status quo yang ada masih dikekalkan kerana secara terangan-terangan musang masih dibiarkan menjaga reban. Yang cacat peribadinya masih berkuasa.

Dari 15hb hingga 20hb November 2009 yang lalu, saya berada di D’Village Resort, Melaka. Kursus Asas Siasatan Jenayah Komersil untuk 47 orang inspekter percubaan yang baru melapor diri di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (nombor polis mereka bermula dengan 18XXXX). Saya bersyukur kerana dapat bersama-sama mereka for most of the time sepanjang tempoh tersebut.

Saya tidak mahu membuat ulasan terperinci tentang silap atau tidaknya anak-anak ini (purata umur mereka 25 tahun, anak saya sendiri berumur 26 tahun) memilih PDRM sebagai kerjaya mereka. Saya cuma berharap mereka memilih PDRM atas sebab-sebab yang altruistic dan bukan kerana tertipu oleh siri Gerak Khas atau CSI seperti yang diakui sendiri oleh salah seorang inspekter yang berada dalam kumpulan tersebut. Saya bimbang jika saya dedahkan realiti bekerja dalam PDRM, ramai yang mencari peluang untuk meletakkan jawatan secepat mungkin.

For whatever it is worth, you have choosen an honourable profession as your career in life. Do not dishonour the profession by dishonourable acts. Walaupun apapun alasan anda, anda telah memilih untuk menyertai satu profesion yang mulia sebagai kerjaya anda. Jangan cemarkan kemuliaan tersebut dengan tindakan-tindakan tidak bermaruah. Sistem kepolisan moden diasaskan dalam pemerintahan Khalifah Umar, Pada saya jika anda mencemarkan profesion kepolisan yang telah anda ceburi dengan rela hati, anda telah mencemarkan Islam. Sia-sia sahaja sembahyang anda dan doa-doa yang dibaca setiap kali sebelum bermulanya majlis-majlis rasmi PDRM.

Apakah tindakan-tindakan tidak bermaruah yang saya maksudkan. Saya tidak perlu berkhutbah kerana sebagai individu yang mempunyai kelulusan akademik yang tinggi, anda pasti dapat membezakan antara gelap dengan terang, antara putih dengan hitam, antara benar dengan salah dan antara yang haq dengan yang bathil. Nabi Muhammad s.a.w. ada mengatakan bahawa dosa itu adalah apabila anda merasa bersalah dalam hati. Justeru itu sebelum anda melakukan sesuatu, search your soul, adakah apa yang anda lakukan itu betul dan selaras dengan ajaran Islam?

Walaupun imej kita teruk, hancur lebur dan punah ranah di mata masyarakat, masyarakat tersilap sebenarnya. Institusi PDRM tidak pernah rosak, hancur lebur dan punah ranah. PDRM tetap utuh, berdiri tegak dan megah sebagai institusi yang menjaga keselamatan dan keamanan negara. Yang rosak, hancur lebur, punah ranah dan hanya mementingkan tempolok sendiri sahaja adalah kebanyakkan (tidak semua) pegawai dan anggota yang menjadi warga PDRM. It is not the police force that is bad but the people who runs it. Bukan PDRM yang tercemar tetapi orang yang mentadbirnya yang tercemar. Dan jika pegawai dan anggota PDRM tidak boleh diharapkan sebagaimana dakwaan sesetengah daripada peneraju pasukan, saya ingin mengingatkan mereka bahawa, “Ikan busuk dari kepala bukan dari ekor” dan “There is no such thing as a bad soldier but a bad general”. Fikirkanlah.

Akhir kata dari Uncle B, yang tetap bimbang apa akan terjadi pada PDRM dua tiga tahun dari sekarang, sama ada pegawai dan anggota yang ada pada hari ini dapat menjamin keselamatan Uncle selepas bersara nanti atau mungkin Uncle akan di kowtim kerana bawa kereta terlaju sikit kerana cucu lewat ke sekolah, salam dan renungkanlah dari Uncle B.

Sunday, 8 November 2009

ANTARA REALITI DAN IMPIAN


Terima kasih kepada mereka yang mencadangkan supaya saya memberi pandangan-pandangan bernas untuk menambahbaik PDRM dan bukan sekadar merungut tentang kepincangan-kepincangan pasukan sahaja. Setuju. Merobohkan lebih mudah daripada membina. Yang menjadi tanda tanya ialah adakah menjeritkan kepada orang ramai yang sedang mandi-manda di tepi pantai bahawa Tsunami akan melanda, satu tindakan yang salah.

Orang melayu lama saya percaya lebih tajam pemikirannya dari melayu hari ini. Jika tidak masakan wujud peribahasa, ”Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Langit Dijunjung”. Saya tidak tahu sama ada orang Melayu dahulu-kala meniru daripada orang Inggeris atau sebenarnya matsalleh meniru daripada orang melayu kerana masyarakat kulit putih juga mempunyai peribahasa yang hampir sama maksudnya, ”When In Rome, Do As The Romans Do”.

Melalui peribahasa ini, kita diajar untuk bersikap realistik dalam menjalani kehidupan, Semasa Barack Obama dipilih sebagai presiden Amerika, sebuah negara yang lebih banyak anti daripada pro Islam, mengigal-ngigal gembira orang Islam sedunia kononnya Barack Obama yang berketurunan Islam sebelah bapanya dan pernah tinggal di Indonesia, akan simpati dengan masalah orang Islam. Kecuali saya.

Atas dasar ”Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Langit Dijunjung”, saya tidak yakin lansung bahawa presiden sebuah negara yang sanggup memfitnah dan menyerang Iraq dan sekarang Iran semata-mata untuk mengawal minyak dunia dan melindungan Israel, akan membela Islam. Lobi Yahudi paling berpengaruh di USA. Merekalah yang memungkinkan Obama menjadi presiden AS, jadi adalah satu perkara mustahil kalau kaum Yahudi yang berada di belakang pentadbiran AS akan membenarkan Obama berjabat tangan dengan Presiden Ahmadnijad.

Jangkaan saya tepat kerana baru-baru ini Obama bersetuju dengan kehendak Israel supaya pemberhentian pembinaan penempatan baru Yahudi di tanah Palestin tidak dijadikan satu syarat untuk memulakan rundingan damai Timor Tengah. Sementara berbincang kosong, tanah Palestin terus dirampas oleh Yahudi. Ini yang dinamakan realiti.

Realiti hidup di negara ini juga sama. ia mengajar saya bahawa cakap dan pandangan ”orang kecil” tidak akan diberi perhatian atau diambil kira oleh ”orang besar” dan mereka yang berkuasa. Kalau cakap Suruhanjaya Diraja Kes V.K. Linggam pun diketepikan oleh pemerintah, apalah harapan untuk cetusan minda seorang insan kerdil seperti saya.

Bukan tidak pernah mencuba, sama ada secara bertulis dengan rakan-rakan atau secara lisan dalam mesyuarat. Kami pernah mengemukakan cadangan untuk memperkasakan latihan asas untuk inspekter percubaan dan konstabel, juga cadangan untuk memperadilkan sistem kenaikan pangkat PDRM bagi mengurangkan bias dan pilih-kasih. Apa jadi dengan cadangan-cadangan tersebut. Hampeh. Semasa mengemukakan cadangan secara lisan, tidak kurang dua kali, kelayakan akademik saya untuk melayakkan saya memberi cadangan telah dipersoalkan. Syukur, salah satu dari cadangan tersebut diterima-pakai oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya walaupun bekas Pengarah JSJ (dah arwah pun) tidak menerimanya kerana saya tidak mempunyai kelulusan undang-undang. Ini realiti menjalani kehidupan di Malaysia dik. Jadi terima kasihlah. Buat sementara waktu ini biarlah saya mendiamkan diri sahaja.

Perhatikan sahaja apa yang sedang berlaku di sekeliling anda. Tanyalah diri sendiri berapa banyak pandangan-pandangan ikhlas telah dikemukakan oleh cerdik pandai kita bagi memperbaiki pengurusan dan pentadbiran negara. Profesor Ungku Aziz pernah menyuarakan pandangannya mengenai kebijaksanaan membina kereta Malaysia (kononnya). Hari ini Proton hanya menghabiskan wang rakyat untuk terus hidup. Pakar-pakar dari UKM pernah mengeluarkan kajian viability membina Empangan Bakun. Apa dah jadi dengan Bakun jika tidak menghabiskan duit rakyat lagi. Ketua Eksekutif Tenaga Nasional sanggup meletak jawatan kerana membangkang pembinaan IPP. Hari ini rakyat membayar tinggi untuk bekalan elektrik untuk membolehkan kroni kaya. Dalam keadaan begini, adalah lebih baik dipandang bodoh daripada diperbodohkan.

Hingga jumpa lagi, salam dari Uncle B, yang tahu bahawa buah fikirannya tidak akan diterima pakai tetapi masih suka memberi pandangan yang boleh ”rock the boat”. Bye!!.

Sunday, 1 November 2009

Catchword atau frasa yang sering saya dengar sejak 32 tahun 6 bulan berada dalam pasukan ialah kita hendaklah sentiasa taat setia atau loyal kepada pucuk pimpinan PDRM. Saya kurang pasti pula sama ada taat setia yang dimaksudkan adalah taat setia ala Hang Tuah atau taat setia ala Hang Jebat. Dari sedikit exposure yang saya ada dengan orang besar-orang besar PDRM, gayanya, loyalty yang disarankan adalah loyalty membuta tuli ala Hang Tuah. Saya pernah mendengar mereka yang jauh lebih besar pangkatnya dari saya menyuarakan kegusaran perlunya PDRM dibesarkan sehingga 14 jabatan. Malangnya apabila saya sarankan agar pegawai berkenaan menyatakan kebimbangannya itu kepada pucuk pimpinan, jawapannya seperti yang saya jangkakan. ”Arahan bos, Din, engkau tak ape, boleh komen semberono, kau tinggal setahun-dua aje lagi, aku ada 8 tahun lagi, susah aku nanti”. Inikah jenis taat setia yang dituntut oleh pasukan dari warga PDRM?

Jangan salah faham. Untuk taat dan setia kepada pasukan tidak menjadi kudis kepada saya kerana selama 29 tahun berumah tangga, saya taat setia kepada isteri tercinta saya. Saya sanggup taat dan setia kepada isteri kerana taat setia saya dibalas oleh isteri saya dengan kasih sayang dan taat setia juga.

Apa yang menghantui saya ialah sejauh dan setakat mana seseorang warga PDRM harus taat setia kepada pasukan jika pasukan tidak pernah mempamirkan kesetiaannya kepada pegawai dan anggota yang telah mendukung PDRM selama ini. Dapatkah anda mengasihi dan komited kepada orang yang tidak pernah menunjukkan kasih sayangnya kepada anda. Lihat sahaja Hang Jebat yang tidak pernah derhaka kepada Sultan Melaka sehinggalah Hang Tuah dianiaya oleh Sultan dek angkara pembesar Melaka yang dengki kepada Hang Tuah. Malangnya sifat taat setia tolol yang ditunjukkan oleh Hang Tuah inilah yang diagung-agungkan oleh kebanyakkan pemimpin-pemimpin Melayu.

Saya pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia. Satu ketika semasa saya pegawai bertugas di Defence Operation Room, Kementerian Pertahanan (MINDEF), kami telah didatangi oleh beberapa orang daripada Kampong Datok Keramat, Kuala Lumpur mengadu yang anak perempuan salah seorang dari mereka telah hamil angkara seorang daripada anggota tentera yang bertugas di MINDEF. Saya katakan yang perkara ini tidak mungkin benar dan telah mengarahkan salah seorang anggota saya untuk bersama-sama menyemak rekod keanggotaan di MINDEF untuk mengesan orang yang disyaki. Sudah tentu sebelum dari itu, secara curi-curi, saya telah mengarahkan supaya rekod anggota berkenaan diketepikan.

Pada mulanya, rombongan dari Datok Keramat tersebut nampaknya masih tidak berpuas hati tetapi dengan lembut saya jelaskan bahawa menjadi satu kelaziman untuk budak-budak polis yang bertugas dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) mengaku sebagai anggota tentera kerana mereka juga, PPH, berpakaian seragam hijau. Ini dilakukan untuk memburukkan nama dan imej ATM, kata saya lagi. Tidak saya sangka, hari ini saya pula yang bertugas dengan PDRM. Amat berpuas hati dengan penjelasan saya tersebut, mereka memohon maaf kerana menyusahkan kami dan terus beredar.

Saya percaya sikap taat setia ATM kepada warga tentera seperti yang saya gambarkan di atas masih berkekalan hingga ke hari ini. Pernahkah anda dengar di dada akhbar, gembar-gembur pegawai dan anggota tentera diambil tindakan disiplin dan undang-undang sebagaimana bangganya PDRM menyiarkan berita yang sama di media massa terhadap warga PDRM untuk cemohan oleh khalayak ramai. Ini tidak bermaksud yang ATM membenar atau membela warganya yang telah melakukan kesalahan. Jika anda mengambil masa untuk bertemu bual dengan pegawai-pegawai dari Provos Marshal (Polis Tentera), anda akan dapati bahawa tindakan disiplin atau undang-undang masih diambil terhadap yang bersalah. Cuma, walaupun bersalah, mereka tidak dimalukan di depan masyarakat.

Berbeza dengan PDRM yang pantang mendengar sebarang komplen daripada orang awam, tanpa mengira sama ada komplen tersebut berasas atau tidak, terus pegawai yang terbabit disenarai hitamkan. Ini lebih ketara apabila ada pengecut yang menghantar surat layang. Tanpa memeriksa terlebih dahulu, pegawai yang ditohmah akan disejukkan bekukan di tempat-tempat jin bertendang. Hairannya, orang awam yang ingin membuat laporan polis, dikehendaki menurunkan nama, nombor kad pengenalan dan alamat serta nombor telefon si pengadu supaya boleh dihubongi tetapi surat layang tanpa nama dilayan habis-habisan. Barangkali inilah yang dinamakan keadilan atau justice and fairplay oleh PDRM. Anda fikirkanlah sendiri.

Hingga jumpa lagi, selamat memikirkan masa depan anda dalam PDRM, dari Uncle B, yang walaupun hanya tinggal 365 hari sahaja lagi dalam pasukan (termasuk cuti hari sabtu, ahad dan cuti umum) masih lagi kena tohmahan. Bye!!!


Wednesday, 28 October 2009

YANG MEMBUAT AKU BENGANG

Cucu Uncle Azalea Eiman Puteri baru berumur 3 tahun tetapi keletah bercakap. Dari segi character, Uncle nampak ciri-ciri peribadi tak senonoh Uncle terpalit pada cucu pertama Uncle ini ini. Macam atuknya, cucu Uncle ini nampaknya seorang yang temperamental. Sekejap gelak-gelak, tiba-tiba boleh bertukar angin, mengamuk atas sebab yang remeh (pada orang lain) dan dalam sekelip mata juga boleh berubah balik senyum-senyum. Tidak ketinggalan sifat degil, keras kepala serta mulutnya (cucu) yang potpet-potpet tak reti diam yang Uncle yakin kesemuanya diwarisi dari Uncle. Mudah-mudahan sifat yang kurang elok ni dapat dikikis semakin cucu Uncle ini dewasa. Cukuplah Uncle seorang begitu.

Sebenarnya bukan niat Uncle untuk bercerita tentang cucu kerana orang lain pun ramai yang dah bercucu malah lebih banyak cucu dari Uncle. Cuma minggu lalu, semasa berceloteh dengan neneknya, cucu Uncle telah mengeluarkan perkataan PXXIMAK dan BANGANG. Apabila ditanya oleh isteri Uncle di mana dia mendengar perkataan tersebut, mudah jawapannya, “Akak Puteri dengar atuk cakap masa atuk bawa kereta”. Uncle mengaku salah. Memang Uncle ada terlepas perkataan sedemikian semasa memandu dan Uncle terlupa cucu ada di sebelah.

Bukan membela diri tetapi Uncle sebenarnya seorang yang amat sukar marah tetapi apabila marah boleh jadi hilang akal dan sepantas kilat Uncle boleh cool down seolah-olah tiada apa yang berlaku. Kalau ada pun perkataan yang boleh dianggap kasar yang lazim Uncle gunakan apabila berhadapan dengan keadaan atau manusia blur ialah ”setan gondol”. Macam tu kira kasar ke!

Payah untuk Uncle hilang sabar dan mengeluarkan perkataan PXXIMAK dan BANGANG tetapi trigger untuk menimbulkan kemarahan Uncle, malangnya, adalah perkara-perkara yang mungkin remeh pada orang lain tetapi penting bagi Uncle atau apabila berhadapan dengan spesis jenis ”orang bukan orang, hantu bukan hantu”.

Macam mana rupa spesis jenis ”orang bukan orang, hantu bukan hantu” in? Antaranya ialah manusia yang mampu beli kereta BMW 5 Series tetapi tak mampu beli hands free set, jadi bercakap sambil memandu dan kereta slow di lorong paling kanan atau lorong memotong. Orang macam ini memang patut kena PXXIMAK dan BANGANG dan ditambah dengan isyarat tangan lucah kerana mereka bukan keturunan manusia.

Satu lagi contoh ialah peguam yang marah Uncle kerana RTM kes anak guamnya yang kononnya kena tipu tetapi apabila Uncle beritahu bahawa tiada elemen-elemen niat curang dan misrepresentation untuk membuktikan tipu dan ianya adalah satu kes breach of contract, telah mendabik dada, ”I am a practising lawyer, I know better”. Orang macam ni memang layak dimaki aje. Secara mudahnya Uncle akan naik angin bila berhadapan dengan golongan yang bijak tetapi tak reti dan tak tahu bahasa atau jenis bodoh tak boleh diajar, pandai tak boleh diikut.

Adik ipar Uncle yang pernah melihat Uncle naik angin terhadap pengurus sebuah outlet Pizza Hut yang menghidangkan pizza sejuk pernah terperanjat melihat Uncle dengan sabar menerangkan sesuatu perkara berulang kali kepada seorang kanak-kanak berusia 4 tahun sehingga kanak-kanak tersebut faham. Uncle jelaskan kepada adik ipar tadi, Uncle mengamuk dengan pengurus outlet Pizza Hut tersebut kerana sebagai seorang yang mempunyai kelulusan sekurang-kurangnya diploma dan telah diberi latihan yang cukup, masakan bangang sangat untuk menghidang pizza sejuk kepada pelanggan. Kanak-kanak 4 tahun tadi memang sepatutnya payah nak faham apa yang Uncle cuba jelaskan sebab baru berumur 4 tahun. What do you expect from a 4 year old kid.

Dipendekkan cerita, macam ini ajelah. Kalau Uncle Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen dan uncle dapati ada pegawai penyiasat Uncle yang RTM kes atas alasan kes sivil kerana ada contract perniagaan antara pengadu dengan orang disyaki tetapi dalam aduannya pengadu mempercayai tanda tangan pada contract tersebut adalah palsu, apa yang Uncle akan buat ialah Uncle akan panggil pegawai penyiasat menghadap, ambil kertas siasatan tersebut, angkat tinggi-tinggi dan kemudian hempok IP tersebut atas kepala IO berkenaan. Dan esoknya, Uncle akan direkod statement oleh bahagian tatatertib Bukit Aman (unit yang siasat tohmahan pengecut i.e surat layang) kerana kena tohmahan. Ini yang dikatakan banggang kerana sekolah aje tinggi sehingga mencengkau langit tetapi malas berfikir.

Hingga jumpa lagi, salam dari Uncle, yang jika anda mengenali siapa Uncle sebenarnya, pasti anda akan lari jauh-jauh. Chaloo!

Sunday, 25 October 2009

UMNO DAN PDRM - TAK SAMA TAPI SERUPA

Terima kasih kepada emak saya yang rajin membaca, saya juga telah berjangkit penyakit suka membaca. Saya membaca apa sahaja yang ada di hadapan mata. Hinggakan amaran bahaya merokok yang tertera pada kotak rokok pun saya baca walhal saya tidak merokok. Ke mana sahaja saya bergerak saya akan membawa apa-apa sahaja yang boleh dibaca. Daripada membuang masa lebih baik membaca kecualilah ada awek yang bumper bulat atau pouches nala lalu depan mata. Letak juga buku sehingga awek tu lepas dari pandangan. Rugi dik tak tengok. Keindahan alam. Bercerita hal membaca, anda bagaimana.B erapa buah buku telah anda baca bulan lalu?

Untuk bulan October ini saya sedang membaca buku, SAYA PUN MELAYU oleh Zaid Ibrahim. Dah sampai muka surat 190 daripada 320 mukasurat, Bab 11 berjudul Resipi Untuk Berjaya Dalam UMNO.

Saya tidak akan mengulas buku tersebut walaupun jika telah habis membacanya kerana saya mahu anda sendiri membacanya. Bukan mahal sangat RM35 sahaja. Lebih kurang harga 7 bungkus rokok 20 batang yang akan habis anda sedut asapnya dalam masa lebih kurang 1 minggu. Baca buku dapat ilmu dan mengerakkan otak anda untuk berfikir. Hisap rokok dapat asap. Kali ini saya akan memetik bebarapa pandangan Zaid Ibrahim dalam Bab 11 buku berkenaan. Saya tidak kata pandangan Zaid itu betul.

Saya cuma minta anda fikirkan. Apakah yang diperkatakan oleh Zaid i.e. untuk maju dalam UMNO ada persamaan dengan apa yang telah, sedang dan akan terus berlaku dalam PDRM iaitu untuk maju dalam pasukan anda perlu jadi pak hangguk dan ada godfather. Just think about it.


Ini kata Zaid Ibrahim dalam bukunya AKU PUN MELAYU. “Pertama, kita kena ada kumpulan dalam parti. Lebih baik kalau kumpulan ini kumpulan yang besar yang ada godfather. Godfather inilah nanti yang akan membantu kita mencapai kejayaan. Kita kena sokong dan bersedia menurut kehendak kumpulan termasuk apa yang godfather mahu lakukan”.

Zaid menambah, ”UMNO baru tidak pentingkan idea dan isu. Yang akan diambil kira ialah kita orang siapa dan bukan siapa kita”.

Seterusnya Zaid menegaskan bahawa untuk maju dalam UMNO, ”kita jangan terlalu pandai atau cuba sesekali hendak menunjukkan kepandaian. Jangan beri idea ataupun mengemukakan cadangan-cadangan baru walaupun yang boleh memberi kekuatan kepada parti. Kalau kita banyak bercakap kita akan sukar mendapat endorsement daripada pemimpin. Apa yang kita kena cakap atau perkatakan ialah apa yang pemimpin mahu dengar sahaja. Paling afdalnya ikut saja cakap pemimpin, jangan dikritik lansung walaupun kesalahan itu jelas berlaku di depan mata”.

Cuba kita gantikan perkatan Parti dan UMNO dengan perkataan pasukan dan PDRM. Setelah sekian lama bergelumang dalam dunia kepolisan, beranikah anda katakan perkara yang serupa , yang dikatakan oleh Zaid berlaku dalam UMNO, tidak berlaku dalam PDRM?

Cukup sampai di sini. Sambil anda dan rakan-rakan memikirkan isu ini dengan adil dan saksama dan pekena secawan kopi, selamat mengasah otak, dari Uncle B yang sememangnya sinis dan cynical terhadap apa jua yang terpampang di depan mata terutama yang dicanangkan oleh kerajaan dan PDRM yang ada sekarang. Bye-bye.

Sunday, 18 October 2009

SARKAS

Satu masa dahulu saya pernah berpendapat bahawa PDRM ibarat anjing yang mengejar ekornya sendiri. Sampai kiamat tidak akan dapat. 21 tahun kemudian, tiada sebab untuk saya mengubah pandangan saya itu. Bahkan hari ini saya percaya, PDRM telah berubah menjadi sebuah sarkas dalam sebuah negara ala banana republic.

Apa yang akan saya sampaikan, saya kelaskan maklumat berkelas C6 sahaja. Belum ada peluang untuk saya mengesahkan maklumat-maklumat tersebut tetapi penyampainya adalah mereka yang boleh dipercayai.

Tidak berapa lama lagi, lencana pangkat PDRM akan dinaik-tarafkan. ASP akan pakai lencana DSP i.e. dari 3 paku kepada 1 crown. DSP akan pakai lencana pangkat Supt iaitu 1 crown dan 1 paku sementara Supt macam aku, akan pakai 1 crown dan 2 paku i.e. macam lencana ACP sekarang. Ada rakan kata, lencana aje naik taraf, gaji tidak. Sementara ada yang mengatakan, gaji akan naik juga tapi tunggu dulu. Maknanya lencana pangkat naik dulu, gaji belum tentu.
Saya ada satu komen sahaja. Pengalaman 32 tahun dalam PDRM, terutama sejak akhir-akhir ini mengajar saya bahawa apa pun yang berlaku dalam PDRM adalah ibarat peribahasa Hokkien, ”Chiu Kong Lan Pa Song” (lebih kurang gitulah bunyinya). Maknanya, jika diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris, ”Talk, Talk Make The CXXk Happy Only”. Secara mudahnya, SYOK SENDIRI. Megah dengan lencana pangkat yang boleh menyebabkan bahu rebeh memakainya tapi gajinya lebih rendah daripada tawaran duit kowtim seorang tauke ekor.
Khabar angin kedua yang aku dengar ialah kerajaan telah meluluskan pengujudan 5 lagi jabatan baru dalam PDRM, menjadikan 13 jabatan kesemuanya daripada 8 yang ada sekarang. Ini belum lagi termasuk 3 jawatan Timbalan Ketua Polis Negara. Tentang jawatan ini aku confused sikit. Ada member yang mengatakan, jawatan T/KPN kekal 1 tetapi diujudkan 3 jawatan Assistant Inspector General of Police yang baru atau AIG.

Yang aku dengar tambahan jabatan baru, DIG dan AIG tetapi tidak terdengar pulak tentang pertambahan perjawatan pegawai penyiasat ke, pegawai dan anggota tugas am ke untuk tugas ronda bit, tugas NKRA ke, cegah jenayah ke atau seribu satu macam tugas lagi yang perlu dibuat oleh pegawai penyiasat. Itu belum lagi termasuk tugas menguruskan perkahwinan anak big boss. Apa kata, daripada membina empayar, PDRM memperbaiki sokongan logistik warga PDRM yang hendak bekerja seperti ruang pejabat, air cond untuk bilik aku dan ruang parkir untuk kereta kita orang sebab kita orang tak ada driver nak hantar pergi balik pejabat.

Yang aku dan rakan-rakan yang celik minda nampak sekarang ini ialah struktur organisasi PDRM macam cendawan bom nuklear. Besar di atas, kecik di bawah. General ramai, askar satu atau ramai tauke dari kuli. Haru nak berperang macam itu. Dulu aku ada belajar fasal span of control dalam pengurusan. Kata lecturer, satu bos seeloknya kawal selia 6 hingga 7 orang subordinates sahaja. Dalam PDRM hari ini dah terbalik nampaknya. 6 bos arah 1 kuli. Mana tak sasau dibuatnya.

Cerita terakhir yang aku dengar ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) nak ambil-alih tugas Polis Trafik. Dia orang (JPJ) dah pun dapat perjawatan tambahan 4000 personel ke arah matlamat tersebut. Trafik Polis masih dikekalkan tetapi kerjanya eskot menteri aje. Eloklah tu, Polis Marin dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dah pun dirampas oleh Jabatan Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, esok lusa, elok kita serahkan Unit Udara dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil pulak kepada Jabatan Penerbangan Awam dan Bank Negara Malaysia. Jangan hairan kalau satu hari nanti PDRM jadi macam orang melaka. Ada Tanjung baki Keling, ada Kesang, dipajak, yang tinggal hanya buah sahaja, buah melaka.

Bagi kawan-kawan yang akan bersara sebulan dua sebelum, bersama atau selepas saya, selamat meninggalkan pekerjaan sebagai badut dan menikmati pencen 60% dalam zaman semua naik ini dan bagi rakan rakan yang ada berbelas dan berpuluh tahun dalam PDRM, Enjoy The Circus. Bye!!!!!.

Sunday, 11 October 2009

WHY MALAYSIA MANY ROAD ACCIDENTS

Apabila mendapat tahu bahawa kadar kemalangan jalanraya di Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia, saya tertanya-tanya. Siapa yang salah. Pemandu yang cuai dan tidak berhemah, kereta sub standard yang dikeluarkan oleh negara atau jalan raya kita yang dibina secara semberono.

Kebanyakkan pemandu kita tidak lebih dari setan jalanan. Memandu dengan kelajuan 50 km sejam di lane sebelah kanan, mencilok kiri dan kanan, potong queue dan dengan cara terhegeh-hegeh memotong kenderaan lain, adalah antara ciri-ciri seorang setan jalanan. Atas dasar inilah saya bersyukur tidak membawa kereta tank untuk bergerak ke mana-mana. Jika tidak, banyaklah kereta dan motosikal dengan pemandu-pemandunya sekali, yang saya lenyek dan leperkan dengan kereta kebal saya kerana memandu secara bodoh dan kurang ajar.

Tentang kereta keluaran negara, saya percaya kalau kereta import tidak dikenakan cukai itu dan ini (tidak kurang dari 200%), tiada sebiji pun kereta buatan Malaysia yang laku dijual. Begitulah hebatnya kualiti kereta Malaysia yang akan menawan ½ daripada jualan kereta dunia, 202 tahun dari sekarang.

Adakah struktur jalanraya kita antara penyebab berlakunya kemalangan jalan raya?

Kajian Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (iRAP) pada Mac dan April 2007 mendapati tiada mana-mana bahagian daripada 3,700km Jalan Persekutuan dan Lebuh Raya di Malaysia mencapai taraf 5 bintang. Taraf 5 bintang ditakrifkan sebagai reka bentuk infrastruktur jalan raya paling selamat untuk kategori pengguna kereta, motosikal, basikal dan pejalan kaki.

Daripada 3,700km itu, hanya 32% mencapai taraf 4 bintang, 26 peratus 3 bintang, 31 peratus 2 bintang dan 12 peratus 1 bintang. Cuba kita kelaskan pula penarafan bintang tadi seperti berikut. 5 bintang - cemerlang, 4 bintang - baik, 3 bintang – cukup makan dan 1 hingga 2 bintang – hampeh. Ini bermakna di 26% jalan raya yang kita lalui, kita ada 50-50 peluang untuk accident dan kebarangkalian kita untuk kojol akan meningkat lebih tinggi di 43% daripada jalan raya yang kita gunakan. Kesimpulannya, sebanyak 69% daripada jalan raya dan lebuh raya di Malaysia adalah kurang selamat untuk digunakan.

Udahlah 69% tidak berapa selamat untuk dilalui, kena tol lagi. Paling sedih, Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, nak bayar tol, kena melalui trafik jam pulak.

Jika penyokong, pengampu dan macai BN begitu cepat mencari salah pentadbiran negeri yang didukung oleh PKR yang baru memerintah lebih kurang 18 bulan, apa dah jadi dengan jalan dan lebuh raya negara yang ditadbir oleh BN sejak 52 tahun yang lalu. Mungkin kerajaan BN berpendapat kita tak perlu kecoh tentang status jalan raya di Malaysia kerana kerana jalan raya di Timor Leste, Cambodia, Laos dan Vietnam lebih teruk dari kita.

Hingga jumpa lagi, selamat memandu di lebuh raya yang tak berapa selamat tetapi tetap kena bayar tol sambil frust menonggeng dalam trafik jam, dari Uncle B, yang selalu berharap UMNO Johor buat Airport di Segamat supaya senang Uncle balik kampong untuk berhari raya.

Monday, 5 October 2009

KENAPA SAYA SUKA BACA BUKU DAN TENGOK WAYANG

Saya gemar membaca dan menonton filem. Kedua-duanya membuka peluang untuk saya meninjau pengalaman hidup dan aliran pemikiran penulis yang digarapkan melalui buku atau filem mereka. Paling penting, sekurang-kurangnya bagi saya, melalui watak-watak yang menghidup dan mewarnakan lembaran-lembaran kertas putih atau layar perak, saya dapat membuat benchmarking atau membandingan nilai hidup dan kehidupan saya sendiri.

Filem “Final Destination” yang terbaharu, yang juga ditayangkan dalam format 3D, membuat saya terfikir tentang takdir. Apakah yang kita lakukan atau tidak lakukan selama ini dapat mengubah kehidupan kita di masa hadapan atau apakah yang berlaku atau tidak berlaku kepada kita dahulu, sebenarnya adalah rentetan-rentetan peristiwa yang akan meletakkan kita dalam keadaan yang kita ada sekarang. Beratkan memikirkannya? Begini.

Mungkinkah peristiwa A, B, C, D dan E yang berlaku kepada saya satu masa dahulu semata-mata untuk menentukan yang saya adalah seorang pegawai kanan polis hari ini i.e. kalau peristiwa A hingga E tidak berlaku bermakna saya tidak akan menjadi pegawai kanan polis sekarang. Juga bermakna, bahawa walau apapun yang saya lakukan untuk mengelakkan peristiwa A-E daripada berlaku ke atas saya, ia (peristiwa A-E) tetap akan berlaku kerana saya telah ditakdirkan untuk pencen sebagai seorang pegawai kanan polis.

Justeru itu timbul persoalan. Adakah kita membentuk destiny kita sendiri atau adakah kita creatures of fate. Tergeliat otak memikirkan conundrum ini.

Menjengok sebentar ke dunia buku atau bidang penulisan, Yap Mun Ching, seorang contributor kepada ruangan pojok Freespace dalam The Sun, melahirkan kesedihan dan kerinduannya kepada “the days we have lost when families came home for lunch” dan Bearers of a time past when people worked to live and not the other way around”.

Saya masih ingat zaman kanak-kanak dahulu (tahun 60an), kami adik beradik tidak akan menjamah sarapan pagi, makan tengahhari, minum the petang dan makan malam kecuali semua ahli keluarga ada bersama dan off course, abah akan start makan dulu, baru kami adik beradik boleh mula letak nasi dalam pinggan. Tidak dibenarkan membaca di meja makan dan dilarang sama sekali makan sambil mata tengok TV.

Apa yang dapat saya belajar dari semua ini? Entah, yang saya tahu saya tidak akan menjadi saya yang ada pada hari ini jika arwah abah membenarkan kami membuat sesuka hati semasa membesar dahulu. Saya dan adik-beradik mempunyai nilai-nilai hidup kami sendiri, benar tetap benar dan salah tetap salah walau siapa pun yang mengatakan sebaliknya. We have a universal sense of right and wrong that is not dictated by current views or value.

Mungkin juga secara tidak lansung, apa yang saya lihat ayah abah lakukan membuat saya percaya bahawa kita bekerja untuk hidup dan bukan hidup untuk bekerja. Jika lebih 8 jam sehari dihabiskan di pejabat untuk membuka kertas siasatan yang gerenti tidak akan habis-habis datangnya, bila masanya yang kita ada untuk bersama keluarga. Bila masanya, kita mahu melihat dan bersama-sama anak kita yang masih rebung. Semasa rebunglah kita dapat menanamkan nilai-nilai hidup yang murni dalam diri anak-anak kerana jika telah menjadi buluh, tidak boleh dilentur lagi. Hanya sesuai dibuat buluh lemang dan meriam buluh sahaja, barangkali.

Saya masih ingat pesanan GM saya semasa saya bekerja di Pernas Edar dahulu. “Gentleman”, katanya, “Allah have given us 24 hours in a day. Medical experts says, you need 8 hours sleep a day to allow your body to repair and rejunevate itself after 8 hours of hard-work in the office or in the field. The balance of 8 hours is for yourself, family and Allah. Allah in His Infinite Wisdom has given us a balance 24 hours day. Work will never be finished. Now, get out of this office and go home to your family”. Thank You, Dato’ Shariman for your advice which I have followed to this day.

Alangkah baiknya kalau boss-boss kita berfikiran rasional seperti Dato’ Shariman. Pada sayalah, dia orang nak tidur kat ofis ke, nak kerja 24 jam ke, nak biar diri sendiri tak ada personal and family life ke, itu dia orang punya pasal. Dia orang tidak berhak impose dia orang punya skewed values pada diri orang lain, sama seperti dia orang tak boleh paksa saya makan nasi kerana saya lebih suka makan black pepper steak. Cuba anada renungkan.

Salam, dari Uncle B, yang liat dan payah yak amat nak dinaikkan pangkat kerana salah diri sendiri yang liat dan payah yak amat nak kerja lebih. Cao!!!!

Friday, 2 October 2009

INDO BLUR

Aku lansong tidak mengerti dengan mentaliti orang Indonesia. Fasal Tarian Pendet, Lagu Terang Bulan, Rasa Sayang dan Gamelan, sanggup bergaduh dan berbunuh-bunuh dengan jiran mereka, Malaysia. Agaknya, dia orang tu dah tak ade kerja sangat, jadi daripada duduk melepak kat warong jalanan atau berdiri sepak kertas, lebih baik berdemonstrasi. Boleh gak penuhkan masa dan keluar juga peluh. Untungnya berdemo di Indonesia ialah kerana FRU kat sana tak main tembak-tembak meriam air. Dia orang tembak aje.

Ada orang bilang, mereka yang berdemonstrasi di Indonesia dibayar uang oleh pihak ketiga. Pada firasat, conspiracy theorist seperti Uncle B, tidak memeranjatkan, jika Singapura yang menjadi tali barut Amerika di Asia Tenggara dan mempunyai seekor Yahudi sebagai penasihat pertahanan, yang menjadi dalang, mengadu-domba negara majoriti Islam Malaysia dengan negara majoriti Islam Indonesia atas isu-isu hingusan. Bayangkan jika umat Islam di Malaysia bersatu hati dan bersepakat dengan umat Islam di Indonesia, Selatan Thailand, Selatan Filipina dan Brunei.

Lalu Islam dijadikan tunggak pemerintahan dan pemimpin negara berkiblatkan Kaabah, bukan Barack Obama. Hasil bumi negara dikongsi bersama untuk memajukan umat Islam di negara-negara lain dan tidak lagi dilonggokkan dalam peti besi pemodal yahudi. Negara mana agaknya yang akan gempak badak, jika semua pemimpin dan rakyat di negara yang Uncle sebutkan tadi, hidup dan mati mereka kerana Allah semata-mata. Jadi, untuk mengelakkan pemimpin dan umat Islam di negara berkenaan bersatu, laga-lagakan mereka dengan isu-isu yang remeh.

Untuk memastikan supaya pengadu-domba ini tiada lagi akal untuk memecahkan tali persaudaraan antara Malaysia dan Indonesia, apa kata PM Malaysia tulis surat kepada Presiden Indonesia, beritahu Pak Bambang Susilo, mulai tarikh surat berkenaan ditanda-tangani, Malaysia akan menyerahkan Kuntilanak, Gondorowo, Hantu Pocong dan Makanan Gado-Gado kepada Indonesia supaya hantu-hantu dan makanan tersebut tidak boleh dijadikan bahan untuk bergaduh. Orang Minyak, Pelesit dan Mat Rempit, walaubagaimana pun kita simpan sebab hantu-hantu tersebut, Malaysia yang cipta.

Selain dari itu, nama-nama yang ada juga digunakan oleh orang Malaysia seperti Marwono, Sungib, Marwan, dll, akan dikembalikan kepada Indonesia. Orang Malaysia hanya dibenarkan guna nama seperti Melor, Alang, Megat, Bulat dan sebagainya sahaja. Tak payah gaduh-gaduh. Aman sikit dunia. Hampir terlupa, gempa bumi pun elok kita serahkan kepada Indonesia. Biar Pak dan Mak Indon tu megah mendakwa bahawa gempa bumi bermula dan berlaku di negara mereka dan Malaysia hanya kena tempiasnya aje. Ambik kau, nak sangat glamer.

Salam dari Uncle B, yang percaya dan yakin bahawa hantu, tak kira dari negara mana asalnya (seperti Dracula, Frankenstein, dll), tetap hantu dan tak boleh jadi orang kecuali pontianak yang boleh dipaku di kepala untuk jadi orang. Adakah paku kat kepala, pakulah tempat lain, baru betul. Byeeeee!!

Wednesday, 30 September 2009

1Malaysia

Dalam sebuah negara yang Perlembagaannya menjamin kebebasan bersuara, aneh sekali apabila sebagai penguatkuasa undang-undang, aku merasa gementar untuk bersuara. Oleh kerana bekerja dengan kerajaanlah, maka aku jadi takut kerana aku tahu apa yang kerajaan boleh buat. Keanehan yang dirasai bertambah menjadi pelik apabila aku mengetahui bahawa agama rasmi negara ini adalah Islam, pemimpin utamanya orang Islam, bahkan seantero dunia tahu bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Hairan, kerana semasa pemerintahan khalifah-khalifah Islam, rakyat benar-benar boleh memberi pandangan tanpa diancam dengan ISA atau Akta Hasutan. Bahkan seorang rakyat pernah mengatakan akan memancung kepala Saidina Omar (kalau tak silap akulah) jika beliau (Omar) menyeleweng daripada pentadbiran Islam. Nah! itu baru kebebasan bersuara weh!!

Semasa aku masih inspekter percubaan dulu dan masa kali pertama Putra World Trade Centre dijadikan tempat persidangan tahunan UMNO, aku berpeluang mendengar ucapan-ucapan oleh para perwakilan UMNO. Aku tertarik dengan ucapan seorang perwakilan dari Kedah sehinggakan ke hari ini, aku masih ingat intisari ucapannya.

Menurut beliau, ”Depa tolak, kita ansur, depa tolak lagi, kita ansur lagi, lama-lama kita jatuh lubang, mampuih kena kambus”.

Ketika itu, aku tak ambil pot pandangan perwakilan UMNO Kedah itu. Aku menganggap beliau seorang Melayu Ultra. Kebetulan masa itu negara sedang sibuk dengan kehadiran ultra melayu, satu label yang disangkutkan kepada orang-orang melayu yang takut ”Melayu Akan Lenyap Dari Dunia”.

Hari ini jika beliau masih hidup, aku ingin sangat berjumpa dengannya dan meminta maaf. Ternyata pandangan perwakilan Kedah tersebut, ketika itu, menjangkau masanya, seorang yang dapat melihat jauh ke hadapan.

Apa tidaknya. Sekarang di borang-borang kerajaan, akan dihapuskan ruangan bangsa. Pada fikiran aku yang dangkal, ini adalah langkah pertama ke arah terhapusnya bangsa melayu. Bahasa Melayu dah pun lenyap. Sekarang cuma ada Bahasa Malaysia. Setakat ini maths dan sains masih diajar dalam Bahasa Inggeris.

Tanah reserve Melayu, sikit demi sikit telah hilang. Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor sahaja telah menelan tidak kurang 40% tanah rezab melayu. Tanah-tanah tersebut sekarang dimiliki oleh pemodal-pemodal bukan melayu terutamanya apek-apek Singapura. Di Kulai, Johor, sekarang telah ada tentera asing. Askar-askar Singapura mengawal loji air Singapura yang dibina atas bumi Tanah Melayu. Pasir kepunyaan Tanah Melayu di Johor, telah lama dijual kepada Singapura untuk membolehkan Singapura membesarkan negaranya.

Nak tanya sikit. Di mana anda boleh jumpa di Negara Islam Malaysia ini, sebuah masjid dibina tersergam indah ditengah-tengah pusat membeli belah yang berprestij. Kalau jumpa tolong tunjukkan kepada saya. Kalau tak jumpa juga, saya syorkan anda buka mata luas-luas dan lihat rumah ibadat apa yang tersergam indah di tengah-tengah dan menjadi sebahagian dari Mid Valley Shopping Centre.

Aku rasa, apa yang sedang berlaku ke atas orang melayu hari ini ialah satu pengorbanan yang perlu dilakukan oleh Bangsa Malaysia keturunan Melayu, demi mengrealisasikan 1Malaysia. ”Depa tolak, kita ansur, depa tolak lagi, kita ansur lagi, lama-lama kita jatuh lubang, mampuih kena kambus”. Eloklah tu.

Sebelum aku blah, boleh tanya sikit tak? Kalau nak hapuskan ruangan ”bangsa” pada borang-borang rasmi kerajaan demi menghidupkan 1Malaysia, kenapa masih ada sekolah Bahasa Cina dan Bahasa Tamil?

Siapa sebenarnya, pengkhianat bangsa?.

Hingga jumpa lagi, Salam Semerluki.

Wednesday, 23 September 2009

AIDIL FITRI 1430H DAN LAB 1MALAYSIA

Hai!, selamat berjumpa pada hari raya keempat ini, maaf zahir dan bathin jika sepanjang blogging, ada perkataan-perkataan atau isu-isu yang tidak sesuai dengan sifat sensitif anda yang membaca blog saya. But honestly, it won’t stop me from being what I am and putting down on paper, my views as I see it. I think what the country needs now is more honesty rather than hyprocrisy.

I was back with my mum at our family home in Segamat, Johor, for this year’s Aidil Fitri celebration. All my other siblings where there on the first day of celebration except for my youngest brother who is in Indonesia and my 4th eldest who came back only on the 2nd day, late evening. No, don’t worry. I am not going to bore you with my hari raya stories. As it is, hari raya today is not what it was, 50 years ago. Today’s hari raya is more show than substance. Just like what most things are, today.

Bercerita tentang masa lampau, mengingatkan saya tentang PM-PM Malaysia selepas Tun Hussein Onn. Semuanya hebat-hebat belaka. Inovatif, kreatif dan berwawasan. Dr.M dengan dasar penswastaan negara, Malaysia Incorporation, Dasar Pandang Ke Timur dan projek-projek meganya. Pak lah ”kerja dengan saya bukan untuk saya” telah memberi kita Islam Hadhari yang diiktiraf oleh Amerika Syarikat sebagai the right Islam. Jangan lupa projek-projek pembangunan, Wilayah Iskandar, Koridor Utara, Timur, Barat, Sabah dan Sarawak serta Khairy Jamaluddin. Melalui anak Tun Razak, kita disogok dengan NKRA dan 1 Malaysia. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Dasyat!.

Terkini, lab-lab atau melayunya makmal akan diwujudkan untuk memandu-arah kejayaan perlaksanaan ”1 Malaysia, Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Akan ada 8 lab kesemuanya. 6 untuk NKRA dan 2 lab, masing-masing untuk 1 Malaysia & Perpaduan dan Pengurusan Data. Setiap lab akan terajui oleh 20 orang pemimpin yang dipilih daripada the cream of the civil service. Fokus makmal-makmal ini adalah untuk menjana ide-ide yang praktikal, radikal dan inovatif bagi perlaksanaan Fasa II, Pelan Perubahan Kerajaan atau Government Transformation Plan. Bila berjaya nanti, rakyat akan menikmati taraf kehidupan yang berkualiti.

Tak tahulah anda tetapi saya nampak banyak kebaikan ide-ide PM kita ni. Untuk makmal-makmal ini menjalankan tugas mulia mereka, mesti ada ruang pejabat. Takkanlah nak berbincang bawah pokok ketapang. Jadi kenalah beli tanah dan kena buat bangunan. Dapatlah tuan tanah yang bernasib baik jual tanah kepada kerajaan dengan harga 5/6 kali lebih tinggi daripada harga pasaran dan ada pula kontraktor-kontraktor kongsiputera yang dapat projek terpijak. Nak buat kertas kerja mesti ada sokongan personil dan logistik. Fuyoo! bertambah lagi peluang pekerjaan dan kontrak bekal komputer, alat tulis, kerusi meja, dll. Wooit, jangan lupa pula, gaji dan elaun tinggi pemimpin-pemimpin lab ini.

Masalah duit untuk menampong semua projek-projek ini tidak menjadi masalah. Negara tidak akan bengkrap kerananya. Kita naikkan harga petrol, cukai rokok, cukai arak, cukai makan kat restoran, cukai judi. Tak kisahlah, naikkan apa-apa sahaja yang hendak dinaikkan. Jika rakyat mengamuk, jangan bimbang, Malaysia ada lebihkurang 100,000 mat kampau untuk kawal keamanan dan ketenteraman negara.

Semoga Uncle berpeluang jadi Pak Guard lepas bersara nanti di salah satu lab-lab ini, salam bakar duit dari Uncle B.

Friday, 18 September 2009

MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI

Hooray! Malaysia bakal menjadi Pak Pandir lagi. Menang sorak kampong tergadai. “1Malaysia goes F1”, kata The Sun, 16 Sept 2009. Team F1 1Malaysia yang telah ditubuhkan ditaja oleh beberapa syarikat swasta. Pelaburan kerajaan a.k.a. duit rakyat, pula dalam Team F1 ini akan disalurkan melalui Proton. Elok tu, sudahlah sekian lama Proton bleeding the country coffers dry, tambah pula dengan projek F1. Banyak lagilah nampaknya orang tertentu yang akan tambah bini.

Untuk makluman anda, belanja untk menguruskan 1 Team F1 dianggarkan RM 1 billion setahun. Itu belum masuk pembinaan prasarana-prasarana lain seperti wind-tunnel, dll. Tetapi adakah perancang projek ini memikirkan ini semua. Tidak, kerana yang digunakan bukan duit hasil titik peluh mereka sendiri tetapi duit income tax yang dibayar oleh rakyat. Jika negara bengkrap, naikkan apa-apa juga yang boleh dinaikkan dan batalkan segala bentuk subsidi atas nama mengumpul dana untuk pembangunan dan kemakmuran rakyat.

Antara matlamat menubuhkan team F1 ini ialah untuk menjulang nama Malaysia di peringkat antarabangsa, sebagai satu platform untuk melahirkan jurutera automotif bertaraf dunia dan meransangkan pertumbuhan industri kereta negara. Ye lah tu!! Kita tunggu dan lihat 5-6 tahun dari sekarang. Mesti jadi macam projek Pusat Latihan Sukan Negara di Brickendonburry (alah!, lebih kurang gitulah namanya), United Kingdom.

Keperluan asas untuk rakyat hidup selesa dah cukup ke untuk buang duit main kereta lumba? Ingat, Islam tidak suruh kita pergi haji dengan cara menjual rumah tempat anak-anak dan isteri-isteri berteduh.

Sehingga berpeluang bergambar dengan Team F1 1 Malaysia, salam dan byeee!
Dari Uncle B.

Wednesday, 16 September 2009

Eidil Fitri 2009

Tiga hari lagi 1 Syawal menjelma pada 20 Sept 2009, tak kira nampak atau tidak, anak bulan. Umum mengetahui bahawa penetapan Eidil Fitri adalah melalui rukyah. Kalau dah ditetapkan melalui rukyah mengapa mesti tinjau anak bulan. Ada pendapat yang mengatakan untuk syarat sahaja kerana Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh umat Islam menentukan awal Ramadan dan Syawal dengan melihat anak bulan. Jika langit berawan (cloudy), genapkan 30 hari berpuasa.

Firasat Uncle B, ini adalah cermin kepada ideology kepimpinan negara dewasa ini. Kita buat apa yang perlu dilakukan tetapi untuk ambil syarat sahaja. Contoh terbaik, Suruhanjaya DiRaja Kes Linggam, hubalu-hubala, Si Linggam dengan rakan-rakan seperjuangannya, masih macam tu juga. Tiada sebarang tindakan susulan diambil. Entah-entah masih menjadi pengamal undang-undang lagi. Tidak lama lagi akan berlaku satu lagi kes buat kerja ikut syarat aje. Kes PKFZ yang menelan RM 12 billion duit rakyat. Entah berapa banyak task force yang dah ditubuhkan. Price Cooper Waterhouse dah buat investigative audit, ada Public Accounts Committee, ada special task force siasat PKZF, SPRM siasat dan polis pun siasat. Laporan PAC telah pun dimajukan ke cabinet. Gerenti punya, cabinet akan bising-bising sekejap, lepas itu senyap dan rakyat akan lupa duit mereka dah lesap. Orang kita mudah lupa. Yang pandai mereka, yang bahlol, kita.

Kita akan menyambut Eidil Fitri 1430 pada 20 September ini. Semoga kita menyambut hari tersebut sebagai tanda kemenangan melawan hawa nafsu dan bukan sebagai peluang untuk tayang pakaian, langsir, furniture, dll, yang baru. Jangan sampai ada yang berkata tidak sempurna hari raya kalau tiada benda-benda baru. Yang Uncle B belum dengar lagi dan ingin sangat mendengar ialah ada suami yang beristeri baru untuk menyambut Eidil Fitri.

Sebut fasal menyambut kedatangan 1 Shawal ini, Uncle teringat masa kecil-kecil dahulu. Barangkali udah tabiat orang tua agaknya, asyik nostalgia. Masa itu Hari Raya cukup meriah. Kami akan keluar dalam satu kumpulan yang agak besar sehingga 15 orang dan pergi dari rumah ke rumah. Betul, terselit juga niat nak dapat 10 sen atau 20 sen setiap kunjungan tetapi kami hanya menziarah rumah pak cik-pak cik yang kami kenal sahaja, yang ada kemungkinan kami buat dosa terhadap mereka pada tahun hijrah yang lalu.

Berbeza dengan anak-anak hari ini yang sanggup bertandang dari satu kawasan perumahan ke satu kawasan perumahan yang lain semata-mata untuk collect ang-pow dari pak cik dan mak cik yang mereka tidak kenal lansong bahkan belum pernah bersua muka sebelum ini. Adakah ini budaya Islam menyambut Eidil Fitri dan siapa agaknya yang mengajar anak-anak kita bahawa ini adalah budaya kita.

Pada pagi raya, siapa antara kita yang masih ingat amalan bertukar-tukar hidangan pagi raya antara jiran tetangga atau selepas sembahyang raya, kaum bapa secara berkumpulan menziarah rumah/keluarga sesama sendiri sebelum balik ke rumah masing-masing dan meneruskan menziarah ahli-ahli keluarga yang lebih tua pula untuk memohon ampun dan maaf. Hari ini kebanyakkan dari kita hanya terperesuk menghadap TV dari pagi hingga malam. Menziarah pula kena tunggu rumah terbuka. Itu sebab Uncle bengang bila ada rakan-rakan atau anak buah yang bertanya, bila nak buat rumah terbuka. Jawapan Uncle, dulu, kini dan akan datang, tetap sama, rumah Uncle sentiasa terbuka.

Dua tiga hari menjelang Shawal, arwah abah akan membawa kami balik ke kampong di Segamat, Johor untuk bersama arwah atuk dan nenek. Seronok apabila dapat berkumpul bersama-sama sepupu-sepupu yang lain. Tolong atuk anyam ketupat, isi beras pulut dalam buluh buat lemang, bakar lemang dan yang selebihnya buat kecah. Kami seronok tengok arwah nenek, terjerit-jerit marahkan kita orang. Tidak ketinggalan kami buat meriam buluh, pakai karbait, lawan tembak-tembak dengan budak-budak kampong sebelah. Seingat Uncle, tak ada pula antara kami yang putus jari. Time dulu-dulu, main mercun dan bunga api adalah satu kemestian sebelum mercun diharamkan kerana beberapa ekor beruk punya pasal yang tak tahu langkah-langkah keselamatan main mercun. Kami sambung mercun besar antara satu papan dengan satu papan, panjat pokok, gantung pada dahan yang tinggi dan kemudian conoh sumbunya dengan colok. Dasyat Yob, sehingga 2 minit berdentum-dentam, bergantong kepada berapa papan mercun yang kami sambung.

Uncle tak tahulah sama ada anda setuju dengan uncle atau tidak. Rasanya semenjak dua tiga menjak ini, sambutan Hari Raya Eidil Fitri dah hambar dan tawar sahaja. Dulu persediaannya ala kadar tetapi dibuat secara beramai-ramai satu keluarga, abah cari kayu api, emak dan nenek isi buluh lemang, yang lelaki rebus ketupat dan masak lemang. Ada gotong royong, ada peluang merapatkan siratulrahim antara adik-beradik dan ahli-ahli keluarga jauh dan dekat. Dapat kenal sepupu sepapat, Pak Lang, Pak Ngah, Pak Busu. Sekarang, macam mana nak rasa camaraderie menyediakan hidangan pagi raya kalau ketupat dalam plastik, rendang dan lemang beli yang dah ready made.

Pagi raya tunggu semua ahli keluarga ada, baru menjamah hidangan. Tidak seperti hari ini, makan pagi raya ikut siapa yang sampai dulu ke kampong. Macam mana semua ahli keluarga nak berkumpul kalau ada anak yang dah jadi tokoh koperat baru sampai dari London atau ada anak lelaki yang bukan tokoh apa-apa pun tapi takut bini lalu beraya kat kampong isteri aje setiap tahun (petang baru sampai kampong sendiri).

Ringkasnya, sambutan Hari Raya Eidil Fitri akhir zaman ini dah hilang oommphhnya! Bukan lagi seperti menyambut kemenangan besar berjuang melawan nafsu sepanjang bulan Ramadhan tetapi hanya sebagai menandakan tamatnya bangun sebelum subuh untuk sahur dan bermula masa boleh pekena roti canai di pejabat setiap pagi. Bukan lagi seperti pemberontak Angola menyambut kemenangan berjuang bermati-matian melenyapkan askar kerajaan tetapi sebagai askar kerajaan menembak mati banduan di penjara sahaja.

Hingga sembang lagi lepas raya, Selamat Hari Raya Eidil Fitri, Maaf Zahir & Bathin dari Uncle B yang akan berhari raya di Segamat, Johor, tahun ini (ikut giliran Yob, adil)

Sunday, 13 September 2009

TETAMU DAN INTERNET PDRM


Saya dididik untuk menghormati dan mengutamakan tetamu. Pada 10 September 2009 yang lalu, saya dan 6 orang rakan sekerja yang bertugas di sebuah agensi penguatkuasa undang-undang negara telah dijemput untuk menghadiri satu majlis berbuka puasa. Saya tergamam apabila sebagai tetamu kami ditempatkan di sebuah meja dan dihidangkan lebih kurang 12 butir tamar dan lapan botol air mineral. Beberapa buah meja yang lain walaubagaimana pun telah tersedia kueh-muih dan makan malam yang dihidang dalam ”food dome”. Barangkali mereka yang berada di meja-meja berkenaan adalah pegawai tinggi ajensi kerajaan yang menjemput kami atau tetamu yang diundang. Persoalannya, apakah kami bukan tetamu yang diundang.

Tiba waktu berbuka puasa, saya hanya menjamah sebutir tamar dan seteguk air yang saya minum terus dari botol minuman kerana tiada sebiji gelas minuman yang diletakkan di meja kami. Merasa dihinakan sebagai tetamu, saya terus meninggalkan majlis dengan dua orang rakan yang lain.

Tidak hairan jika majlis tersebut dianjurkan oleh sebuah organisasi atau individu yang tidak memahami budaya dan norma hidup orang melayu tetapi apabila ianya dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan, saya tertanya-tanya. Apakah pegawai-pegawai Jabatan berkenaan mengerti makna Komunikasi dan Kebudayaan. Jika masih kabur, saya mintalah KSU Kementerian berkenaan atau Menteri untuk meninjau-meniajau anak buah.

Sebagaimana saya ragu-ragu dengan kefahaman pegawai-pegawai JASA mengenai komunikasi dan kebudayaan, begitu juga saya tidak berapa yakin tentang kefahaman pegawai-pegawai PDRM yang bertanggung-jawap mengenai matlamat penggunaan komputer atau sistem ICT dalam penugasan. Jika tidak, masakan tempoh masa untuk satu sessi muat-turun perisian dari internet melalui Local Area NetworkPDRM, lebih perlahan daripada tempoh masa yang diambil oleh seekor kura-kura untuk berlari 100 meter. Tidak percaya. Sila hubongi Supt Meor Faridalatrash, rakan baik sepejabat saya.

Bosan dengan serangan virus yang bertalu-talu menerobos system komputer yang dibekalkan oleh PDRM kepada kami, saya dan brother Meor membeli perisian anti virus KAPERSKY dengan duit gaji sendiri. Akibat bergantung kepada perisian anti virus yang disediakan oleh kerajaan dan sambungan internet (LAN PDRM) yang sekejap ada, selalu tak ada, habis komputer-komputer di pejabat kami diserang virus.

Anti-virus Kapersky yang dibeli oleh brother Meor mempunyai lesen untuk installation di tiga buah komputer. Installation pertama dibuat di komputer pejabat brother Meor. Selepas installation, perisian tersebut secara automatik mengemaskan virus databasenya. Installation bermula lebih kurang jam 3:30 petang. Proses installation sekejap aje. Kemaskini perisian adalah melalui capaian internet. Bermakna perisian tersebut menggunakan capaian internet PDRM (LAN) untuk mengemaskini databasenya. Pukul 5:30 petang, proses kemaskini belum lagi selesai. Brother Meor meninggalkan komputer tersebut running, kunci pejabat dan terus balik ke rumah. Di rumah, brother Meor membuat installation kedua di komputer peribadinya.

Keesokan paginya apabila sampai ke pejabat jam 8 pagi, perisian Kapersky di komputer pejabatnya (brother Meor) masih lagi dalam proses mengemaskini databasenya. Akhirnya, jam 9:30 pagi baru selesai. Berapa jam tu? Menurut brother Meor, installation di komputer peribadinya di rumah, termasuk proses mengemaskini database, mengambil masa hanya 20 minit. Bayangkan. Perisian yang sama. Di rumah mengambil masa 20 minit, di pejabat, 18 jam. Untuk makluman para pembaca, begitulah canggih dan pantasnya sistem ICT PDRM.

Bye, dari Uncle Bob yang telah berhadapan dengan masalah logistik PDRM yang sedemikian sejak 32 tahun yang lalu dan hamper-hampir gila dan sasau dibuatnya.

Thursday, 10 September 2009

KERANA ISLAM DAN INTEGRITI

Utusan Malaysia 8 September 2009, memetik Datuk Seri Najib sebagai berkata “Saya sanggup berunding dengan PAS untuk kepentingan Islam tetapi tidak rela UMNO dihina oleh sesiapa sahaja. Kalau nak buat, buat cara baik, jangan perkecil dan pertikai akidah kita, jangan kata kita luaran saja, dalam tidak, sebab ini akan menimbulkan kekalutan dalam masyarakat, yang penting kita buat dengan baik.” “Penilaian sama ada yang kita buat diterima atau tidak, itu bukan kerja kita, kerja Allah”.

Pandangan pandir saya, jika kita sebenar dan seikhlas-ikhlasnya mahu berunding untuk kepentingan Islam, ada baiknya jika kita tidak bersuara atas platform kepartian atau bangsa. Kita berbincang atas dasar kita seorang muslim bukan sebagai orang Islam berbangsa melayu atau dalam ruang lingkup yang lebih merosakkan, sebagai orang Islam berbangsa melayu yang menjadi ahli UMNO atau PAS.

Bahayanya apabila berbicara atas platform partai atau bangsa, kita akan tenggelam isu utama iaitu menegakkan syiar Islam tetapi sebaliknya melihat Islam dari sudut pandangan partai masing-masing. Itu yang jadi satu pihak kata, pihak lawan tidak mengamalkan Islam sebenar dan pihak lawan pula kata, the other side mempraktikkan Islam yang extremis.

Kalau betul mahu bermuzakarah untuk kepentingan Islam, kenapa tidak dijemput sama kaum Cina, India, Sikh, Kadazan, Kelabit, Dayak, Temiar, Mat Salleh atau lain-lain bangsa bukan melayu tetapi yang berugama Islam, tanpa melihat kecenderungan politik mereka, untuk berbincang sama. Kenapa mesti PAS dan UMNO sahaja. Tidak adakah penganut Islam dalam PKR. DAP, GERAKAN, SNAP dan banyak lagi parti politik yang berada di Malaysia. Apakah Islam di Malaysia monopoli PAS dan UMNO sahaja. Ataupun sebenarnya, apa yang dibimbangkan bukan masalah Islam tercicir atau dipinggirkan tetapi isu ketuanan melayu. Jika Islam yang hendak ditegakkan kenapa tidak mentadbir cara Islam. Perhatikan betul-betul. Saya tak sebut pun, laksanakan hukum hudud. Saya kata perintah cara Islam dulu. Besar kemungkinan apa yang dirisaukan sangat ialah kehilangan kuasa atau ketuanan orang Melayu kerana jika melayu tidak berkuasa, ada segolongan melayu yang hilang peluang buat duit. Sebaliknya jika Islam berkuasa, tidak timbul soal PM Melayu, Cina atau India atau isu Cina kaya, Melayu kaya atau India kaya. Islam tidak memandang bangsa tetapi ketaatan seseorang itu kepada Allah kerana itu sesiapa pun boleh masuk syurga tanpa mengira bangsa asalkan Islam. Betul tak?

Seperkara lagi, kalau kita menegur kesilapan seseorang, adakah itu dikatakan menghina? Katakan saya menegur seorang gadis bertudung yang membongkok (bahasa pasarnya menonggeng) untuk mengambil beg duitnya yang terjatuh, tiba-tiba terdedah alur punggungnya dan ternampak dek orang yang lalu lalang, kelibat seluar dalam lacenya yang berwarna pink (awek ni pakai hipster jean dan T’Shirt ngam-ngam tutup pusat tapi bertudung), Saya bisikkan padanya, ”Dik, kurang enak dik kalau bertudung tapi berpakaian yang telah mendedahkan seluar dalam dan 1/3 punggung adik”. Adakah perbuatan saya itu keterlaluan, mempersenda, memperkecil atau mempertikai akidah gadis tadi atau menghinanya. Cuba fikirkan. P/S – Gambaran ini pernah berlaku di sebuah shopping komplex di Damansara, cuma warna pantiesnya saya tukarkan untuk melindungi sigadis.


Akhbar The Sun hari yang sama (8/9/2009) melaporkan Perdana Menteri Taiwan, Liu Chao-shiuan telah meletakkan jawatannya kerana merasa bertanggungjawab di atas kegagalan kerajaan Taiwan menangani dan mentadbir-urus the aftermath atau kesan Taufan Morakot yang menyerang Taiwan. En.Liu mesti ada menteri, jabatan, agensi kerajaan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan di bawahnya yang sepatutnya menguruskan kesan bencana besar sedemikian. Tidak terdengar pula Mr. Shiu mencari scapegoat atau kamping hitam di kalangan pegawai bawahannya untuk disalibkan. Dia PM. dia accountable, jadi dia letak jawatan.

Tahap accountabilty seperti ini oleh pemimpin-pemimpin negara Asia bukan Islam pernah juga ditunjukkan oleh Menteri Pengangkutan Cina suatu masa dulu yang meletak jawatan apabila 2 buah keretapi berlanggar hingga menyebabkan kehilangan nyawa yang besar atau Menteri Dalam Negeri, Korea Selatan yang juga meletak jawatan apabila seorang koperal polis mengamuk (kerana tekanan kerja) dan menembak mati 6 orang yang tidak berdosa. Cuba fikirkan.

Bila agaknya negara kita akan mencapai tahap kebertanggungjawapan sedemikian oleh pemimpin-pemimpin kita. Tapi ..... elok juga. Kalau tidak nanti, banyak kosong kerusi Dewan Rakyat (dan tak habis-habis PDRM buat jaga aman pilihanraya kecil) dan banyak pula jawatan-jawatan kosong di jabatan dan agensi kerajaan yang lain.

Salam dari Uncle B yang pusing kepala memikirkan, kenapa walaupun dah ada Institut Integriti Negara, kes-kes gelapkkan duit seperti kes Paya Indah Wetlands, The Linggam Tapes dan PKZF (antara lain) boleh berlaku.

Calo!!!!!

Monday, 7 September 2009

BERPUASAKAH KITA?

Hari ini, 7 Sept 2009, masuk hari yang ke 17 kita berpuasa. Semasa berbuka puasa, tidak kiralah di rumah, rumah saudara mara, restoran atau hotel, pernahkah kita bertanya diri sendiri. Apakah cara kita berbuka puasa menunjukkan yang kita memahami dan menghayati konsep di sebalik ibadah puasa itu sendiri. Pengalaman saya mendapati apabila berbuka puasa di rumah sendiri, kita akan melampaui batas. Dengan hidangan kuih muih dan lauk pauk yang melebihi daripada kelaziman hidangan makan malam kita di hari-hari biasa. Jangan sebutlah berbuka di hotel-hotel dengan beratus jenis hidangan dan kos antara RM 60 hingga RM 100 satu kepala. Masa-masa begini, adakah kita terfikir tentang mereka yang kurang bernasib baik dari kita, di mana berpuasa merupakan amalan seharian kerana kemiskinan atau jika menjamah nasi, hanya berlaukkan kicap dan telor goreng. Saya diajar bahawa antara ajaran berpuasa ialah supaya kita dapat merasai atau emphatised dengan kesusahan yang dialami oleh golongan miskin, semoga timbul iktikad untuk menolong mereka (orang miskin) seberapa termampu.

Justeru itu, kalau kita pemimpin atau pentadbir negara, tidaklah kita sewenang-wenangnya membazirkan duit rakyat dengan projek seperti Port Klang Free Zone tetapi yang boleh mengembungkan poket pemimpin. Jika kita ada emphathy dengan anak-anak miskin, tidaklah tergamak kita gunakan duit rakyat untuk makan angin di Disneyland atau melawat anak di Australia. Barangkali itu sebab agaknya, Ayatollah Khomeini apabila melonjak menjadi Presiden Iran, tidak duduk di mahligai RM200 juta seperti di Putrajaya atau Tuan Guru Nik Aziz, yang walaupun telah bertahun menjadi MB Kelantan masih duduk di rumah lamanya sendiri bahkan mengembalikan elaun sewa rumahnya sebagai menteri besar. Kalau 24 jam duduk dan makan dalam kemewahan, bolehkah kita merasai apa yang golongan fakir merasai.

Saya percaya mesti Ayatollah Khomeini dan Pak Guru berbuka puasa ala kadar sahaja. Itu sebab mereka prihatin dengan kesengsaraan rakyat dan tak tergamak mengsonglap duit rakyat. Tidak seperti seorang bekas ketua pentadbir sebuah negeri, boleh duduk villa mewah yang ada kolam renang lagi.

Syukur Alhamdullillah, saya berbuka puasa sebagaimana saya makan malam di hari-hari biasa, cuma tambahan 2 jenis kuih dan tamar sahaja. Jika menghadiri jemputan di hotel mewah pun, saya berhenti makan sebelum kenyang dan tidaklah melantak sampai terbongkang macam ular sawa. Lagi pun saya dididik bahawa Islam tidak mengajar kita supaya ada special meals atau berlebihan semasa berbuka. Sunnahnya kita hanya perlu berbuka dengan tamar dan kemudian makanlah seperti hari-hari biasa.

On a lighter note, baru-baru ini kapal selam Tentera Laut Malaysia yang pertama telah selamat sampai ke negara kita.lalu dinamakan KD Tunku Abdul Rahman. Khabarnya ada malaun-malaun yang nak namakan kapal selam tersebut sebagai KD Altantuya. Kesian minah tu, orang lain dapat ratusan juta ringgit, dia yang berkecai badan dikandung tanah. Tak tahu pulak sama ada ini cerita betul atau saje dia orang nak kenakan aku. Wallahhuallam!

Hingga jumpa lagi, salam dari Uncle B yang masih tak dapat memikirkan bagaimana seseorang yang tidak pernah menjejak kaki di Malaysia boleh di bunuh di sini. Tak percaya tanya Imigresen yang tiada rekod ibu muda tersebut masuk Malaysia. Selamat berbuka puasa dan jangan memikirkan perkara yang pelik-pelik kerana di negara serba boleh ini, tiada apa yang mustahil.

Friday, 4 September 2009

MANUSIA PUN ADA TARIKH LUPUT

Isteri saya bekerja di sebuah badan berkanun kerajaan. Bermakna warga badan tersebut tertakluk kepada peraturan dan terma-terma kerja yang ditentukan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. Tentu sekali gaji mereka dibayar oleh kerajaan.

Baru-baru ini semasa berbual kosong dengan isteri tersayang, darling saya menyatakan rasa tidak puas hatinya kerana Big Bossnya dilanjutkan perkhidmatan kontrak selama 1 tahun lagi menjadikan 3 tahun kontrak big boss tersebut telah disambung. Saya jolok sikit (epps!!,jangan fikir yang bukan-bukan ah!), “Yang you marah sangat orang tua tu sambung apasal, mungkin dia seorang pegawai kerajaan yang excellent dan banyak lagi perkara yang dia ingin laksanakan bagi memajukan jabatan dia”. Marah isteri saya bila saya cuba defend big boss dia. “Bukan I sorang yang menyampah, majoriti staff kat pejabat pun marah. Macam dia aje yang boleh buat kerja. Habis tu, dia punya timbalan tak boleh take over ke dia punya post, tak boleh continue ke kerja dan idea-idea bernas untuk memperbaiki jabatan yang telah dia asaskan. Bagilah peluang orang lain naik pangkat”. Peh!! emo betul mak andeh uncle bila discuss pasal boss dia sambung kontrak untuk kali ketiga. Dalam diam saya mengaku, ada betul juga cakap bini aku ni.

Perbincangan tersebut membuat aku bertanya dalam hati. Pegawai-pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia, ada ke yang main sambung-sambung perkhidmatan secara kontrak apabila tiba masa bersara wajib. First cousin aku (bapa kami adik beradik) seorang bekas Panglima Tentera Laut Malaysia. Cukup umur 55 tahun, brother aku tu bersara. Dapat juga timbalan dia jadi panglima tentera laut dan pegawai lain naik pangkat jadi timbalan panglima. At least 5 orang dapat naik pangkat apabila seorang panglima bersara.

Dengan menanggung risiko dicap sebagai tidak setia dan derhaka, aku dapati di tempat aku bekerja, lain sikit pemikiran dia orang. Agaknya kalau boleh, semuanya nak terus pakai uniform sampai ke liang lahad. Barangkali mereka yang nak menongkat langit dalam pasukan ni, ada banyak agenda yang perlu dilaksanakan untuk menaikkan imej dan prestasi pasukan dan orang lain tak mampu atau tak reti nak merealisasikan idea-idea tersebut. Yang aku hairan, bermula dari Tan Sri Claude Fenner hingga sekarang, PDRM telah mempunyai 8 orang KPN. Bukannya tempat aku untuk menuding jari menyalahkan mana –mana daripada 8 orang big boss pasukan, tetapi kenapa sampai saat ini, imej PDRM bukannya bertambah baik tetapi bertambah teruk dan kita bukannya makin dihormati dan disanjung oleh rakyat tetapi makin diperlekeh dan disekeh-sekeh kepala kita oleh penjenayah. Entahlah.

Mungkin aku dengki agaknya kerana aku tak berpeluang pakai uniform sampai mati.Tapi, kalau dibagi peluang pun untuk bersara pada umur 65 tahun, dengan keadaan PDRM hari ini, cukuplah sehingga bersara wajib nanti. Itu pun aku tengah seriously thinking untuk bersara pilihan walaupun tempoh bersara wajib dah hampir. Kalau aku kena loteri RM 3 juta, hari ini aku collect duit, esok aku letak jawatan 24 jam, bukan setakat bayar 1 bulan gaji sebagai ganti notis 1 bulan, aku bayar 3 bulan gaji.

Sedihnya masa aku bertugas di cawangan Pencegah Kongsi Gelap, Maksiat & Perjudian dulu, aku pun ada perancangan untuk membersih dan memutihkan D7. Kalau tidak, takkan aku tergamak membuat laporan polis terhadap inspekter aku sendiri kerana salah laku undang-undang. Malangnya aku tak dibenarkan terus dalam D7 sampai pencen kerana bak kata bos aku dulu, ”nobody is indispensable”. Maknanya lebih kurang macam ni lah. Kalau anda tak ada, D7 tak akan berkubur. Aku akur dengan kenyataan tersebut dan aku percaya dengan keluarnya aku dari D7, satu inspekter dapat peluang naik pangkat ASP dan seorang lagi pegawai dapat hidup senang sikit jika pandai memenafaatkan keadaan. Dan aku juga percaya, mungkin pegawai yang menggantikan aku lebih berdaya usaha dan dapat melonjakkan D7 ke tahap prestasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang (jangan temberang sudah).

Barang makanan, ubat-ubatan, dsbnya, ada tarikh luput atau expiry date. Cukup tempoh yang ditampal pada kotak, campak dalam tong sampah kerana jika terus digunakan mungkin memudaratkan. Izinkan saya berkongsi pandangan seorang guru saya. Kata Pak Guru tersebut, ”Manusia pun ada waktu bersaranya, bila tiba waktu bersara wajibnya, tidak ada sambung nyawa secara kontrak akan diberikan. Allah tidak akan memanjangkan nyawanya walau sesaat pun.

Saya bukan pakar dan justeru itu bukan orangnya untuk membincangkan isu sambung-menyambung kerja ini sama ada dari sudut ilmiah, emosional atau kepentingan politik negara. Saya serahkan kepada anda untuk menterjemahkan apa yang tersirat dan tersorok di celah-celah posting ini.

Selamat mengorek dan mencungkil benda-benda yang tersorok. Salam dari Uncle B yang masih memikirkan apa pengajaran yang cuba disampaikan oleh Pak Guru uncle.

Bye!.

Wednesday, 2 September 2009

BACULKAH PDRM

Cerita mengenai penduduk Kampong Buah Pala, Pulau Pinang, menghalang sebuah van polis daripada membawa 3 orang AJK kampong berkenaan keluar daripada Balai Polis Jelutong sebagaimana disiarkan oleh The Star 31 Ogos 2009 membuat saya rasa bersyukur, yang saya hanya tinggal 445 hari sebelum menanggalkan uniform biru PDRM. Bukan tak sayang PDRM, yang darinya saya dapat gaji untuk sara anak bini, ibu bapa dan diri saya sendiri untuk hidup. Cuma kalau orang yang kita sayang dah tidak lagi senonoh dan tak boleh berubah perangai, sebagaimana mula kita berkasih sayang, tak patutkah kita humbankan minah atau mamat tu ke dalam longkang. Kata arwah atuk saya, menabur kasih biar bertempat.

Berita tersebut membuktikan betapa bacul, dayus dan hinanya PDRM hari ini sehinggakan boleh digertak-gertak dan dihalang daripada menjalankan tugas. Kalau ahli silat, lagi lama berguru, makin banyak bersilat, makin banyak pengalaman, semakin pendekar. Berbeza nampaknya dengan PDRM, makin lama (202 tahun) menjalankan tugas makin menikus kepada pesalah undang-undang. Kalau setakat tunjuk lagak dan tengking anak buah sendiri sana sini, itu ibarat hero/heroin kampung aje (macam kebanyakkan ahli-ahli sukan negara kita).

Mengapa begini jadinya PDRM. Dari sebuah ajensi penguatkuasa bertukar menjadi agensi yang tidak berkuasa. Inilah padahnya kalau organisasi bukan politik ingin menjadi sebuah badan politik atau pemimpinnya (organisasi) nak jadi ahli politik. Cara berfikir ahli politik Malaysia, lain sikit. Pengurus tulen bertindak untuk memastikan objektif organisasi tercapai. Ahli politik Malaysia bertindak bagi memastikan keuntungan peribadi terlaksana. Itu sebabnya pada hemat saya ahli politik rajin membuat keputusan yang salah tetapi popular dan boleh meraih undi dan bukan keputusan yang menguntungkan negara dan rakyat tetapi boleh menyebabkan mereka hilang undi.

Sosek-sosek dengan Spy Leman, saya dapat tahu bahawa van polis tersebut membawa 3 orang AJK Kampong Buah Pala untuk mendapatkan perintah reman daripada majistret. Beberapa laporan polis telah dibuat bahawa ketiga-tiga mereka ini telah mengancam (i.e. ugutan jenayah) beberapa orang pemaju perumahan. Bermakna ketiga-tiga hamlau ini adalah saspek dalam satu kes jenayah dan boleh dituduh di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan.. Tetapi oleh kerana dihalang oleh orang ramai, saspek dibebaskan dengan jamin polis sahaja. Bukti bahawa polis buat kerja bukan ikut undang-undang tetapi ikut kehendak penjenayah.

Saya tidak ada ijazah undang-undang tetapi sebodoh-bodoh saya, saya tahu bahawa menghalang penjawat awam menjalankan tugas adalah satu kesalahan undang-undang. Pegawai polis adalah penjawat awam. Bawa saspek ke mahkamah untuk dapatkan reman adalah satu tugas rasmi. Menghalang van polis yang bawa saspek ke mahkamah adalah menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Habis kenapa tak ambil tindakan undang-undang di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan. Untuk makluman anda, sepanjang 32 tahun bertugas saya telah 4 kali mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang kerana cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas terhadap mereka yang enggan bekerjasama dengan saya, Sekali tu apabila saya cuba membawa anak seorang Dato’ ke balai polis untuk siasatan. Dato’ itu ok, yang terlebih adalah saudara mara dia, konon anak Dato’ tak boleh tangkap. Tapi itu cerita lama.

Pejam celik-pejam celik, lambat laun saya akan menjadi Joe Public (orang awam). Itu yang membuat saya gusar dan gundah gulana. Sebagai orang awam, saya mengharapkan pihak polislah untuk menjaga dan menjamin keselamatan persekitaran di mana kami bergerak supaya saya dan ahli keluarga dapat hidup dengan selamat. Tapi kalau (pada pandangan saya) pihak yang bertanggungjawab menjaga keamanan negara, asyik tekun menjaga kepentingan golongan tertentu, kepada siapa lagi saya dan rakyat hendak menaruh harapan (macam lagu Zaiton Sameon plak).
Hingga membebel lagi, salam chup chup dari:-
Uncle B

Sunday, 30 August 2009

KALAU NAK BERJAYA DALAM PDRM - PART 1.

Posting terakhir untuk bulan Ogos 2009 ini Uncle B tujukan khas kepada 62 orang Inspekter Percubaan yang telah melapor diri ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersil khasnya dan semua Inspekter PDRM yang masih lagi dicuba.

Dengan pangkat setakat Superintendent dan kelulusan setakat diploma lanjutan, peluang untuk memberi after dinner talk atau berdiri atas pentas semasa perhimpunan bulanan untuk menyampaikan pep talk kepada anda, memang tiada. Avenue untuk saya menyebarkan pengajaran, pelajaran dan pengalaman yang saya perolehi semasa menuntut di University of Life, hanyalah melalui blog ini.

Saya percaya 30 tahun dari sekarang apabila anda hampir bersara dari pasukan, anda impikan sekurang-kurangnya menjadi Ketua Polis Negeri yang bergelar Dato’. Ini bukan perkara semustahil naik pangkat 2 kali dalam setahun. Untuk mencapai impian anda, amat mudah. Work Smart bukan Work Hard. Saya tidak menyarankan anda pandai membodek kerana mengampu semata-mata tidak ke mana sangat perginya. Untuk sementara waktu mungkin tetapi bukan untuk selamanya. Jauhkan dari working hard atau rajin bekerja kerana anda akan diperkuli atau diperkuda sahaja jika anda setakat rajin bekerja.

Working Smart atau Kerja Pandai (ingat ..bukan pandai bekerja) bermakna mengenali, memahami dan menjiwai budaya organisasi di mana anda bekerja. Bukan setakat itu, pekerja yang kerja pandai perlu peka kepada etika dan nilai sosial masyarakat dan negeri di mana organisasi itu beroperasi. Uncle percaya jika anda bertugas di sebuah pejabat kerajaan di Kelantan, anda akan berhati-hati dengan cara anda berpakaian dan berinteraksi sesama sendiri. Cara anda mengaturkan sesuatu majlis pun saya rasa akan bertukar, tiada lagi karaoke atau poco-poco dalam majlis rasmi yang dihadiri oleh pemimpin negeri.

Bagaimana budaya organisasi PDRM? Saya akan membiarkan anda mencari jawapannya sendiri. Adakah PDRM menghargai pandangan kontra sebagai satu aspek penting dalam elemen check and balance pengurusan atau PDRM lebih senang dengan pak hangguk di kalangan warganya. Adakah PDRM answerable to the law and the law alone ataupun adakah kita politicians in the making yang mengharapkan menjadi ahli lembaga pengarah government linked companies apabila bersara nanti.

Saya tabik dengan nenek moyang kita kerana walaupun tidak pernah bersekolah, mereka telah tahu terlebih dahulu bahawa untuk berjaya dalam kerjaya, kita harus mengikut dan akur dengan budaya organisasi tempat kita bekerja. Jika tidak, masakan ada peribahasa, “Masuk Kandang Kambing Mengembek, Masuk Kandang Lembu Menguak” atau jika anda lebih selesa dengan peribahasa Inggeris, ”When In Rome, Do As The Romans Do”. Tapi ini semua terpulang kepada anda. Anda mahu ikhlas kepada diri sendiri atau terus jadi yes man atau yes woman walaupun dalam hati kecil, anda tahu bahawa apa yang dihanggukkan itu salah. Terpulang.


Working Smart juga bererti anda mesti berperangai macam politikus. Cakap gembar gembur tapi kerjanya sikit. Kena tonjol diri sana sini dan to the right persons. Takkan nak menang undi di kawasan parlimen Segamat, anda pergi bersalam-salaman dengan penduduk Teluk Intan. Itu terencat akal namanya. Anda kena rajin menghadiri apa juga majlis yang diadakan oleh jabatan. Dan apabila hadir majlis-majlis berkenaan, jangan buang banyak masa sangat dengan mereka yang bawah daripada anda atau yang sepangkat dengan anda. Kalau dia orang pun terkial-kial nak cari cable naik pangkat, macam mana nak tolong anda naik pangkat atau dapat jawatan yang lumayan. Jadi banyakkan bercampor dengan mereka yang lebih kanan daripada anda. Buat baik dengan dia orang dan selalu pamirkan muka anda depan depa. Bila tiba masa nak rekomen untuk naik pangkat atau ke tempat yang baik punya, pasti wajah anda sentiasa terbayang dalam benak mereka. Cuma satu ingatan, nak buat baik tu biar berpada-pada. Jangan buang masa dengan mereka yang dah sarat nak bersara. Perabis beras aje.

Satu lagi prinsip, ”Working Smart” ialah ”Work Must Not Only Be Done But Must Be Seen To Be Done” atau “Kerja Bukan Sahaja Mesti DiLaksanakan Tetapi Mesti Dilihat Sedang Dilaksanakan.” Katakan bos bagi anda masa 2 minggu untuk siapkan satu assignment. Jangan siapkan kerja secara senyap-senyap dan hantar melalui PA boss hasil kerja yang telah anda siapkan. Mutu kerja mungkin bagus tapi bos tak nampak muka orang yang buatnya. Macan mana bos nak ingat anda. Caranya, setiap 2 atau 3 hari sekali, jumpa bos. lapor perkembangan assignment yang sedang anda laksanakan dan bila siap, hantar sendiri kepada boss. Satu lagi tip tambahan. Kalau bos balik lambat, anda pun kena balik lambat. Yang penting, tunjukkan pada bos yang anda balik lambat. Bawa fail dan buat muka berkerut semasa bos nak masuk kereta balik ke rumah.

Membuat kerja tak semestinya anda yang mesti buat kerja tu sendiri. Anda hanya perlu tunjukkan pada bos yang anda buat kerja tu. Sebagai pegawai kanan yang sekurang-kurangnya berpangkat Inspekter, anda ada anggota bawahan kan? Suruh aje budak-budak tu buat kerja. Perah tenaga dan idea budak-budak tu atau pegawai yang lebih kiri dari anda. Yang penting apabila briefing progress kerja kepada bos, jangan sebut nama mereka yang sebenarnya buat kerja tu dan jangan sekali-kali biarkan mereka brief bos tentang kerja tersebut. Rosak nanti. Jangan bimbang, itu bukan memperkuda orang bawah tapi delegation of work. Ingat tak peribahasa melayu, ”Lembu Punya Susu, Sapi Punya Nama”. Masih tak percaya orang dulu-dulu lebih bijak dari kita?

Sebenarnya banyak lagi tip-tip untuk maju dalam kerjaya yang boleh Uncle sampaikan tapi cukup dulu setakat ini. InsyaAllah, dalam posting yang akan datang, Uncle akan selitkan 1,2, tip lagi. Anda tentu bertanya, kalau Uncle tahu semua ini kenapa tak amalkan. Jawapannya senang. Salah Uncle punya seniors masa P.I. dulu. Dia orang kata nak naik pangkat kena rajin kerja, kena berintegriti, kena tunjukkan yang kita boleh berfikir. Jadi bila ada pandangan seniors yang Uncle rasa tak betul, Uncle bangkanglah. Salah langkah rupanya. Uncle lupa bahawa budaya kerja di Malaysia ialah, ”The Boss Is Not Always Right But He/She Is Always The Boss”. Ingat itu dan jangan tunjukkan pandai. Buat bodoh dan kutuk bos dalam hati. Selamat.

Kalau Uncle tahu perkara ini lebih awal, dah lama uncle amalkan. Paling koman dah jadi KP sekarang ni. Nak dipraktikkan sekarang, dah terlewat, dah isya dalam pasukan. Tapi yang payahnya, uncle ni seksa sangat nak jadi yes man. Dah cuba dah tapi tak berdaya. Dah fitrah diri, nak buat cammana.

Hingga jumpa lagi, tepuk dada tanya selera, dari Uncle B.