Friday, 19 November 2010

UNIVERSITI PANJANG AKAL

Kalau kita rajin mengira ada tidak kurang 200 lebih institusi pengajian tinggi swasta dan awam di Malaysia tatkala ini, mungkin lebih. Baguslah tu, sesuai dengan hasrat kerajaan nak jadikan Malaysia hub pendidikan tersohor kalau tidak di dunia, di Asia atau kalau kodi sangat di ASEAN pun jadilah. Sekurang-kurangnya boleh juga masuk dalam Malaysia Book Of Records. Tak kiralah kalau penuntutnya banyak dari benua Afrika tetapi tak pernah hadir kuliah.

Raya Haji baru ni, sebelah petang, saya bawa cucu pergi ToysRUs, Empire Shopping Centre (opposite Subang Parade) di Subang untuk beli mainan dia. Habis shopping turun ke tempat parkir di basement 3 untuk pulang ke rumah. Untuk keluar dari basement tersebut saya terpaksa berpandukan tanda arah yang tergantung di ceiling basement kerana bukan saya yang buat Empire Shopping Centre tu. Di hadapan saya sebuah kereta lain, jadi sambil tengok tanda arah, saya juga ikut bontot kereta di hadapan.

Kereta tu pusing kanan saya pun pusing kanan. Saya kerling signboard. Memang betul dia tunjuk belok kanan untuk exit. Lepas pusing kanan, signboard kata pusing kiri, jadi kami pun pusing kiri, jalan terus lepas tu pusing kanan balik. Aikkk!, kami balik semula ke tempat asal kami tadi. Memandangkan hari tersebut Hari Raya Korban, kami tawaf basement 3 tu sebanyak 3 kali kerana ikut signboard. Di pusingan ketiga, mamat kat depan saya dah hilang sabar. Kuat giler dia bunyikan hon kereta untuk tarik perhatian pengawal keselamatan. Dia tanya arah nak keluar rupanya. Budak guard tu tunjuk jalan ke depan, betul-betul kat tanda arah pertama yang kata belok kanan, guard tu suruh brother depan saya belok kiri. Saya pun ikut. Betul rupanya. Walaupun papan tanda kata belok kanan, anda sebenarnya kena belok kiri untuk keluar.

Siapalah agaknya mangkuk ayun yang buat dan pasang penunjuk arah tersebut dan siapalah pengurus komplex yang tidak memantau benda-benda remeh macam ni. Dia orang ni sekolah sampai darjah berapa? Belum sempat berbakul menyumpah seranah (dalam hati aje sebab cucu ada sebelah), teringat bahawa saya berada di Malaysia dan di Malaysia benda-benda tak senonoh macam ni memang perkara biasa, jadi saya switch off mode menyumpah saya.

Kalau anda dari Subang Parade dan ingin ke Kelang atau Glenmarie atau ke Kl, berhampiran dengan tapak KFC lama, jalan yang anda susur akan bercabang tiga. Ke kiri sekali anda ke Kelang, tengah ke Glenmarie dan kanan ke KL. Entah siapa yang bijak pandai, papan tunjuk arah ke Kelang dipacak selepas anda melepasi simpang ke Kelang dan sedang melalui jalan ke Glenmarie atau KL.

Pernah ke Komplex Sejarah Pasir Salak? Saya pernah ke sana dari arah Batu Gajah. Sebelum satu simpang ke kiri, saya nampak satu signboard tunjuk terus ke hadapan untuk masuk simpang kiri ke komplex tersebut. Kami pun pakat ikut signboard (time tu saya bercuti bersama 5 orang adik beradik, jadi konvoi 5 kereta). 20 km kami pandu, tak nampak-nampak simpang kiri yang dimaksudkan. Seorang adik saya cadang kami buat U Turn dan patah balik ke Batu Gajah. Tahu apa jadi?. Betul-betul opposite simpang kiri yang kami lalu tadi, yang ada signboard jalan terus untuk ke Komplex Pasir Salak, terpacak satu signboard, kali ini menunjukkan belok kanan untuk menghala ke komplex. Akhirnya kami sampai juga ke destinasi.

tu sebab kalau anda rajin baca ruangan surat dari pembaca dalam media cetak tempatan anda akan dapati rungutan dari pelancong asing, juga orang tempatan, bahawa signage di Malaysia simpang perenang, lintang kedak dan lansung tak boleh diharap untuk menunjukkan arah. Lebih baik anda beli GPS navigator. Dengan cara itu, anda boleh campak alat GPS anda keluar tingkap kereta kalau gagal tunjuk arah kerana jika anda bakar signboard yang entah ape-ape, anda boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan kerana merosakkan harta awam.


Berbalik kepada pusat pengajian tinggi yang tumbuh macam lalang di Malaysia. Saya ada satu cadangan. Apakata kita bina satu lagi pusat pengajian tinggi, kali ini special punya universiti, belum pernah ada di mana-mana tempat di dunia. Tak perlu fancy-fancy punya universiti yang nak ajar elektroniklah, multimedialah, pengurusanlah, dll. Apa kata kita tubuhkan “UNIVERSITY COMMON SENSE, MALAYSIA”. Objektifnya, melahirkan tenaga kerja yang boleh berfikir dan salah satu bidang pengajian ialah Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Penunjuk Arah. Gerenti lepas tu, semua kedai ICT di Malaysia marah, sebab alat GPS tak laku lagi.

Salam Aidil Adha dari Uncle B yang masih ingat kata-kata Professor diRaja kita, yang berpendapat universiti seharusnya tempat penuntut diajar berfikir bukan menghafal.
Byeee!!

No comments: