Wednesday 1 May 2013

MARI MENGUNDI PRU 13

Hanya 3 hari sebelum rakyat Malaysia yang bijak, termasuk juga yang pandai tapi tak bijak, akan membuat pemilihan siapa dan partai apa yang akan mewakili suara mereka di Parlimen dan dewan Undangan Negeri. Yang bijak akan memilih wakil rakyat (yang antaranya akan jadi menteri) yang mengutamakan golongan marhain. Yang pandai tapi tak bijak akan memilih wakil rakyat ala penyamun Nujum Pak Belalang. “Satu untuk kau, 5 untuk aku”. Jika tidak masakan tahun demi tahun Auditor Negara terus melaporkan pembelian yang tidak masuk dek akal seperti beli teropong yang berharga RM3,000 dengan harga RM56,000. Bak kata orang Perak, “Bior pape asal bergaye, bukan harta kite, harta mak mentue”.  Bezanya kat sini, “Bukan duit kita tapi duit rakyat”.

Sehingga hari ini saya belum menerima sebarang rayuan, sama ada melalui pesanan ringkas atau telefon, untuk memangkah partai mereka, dari Pakatan Rakyat. Dari UMNO BN berlambak. Mula-mula satu SMS setiap 3 hari. Sekarang sampai  lima SMS sehari termasuk panggilan telefon lagi. Kalau SMS atau panggilan dari janda atau gadis gersang, sedap juga. Ini tidak. Dari kumpulan penyamun Ali Baba, minta uncle yakini mereka, siap dengan tawaran sogokan-sogokan kewangan sekali. Inilah padahnya kalau rasuah menjadi budaya hidup. Nak pilih pemimpin negara pun kena pakai rasuah. Orang lain mungkin boleh dibeli dengan wang ringgit tapi bukan uncle. They’ve got the wrong guy.

Siapa yang anda undi adalah hak peribadi anda. Cuma kena ingat. Pilihan anda hari ini akan menentukan masa depan anak dan cucu cicit kita. Tersalah pilih, no hal pada kita sebab kita dah dekat dengan kubur. Jangan sampai kerana salah pangkah. keturunan kita terpaksa mewarisi negara bengkrap macam Greece sekarang. Lupakanlah janji janji bohong mereka. Selepas 55 tahun memerintah, jalan raya bertambah sesak, banjir kilat makin kerap, penjenayah makin mengganas, belanja hidup makin tinggi. Rakyat yang majoritinya melayu, bertambah papa. Yang terus dikayakan, tanpa mengira kaum, adalah suku sakat dia orang.

Uncle teringin sangat melihat BN gulung tikar. Malangnya selagi orang melayu termasuk yang pernah mengaji di menara gading dibelenggu oleh feudalistic mindset mereka, malas berfikir dan terus menerus mudah ditakutkan dengan momok momok ciptaan, selagi itu masyarakat melayu akan terus dikelentong dan diperbodohkan. Bukan oleh orang Cina, atau India tetapi oleh bangsa sendiri, orang melayu.

Salam sayang dan selamat mengundi dari Uncle B, yang masih berjiwa melayu tetapi tak goblok. Byeee!!.