Sunday, 15 March 2009

PAK PANDIR & JULES VERNE


Masa sekolah rendah dahulu, saya pernah membaca cerita rakyat, Pak Pandir. Sampai sekarang saya tidak pernah mengambil berat tentang sejarah cerita tersebut. Bila, siapa dan dari mana asal cerita itu, saya tidak pernah ambil pusing. Yang saya tahu ianya sebuah cerita rakyat masyarakat melayu yang diturunkan dari mulut ke mulut, dari atuk ke bapa ke anak, merentas zaman.

Teringin juga rasanya, kalau ada, graduan yang ingin membuat tesis mengenai tradisi rakyat melayu kita, untuk menunjukkan bagaimana tradisi mencerminkan nilai hidup dan mencorakkan masa hadapan kaum melayu. Janganlah kerana asyik belajar mathematics dan sains dalam bahasa inggeris untuk buat roket dan naik ke bulan, orang melayu lupa pada akar umbi mereka sendiri.

Pokok rendang dan kukuh kerana akarnya. Barangkali kerana itulah atuk sebelah ibu tidak pernah lupa mengingatkan saya adik beradik bahawa asal kami bukan dari keturunan bangsat walaupun ada dari kami yang bangsat pangkat dan harta. Sebab itu jugalah, arwah abah dan bapa saudara sebelah abah yang telah berumur 80an sekarang, tidak pernah melupakan, yang asal kami dari keturunan lanun yang pernah membuat pahlawan melayu Hang Tuah melarikan diri dari peperangan di laut. Satu kombinasi keturunan yang unik, golongan bangsawan campur lanun. Tegas tetapi berbudi bahasa. Meminta maaf terlebih dahulu sebelum memenggal kepala musuh.

Satu ketika, saya pernah mengagongkan bangsa dan budaya inggeris. Saya kagum dengan tradisi mereka. Pernah saya bercita-cita untuk menjadi WOG atau Westernised Oriental Gentleman . Mujur tidak lagi, tidak seperti kebanyakkan pemimpin dan kononnya pejuang bangsa melayu hari ini yang masih dijajah dan dibelenggu oleh Whitehall.

Jika tidak, masakan kita tidak boleh menerima bahasa melayu sebagai bahasa ilmu dan bermati-matian mempertahankan bahasa penjajah untuk belajar mengira dan membuat kereta. Hairan juga aku. Republik Rakyat Cina menggunakan Bahasa Mandarin sebagai bahasa pendidikan tetapi boleh pula buat roket sendiri untuk hantar angkasawan ke angkasa lepas. Anak Jepun, anak Korea Selatan, anak cina Taiwan, semuanya menggunakan bahasa ibunda masing-masing untuk belajar tetapi kenapa dia orang boleh lebih bijak, lebih cerdik dan lebih pandai dari kita. Taiwan dengan komputernya, Korea dengan industri elektroniknya dan Jepun dengan kecanggihan teknologinya. Bahkan Korea Utara dah boleh buat Amerika Syarikat ketar lutut dengan teknologi nuklear dan peluru berpandu buatan sendiri. Malaysia? alahai, kereta proton pun ambil dari bangkai kereta mitsubishi yang tak laku di jepun. Kita tukar badge dan kata kita buat kereta. Tak habis-habis menipu.

Kalau dulu saya memandang rendah tradisi rumpun bangsa saya iaitu bangsa melayu, hari ini saya melihat betapa bijak dan futuristicnya nenek moyang kita walaupun mereka sepatah haram tidak tahu mengira dalam bahasa inggeris. Betapa mereka telus mata dan boleh melihat jauh ke hadapan, tidak seperti melayu hari ini yang penglihatan mereka sejauh tempolok mereka sahaja.

Bahkan saya menganggap karya nenek moyang kita, Hikayat Pak Pandir atau lagu rakyat, ”Bangau Oh! Bangau” setaraf dengan karya Jules Verne seperti From The Earth To The Moon, 20,000 Leagues Under The Sea, dll. Apa tidaknya. Kalau Jules Verne boleh membayangkan pengembaraan angkasa lepas dan bawah laut berkurun sebelum ianya menjadi kenyataan, nenek moyang kita telah berjaya meramalkan yang keturunan mereka akan menjadi pak pandir, lama selepas mereka meninggalkan alam fana ini. Mujurlah mereka mati lebih awal. Jika tidak, mahu gila mereka jadinya, melihat kepandiran keturunan mereka hari ini.

Ibarat cerita pak pandir. Orang melayu hari ini menang sorak tapi kampong tergadai. Melayu terkinja-kinja, berhempas pulas rebut kuasa politik tapi cina juga yang pegang kuasa ekonomi. Kalau tidak takkan Singapura boleh ”letak orang mereka” dalam politik malaysia.

Nenek moyang kita telah tahu lama dahulu, bahawa keturunan mereka tidak akan dapat melihat ke dalam diri sendiri untuk mencari kelemahan diri supaya dapat memperkasa diri tetapi sebaliknya menyalahkan kaum Cina dan penjajah kerana menjadikan orang melayu peminta sedekah di negara sendiri.

Saya pasti belum ada satu kaum pun di dunia yang berjaya melahirkan lagu ”Bangau Oh! Bangau”. Sebuah lagu di mana perut yang sakit (orang melayu) menyalahkan nasi mentah kerana penyakitnya, nasi menyalahkan kayu api yang basah, kayu api menyalahkan hujan dan seterusnya, walhal salah perut sendiri, kerana memilih untuk makan nasi mentah. Sudah saya katakan nenek moyang kita memang telus mata, boleh melihat apa yang telah, akan dan terus berlaku kepada orang melayu hari ini.
.
Kalau anda masih tidak tahu apa yang saya maksudkan, memang sepatutnya malaysia dijajah dan melayu hilang di dunia.

Hingga jumpa lagi, salam dari warisan bangsa yang berjaya menghalau Hang Tuah balik ke Melaka.

No comments: