Sunday 30 August 2009

KALAU NAK BERJAYA DALAM PDRM - PART 1.

Posting terakhir untuk bulan Ogos 2009 ini Uncle B tujukan khas kepada 62 orang Inspekter Percubaan yang telah melapor diri ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersil khasnya dan semua Inspekter PDRM yang masih lagi dicuba.

Dengan pangkat setakat Superintendent dan kelulusan setakat diploma lanjutan, peluang untuk memberi after dinner talk atau berdiri atas pentas semasa perhimpunan bulanan untuk menyampaikan pep talk kepada anda, memang tiada. Avenue untuk saya menyebarkan pengajaran, pelajaran dan pengalaman yang saya perolehi semasa menuntut di University of Life, hanyalah melalui blog ini.

Saya percaya 30 tahun dari sekarang apabila anda hampir bersara dari pasukan, anda impikan sekurang-kurangnya menjadi Ketua Polis Negeri yang bergelar Dato’. Ini bukan perkara semustahil naik pangkat 2 kali dalam setahun. Untuk mencapai impian anda, amat mudah. Work Smart bukan Work Hard. Saya tidak menyarankan anda pandai membodek kerana mengampu semata-mata tidak ke mana sangat perginya. Untuk sementara waktu mungkin tetapi bukan untuk selamanya. Jauhkan dari working hard atau rajin bekerja kerana anda akan diperkuli atau diperkuda sahaja jika anda setakat rajin bekerja.

Working Smart atau Kerja Pandai (ingat ..bukan pandai bekerja) bermakna mengenali, memahami dan menjiwai budaya organisasi di mana anda bekerja. Bukan setakat itu, pekerja yang kerja pandai perlu peka kepada etika dan nilai sosial masyarakat dan negeri di mana organisasi itu beroperasi. Uncle percaya jika anda bertugas di sebuah pejabat kerajaan di Kelantan, anda akan berhati-hati dengan cara anda berpakaian dan berinteraksi sesama sendiri. Cara anda mengaturkan sesuatu majlis pun saya rasa akan bertukar, tiada lagi karaoke atau poco-poco dalam majlis rasmi yang dihadiri oleh pemimpin negeri.

Bagaimana budaya organisasi PDRM? Saya akan membiarkan anda mencari jawapannya sendiri. Adakah PDRM menghargai pandangan kontra sebagai satu aspek penting dalam elemen check and balance pengurusan atau PDRM lebih senang dengan pak hangguk di kalangan warganya. Adakah PDRM answerable to the law and the law alone ataupun adakah kita politicians in the making yang mengharapkan menjadi ahli lembaga pengarah government linked companies apabila bersara nanti.

Saya tabik dengan nenek moyang kita kerana walaupun tidak pernah bersekolah, mereka telah tahu terlebih dahulu bahawa untuk berjaya dalam kerjaya, kita harus mengikut dan akur dengan budaya organisasi tempat kita bekerja. Jika tidak, masakan ada peribahasa, “Masuk Kandang Kambing Mengembek, Masuk Kandang Lembu Menguak” atau jika anda lebih selesa dengan peribahasa Inggeris, ”When In Rome, Do As The Romans Do”. Tapi ini semua terpulang kepada anda. Anda mahu ikhlas kepada diri sendiri atau terus jadi yes man atau yes woman walaupun dalam hati kecil, anda tahu bahawa apa yang dihanggukkan itu salah. Terpulang.


Working Smart juga bererti anda mesti berperangai macam politikus. Cakap gembar gembur tapi kerjanya sikit. Kena tonjol diri sana sini dan to the right persons. Takkan nak menang undi di kawasan parlimen Segamat, anda pergi bersalam-salaman dengan penduduk Teluk Intan. Itu terencat akal namanya. Anda kena rajin menghadiri apa juga majlis yang diadakan oleh jabatan. Dan apabila hadir majlis-majlis berkenaan, jangan buang banyak masa sangat dengan mereka yang bawah daripada anda atau yang sepangkat dengan anda. Kalau dia orang pun terkial-kial nak cari cable naik pangkat, macam mana nak tolong anda naik pangkat atau dapat jawatan yang lumayan. Jadi banyakkan bercampor dengan mereka yang lebih kanan daripada anda. Buat baik dengan dia orang dan selalu pamirkan muka anda depan depa. Bila tiba masa nak rekomen untuk naik pangkat atau ke tempat yang baik punya, pasti wajah anda sentiasa terbayang dalam benak mereka. Cuma satu ingatan, nak buat baik tu biar berpada-pada. Jangan buang masa dengan mereka yang dah sarat nak bersara. Perabis beras aje.

Satu lagi prinsip, ”Working Smart” ialah ”Work Must Not Only Be Done But Must Be Seen To Be Done” atau “Kerja Bukan Sahaja Mesti DiLaksanakan Tetapi Mesti Dilihat Sedang Dilaksanakan.” Katakan bos bagi anda masa 2 minggu untuk siapkan satu assignment. Jangan siapkan kerja secara senyap-senyap dan hantar melalui PA boss hasil kerja yang telah anda siapkan. Mutu kerja mungkin bagus tapi bos tak nampak muka orang yang buatnya. Macan mana bos nak ingat anda. Caranya, setiap 2 atau 3 hari sekali, jumpa bos. lapor perkembangan assignment yang sedang anda laksanakan dan bila siap, hantar sendiri kepada boss. Satu lagi tip tambahan. Kalau bos balik lambat, anda pun kena balik lambat. Yang penting, tunjukkan pada bos yang anda balik lambat. Bawa fail dan buat muka berkerut semasa bos nak masuk kereta balik ke rumah.

Membuat kerja tak semestinya anda yang mesti buat kerja tu sendiri. Anda hanya perlu tunjukkan pada bos yang anda buat kerja tu. Sebagai pegawai kanan yang sekurang-kurangnya berpangkat Inspekter, anda ada anggota bawahan kan? Suruh aje budak-budak tu buat kerja. Perah tenaga dan idea budak-budak tu atau pegawai yang lebih kiri dari anda. Yang penting apabila briefing progress kerja kepada bos, jangan sebut nama mereka yang sebenarnya buat kerja tu dan jangan sekali-kali biarkan mereka brief bos tentang kerja tersebut. Rosak nanti. Jangan bimbang, itu bukan memperkuda orang bawah tapi delegation of work. Ingat tak peribahasa melayu, ”Lembu Punya Susu, Sapi Punya Nama”. Masih tak percaya orang dulu-dulu lebih bijak dari kita?

Sebenarnya banyak lagi tip-tip untuk maju dalam kerjaya yang boleh Uncle sampaikan tapi cukup dulu setakat ini. InsyaAllah, dalam posting yang akan datang, Uncle akan selitkan 1,2, tip lagi. Anda tentu bertanya, kalau Uncle tahu semua ini kenapa tak amalkan. Jawapannya senang. Salah Uncle punya seniors masa P.I. dulu. Dia orang kata nak naik pangkat kena rajin kerja, kena berintegriti, kena tunjukkan yang kita boleh berfikir. Jadi bila ada pandangan seniors yang Uncle rasa tak betul, Uncle bangkanglah. Salah langkah rupanya. Uncle lupa bahawa budaya kerja di Malaysia ialah, ”The Boss Is Not Always Right But He/She Is Always The Boss”. Ingat itu dan jangan tunjukkan pandai. Buat bodoh dan kutuk bos dalam hati. Selamat.

Kalau Uncle tahu perkara ini lebih awal, dah lama uncle amalkan. Paling koman dah jadi KP sekarang ni. Nak dipraktikkan sekarang, dah terlewat, dah isya dalam pasukan. Tapi yang payahnya, uncle ni seksa sangat nak jadi yes man. Dah cuba dah tapi tak berdaya. Dah fitrah diri, nak buat cammana.

Hingga jumpa lagi, tepuk dada tanya selera, dari Uncle B.






Thursday 27 August 2009

MENJELANG 31 OGOS 2009

Lagi 4 hari kita akan menyambut hari Persekutuan Tanah Melayu dibebaskan dari pemerintahan Inggeris. Maaf, saya kurang yakin 31 Ogos adalah hari kemerdekaan kita. Bebas dari pemerintahan Inggeris mungkin tetapi pastinya belum merdeka sepenuhnya dari penjajahan Whitehall atau mentaliti tuan dan kuli. Justeru saya tidak terperanjat beruk apabila isu model bakal kena sebat kerana didapati bersalah minum arak menjadi bahan berita muka depan semua akhbar. Pada hemat saya, minah tu saja nak tunjuk kurang ajar dengan undang-undang syariah dengan minta disebat di khalayak ramai. Memang patut pun disebat di khalayak ramai, Elok kalau jalankan hukuman tersebut di Dataran Merdeka dan buat liputan TV secara lansung. After all, dalam Islam pun hukuman hendaklah dijalankan di khalayak ramai. Yang menyakitkan hati ialah hampir semua orang kenamaan negara ketara sangat bersimpati dengan minah tersebut. Dalam kata lain, tak setuju hukuman sebat dijalankan walhal sebatan kerana meminum arak adalah hukum Allah. Yang peliknya orang-orang Islam ni simpati dengan minah yang dengan bangga melanggar larangan Allah s.n.w. dengan meminum arak tetapi dia orang tidak simpati pula dengan larangan Islam yang telah dicabul. Apa ertinya merdeka kalau kita masih takut untuk menjalankan hukuman yang diperintahkan oleh agama sendiri.

Zaman empire Melaka dahulu, kerajaan melayu melaka dah ada undang-undang sendiri yang berlandaskan ajaran Islam. Apabila Portugis, Belanda, Inggeris masuk, kita dipaksa pakai undang-undang barat. Kenapa bila dah merdeka (konon), kita masih pakai undang-undang kafir dan bukan undang-undang kita sendiri. Adakah ini yang dikatakan Malaysia telah merdeka?

Buat masa ini saya ketepikan dulu cerita-cerita politik. Bosan. Politik di Malaysia masih lagi kalut walaupun dah bertukar PM dan barisan pemimpin. Pada Uncle, mereka yang masuk politik dan beria-ia sangat nak rampas balik Selangor, dah pun rampas Perak, sedang kucar-kacirkan Kedah dan Penang, berbuat demikian (nak berkuasa semula) bukan untuk kepentingan rakyat tetapi untuk kepentingan tempolok sendiri. Dah orang Selangor, Perak, Kedah, Penang dan Kelantan pilih pembangkang, lantaklah dema kalau negeri-negeri tersebut tidak ada pembangunan. Bior padan muka dema. Siapa suruh undi pembangkang. Cukup 5 tahun dema undilah BN balik.Yang kome pergi kacau-kacau dia orang, buat hape. Mungkin takut rakyat makin sayang pada pembangkang dan banyak lagi negeri yang ditawan parti cop bulan, cop mata dan cop roket. Habis peluang nak perabih duit rakyat.

Nak story fasal polis pun aku malas. Aku tinggal 15 bulan nak cuti bersara, polis dah berumur 202 tahun tapi perangai PDRM masih macam tu juga. Pagi 26/8/09, seorang ASP aku cerita pasal dia hampir-hampir kena pau dengan krew kereta peronda. Dekat PJ Old Town, konstabel PDRM rajin sangat melawat mat dan minah indon yang banyak menyewa rumah di kawasan tersebut. Nak tangkap PATI ke atau nak kebas duit PATI. Anda fikirlah sendiri.

Tepat pepatah Melayu, ”Berkokok berdegar-degar, ekor bergelumang tahi”. Bukit Aman sibuk dengan Star Rating, KMK, Blue Ocean, ISO dan entah apa-apa lagi sistem pengurusan untuk memperkasakan PDRM, di bawah, di mana sebenarnya berlaku interaksi personal antara polis dan rakyat, masih macam tu juga. Kowtim, kowtim, kowtim. Pada akulah, perkara ini berlaku kerana,”There are no bad soldiers but bad generals” dan ”ikan busuk dari kepala bukan bermula dari ekor”. Think about it.

Saya ingin ajak anda berfikir sejenak dalam bulan Ramadhan ini. Petang semalam (26 Ogos), saya berbuka di rumah bapa mertua di Petaling Jaya. Beliau tinggal seorang diri selepas kematian isteri lebih kurang 3 tahun yang lalu. Anak ada 9 orang, 4 lelaki dan 5 perempuan. Kecuali seorang yang berada di Pulau Pinang, yang lain-lain berada di Lembah Kelang. Mereka ini bukan sembarangan orang. Yang lelaki gaji belas dan puluh ribu seorang, yang perempuan kahwin dengan lelaki yang loaded kecuali seorang yang kahwin dengan polis tapi polis (yang pandai) yang loaded jugak. Malangnya hanya 3 orang anak lelaki beliau dan isteri saya sahaj yang mengambil berat tentang makan minum dan sakit pening bapa mertua saya. Ke mana pergi 5 orang lagi anak beliau terutama yang 4 ekor perempuan.

Sewaktu mengucapkan selamat tinggal untuk balik ke rumah, hati saya tersentak. Dari luar pagar, saya terlihat seorang lelaki tua berumur 86 tahun yang telah bongkok, duduk seorang diri menghadap peti TV, menghabiskan sisa-sisa malam. Tidak dapat saya bayangkan apa yang sedang berlalu di fikiran bapa mertua saya. Sebenarnya saya takut kerana saya sendiri sedang melalui hari-hari tua. Syukur Alhamdullilah, saya dikurniakan seorang anak tapi mahukah anak, menantu dan cucu-cucu saya bersama saya dan isteri sehingga kami memejamkan mata buat selama-lamanya. Allah sahaja yang menentukan. Saya mengajak anda berfikir. Kenapa seorang bapa dan seorang ibu boleh membesarkan 9 orang anak tetapi 9 orang anak tidak boleh mengambil berat hari tua seorang bapa dan ibu. Adakah anda salah seorang dari anak yang tidak mengenang budi?

Melihat bapa mertua saya seorang diri (dia bekas ketua kerani), saya teringat kepada pegawai-pegawai polis yang pangkatnya besar-besar dan hanya tahu menunjuk kuasa sahaja dan jerkah orang tak tentu pasal tanpa mengambil kira perasaan orang lain. Bila udah tua nanti, keris bersilang dah tak ada, anak-anak dan cucu tidak datang menjengok (kecuali mungkin untuk minta duit), siapa agaknya dia nak jerkah. Pembantu rumah? Silap hari kena curah air panas dengan pembantu rumah nanti. Saya juga pernah menghadiri pengkebumian seorang pegawai kanan polis. Semasa talkin dibacakan tidak pula saya mendengar gelaran dan pangkat beliau disebut. Tiada saya mendengar ungkapan, ” Wahai! DCP Dato’ XXXXXXXX .....”, bahkan nama bapa pun tidak disebut, hanya di bin atau dibintikan kepada ibu sahaja.

Kesimpulannya, kalau dah tua dan bersara tak boleh jerkah orang atau pun kalau jerkah, orang yang kena jerkah pakat gelak aje dan bila mati jadi makanan cacing, kenapa bila berkuasa di dunia, sombong dan bongkak yak amat, seolah-olah anda seorang yang tahu semua. Renung-renungkanlah.

Bye dari Uncle B, yang kadang-kadang terlupa diri dan terjerkah anak buah.

Monday 24 August 2009

KENAPA CENDAWAN TAK BOLEH JADI POKOK KAYU JATI

Semasa menghadiri bengkel Training Of Trainers untuk perlaksanaan MS ISO 9001:2008 oleh PDRM baru-baru ini, salah seorang consultant ISO untuk PDRM telah memperkenalkan saya kepada satu ungkapan yang dengan tepat mengambarkan perkembangan mental, fisikal dan kerohanian ramai rakyat Malaysia hari ini. Menurut consultant tersebut, “The government is treating us like mushroom, keeping us in the dark and feeding us bullshit”. Bahasa Malaysianya berbunyi lebih kurang begini, “Kerajaan melayan kita macam cendawan, meletakkan kita di tempat gelap dan memberi kita makan najis”.

Arwah abah dan adik saya Amiruddin pernah menjadi penanam cendawan selama 5 tahun (kalau saya tak silap) di kampong kami di Segamat, Johor. Ladang cendawan abahlah yang membekalkan cendawan tiram kepada semua pasar basah dan pasar raya di Segamat. Famous tak famousnya perusahaan abah ketika itu, hinggakan pakar-pakar pertanian dari Universiti Pertanian Serdang (ketika itu) dan Tengku Mahkota Johor pun datang melawat. Malangnya adik tertarik dengan kehidupan kota, lalu berhijrah ke Kuala Lumpur dan sekarang menjadi seorang consultant ISO. Abah dah tua, kudrat dah kurang, lalu berkuburlah perusahaan cendawan tersebut.

Sebut fasal cendawan, memang betul cendawan suka tempat gelap. Benih-benih cendawan disuntik dalam beg-beg plastik yang mengandungi medium tanaman, sama ada serbuk kayu atau buangan sisa kapas. Kemudian disusun atas rak-rak yang dibina dalam pondok-pondok cendawan yang tiada tingkap supaya sentiasa gelap. Kena cahaya cendawan mati. Tak ingat pula, apa jenis baja abah pakai. Tapi baja asli dibuat dari najis kan?

Jadi bila consultant ISO PDRM tu kata, kerajaan melayan kita macam cendawan, meletakkan kita di tempat gelap dan memberi kita makan najis, saya secara automatik faham dan bersetuju dengan pandangannya itu.

Masa sibuk berjerebu, rakyat tidak diberitahu berapa index jerebu kita. Alasannya takut pelancung meminggirkan Malaysia (selama ini saya fikir kaum india malaysia aje yang kena pinggir). Rakyat Malaysia sakit kerana jerebu tak apa, asalkan pelancung datang, sebab kalau pelancung datang, tauke-tauke akan kaya. Siapa agaknya kenalan tauke-tauke ini? Akaun Petronas tidak pernah didedahkan kepada rakyat walhal Petronas rakyat punya. Laporan audit Price Waterhouse mengenai Klang Free Trade Zone masih lagi dirahsiakan walhal yang lesap adalah duit rakyat. Sekarang ini ada ura-ura pulak nak rahsiakan angka kematian H1N1. Kalau ini bukan dikatakan ”kerajaan meletakkan kita di tempat yang gelap”, saya tak tahu apa lagi nak dikata.

Bila pula kerajaan bagi kita makan najis? Media cetak dan elektronik di Malaysia siapa punya kalau bukan UMNO punya. Apa yang lazimnya disiarkan oleh media massa ini kalau bukan najis.

Oleh kerana kerajaan tak mahu kita diberitahu perkara yang sebenarnya telah, sedang dan akan berlaku dan akhbar, radio dan TV pula mengeluarkan berita-berita yang telah diputar-belitkan, lalu bergelaplah kita dari kebenaran. Maka jadi cendawanlah ramai dari orang kita. Yang cendawan-cendawan hidup ini tahu ialah beg-beg plastik di mana mereka dirumahkan, diberi makan najis dan dunia mereka (cendawan hidup) ialah ruang lingkup pondok di mana mereka disusun berasak-asak atas rak-rak. Dek kerana dah sebati dengan kegelapan, maka jika ada cahaya cuba menerangi hidup cendawan-cendawan ini, ia terus mampus. Untuk makluman pembaca, pernah satu pondok cendawan arwah abah rosak kerana pelawat wanita yang datang pakai minyak wangi. Dek kerana dah sebati dengan bau najis, maka bila ada kewangian mahu membersihkan udara sekeliling, cendawan-cendawan ini, juga kojol.

Sebenarnya tanam pokok besar macam pokok kayu berlian lebih banyak faedah. Tak payah buat rak-rak dan pondok. Bila pokok tu besar, boleh melindongi tanah dari terhakis kerana hujan dan batangnya boleh jadi kayu balak. Bahayanya pokok besar boleh menghempap tuan pokok. Jadi lebih baik tanam cendawan. Saya belum dengar lagi ada orang mati kena hempap cendawan. Dan susah-susah, cendawan boleh dibuat sop. Mushroom Soup. Maknanya ramai dari orang kita dijadikan sop cendawan untuk dimakan dengan roti oleh penanam cendawan yang kebetulan ada modal (tak kiralah modal dari duit haram atau halal, asalkan modal) untuk buka ladang cendawan.

Padanlah negara kita ini macam malap aje. Banyak sangat cendawan. Kenapa agaknya cendawan tak boleh jadi pokok yang besar dan rendang. Fikir-fikirkan.

Sekian, wassallam dari Uncle B yang berpendapat bahawa lebih baik tanam cendawan dari jadi cendawan.

Wednesday 19 August 2009

6 SEBAB MENGAPA H1N1 MENJADI EPIDEMIC DI MALAYSIA

First off, terima kasih kepada pembaca KACA MATA KU yang sudi kata, “Wooit! rajin-rajinlah update blog”. Bukan tak nak update dik tapi kudrat dan masa menentukan segalanya. Saya masih lagi cycling, setiap hari dari Isnin ke Jumaat. Bukan itu sahaja, jarak ride pun telah bertambah. Kalau dulu setakat 11 km sehari, kini telah bertambah kepada 17 km sehari. Dari jam 5:45 petang hingga 7:30 malam. Begitu begini, jam 8:30 malam baru sampai rumah. Mandi, makan malam, spend time dengan cucu, masa lesap begitu sahaja. Dulu masa belum cycling, jam 12 malam, mata masih terbeliak. Hari ini jam 10:30 malam, dah mengantuk.

Hari Sabtu pun asyik cycling juga tapi long distance. The last time, kami ride ke Rawang. Jauh tu dik. Nak curi waktu kerja untuk blogging, tak adil pulak kepada rakyat yang bayar gaji dan berdosa kepada Allah s.n.w. Jadi tulislah sebaris dua masa lunch break atau masa cyclist-cyclist lain sedang bersiap. Itu aje. Saya tidak mahu berjanji but I’ll double the effort untuk memastikan KACA MATA KU dikemaskini dengan regular.

Untuk posting kali ini saya ingin ajak anda berfikir sejenak mengenai pembangunan fisikal dengan pembangunan kualiti hidup untuk rakyat. Yang mana lebih penting untuk anda? Bangunan mencakar langit atau sistem kesihatan awam yang menjamin kesejahteraan keluarga anda. Saya terpanggil untuk berjinak-jinak dengan konsep kualiti dalam kehidupan kerana kebetulan saya di Penang sekarang (dari 17-21 Ogos) kerana menghadiri bengkel persijilan MS ISO 9001:2008 untuk PDRM. Jangan main-main dengan polis Malaysia sekarang. Ada kualiti dik.

Mengikut data yang diperolehi dari
www.flucount.com yang saya petik dari akhbar The Sun bertarikh 19 Ogos 2009 di muka surat 4, kadar kematian jangkitan H1N1 di Malaysia adalah 1:60 atau 1 kematian setiap 60 jangkitan. Singapura 1:111, Thailand 1:119, Laos 1:156, Indonesia 1:171, Filipina 1:321, Vietnam 1:727 dan Brunei 1:850. Bermakna di kalangan 8 negara ASEAN ini, Malaysia mencatatkan kadar kematian yang tertinggi bagi jangkitan H1N1. Beberapa kesimpulan bodoh boleh saya buat dari perangkaan ini.

Pertama, orang Malaysia berpenyakit dan kurang daya tahan badan berbanding 7 negara ASEAN lain. Kedua, orang Malaysia pengotor sebab itu mudah kena jangkitan H1N1. Ketiga, doktor-doktor di Malaysia tak berapa nak pandai. Keempat, sistem kesihatan Malaysia haru biru, itu sebab penyakit tersebut tak boleh dikawal. Kelima, pemimpin negara, terutama Menteri Kesihatan Malaysia lebih banyak bercakap dari bertindak dan akhir sekali, ada lebih banyak babi di Malaysia berbanding negara-negara ASEAN yang lain.

Itu yang tak habis-habis menghairankan saya. Khabarnya Malaysia ada prasana negara dan rakyat bertaraf dunia tetapi kenapa bila kena serang H1N1, kadar kematian kita macam negara dunia ketiga yang kena serang H1N1. Adakah anda yakin negara jiran macam Vietnam dan Laos mempunyai prasana kesihatan yang lebih baik dari kita?

Anda fikirlah sendiri. Salam dari Uncle B.

Monday 10 August 2009

SUKA HATI AKU LAH

Dalam diam 12 hari telah berlalu sejak posting yang terakhir pada 29 Julai 2009. Apa yang boleh saya katakan lagi kecuali saya memang tak dapat mencuri masa untuk update blog saya ini. Ikrar saya kepada pengikut setia blog ini, saya akan berhempas pulas untuk sekurang-kurangnya seminggu sekali mengeluarkan omelan kosong saya.
Dalam posting-posting saya yang akan datang, mungkin ada sedikit pendekatan baru dalam KACA MATA KU kerana saya terfikir. Malaysia telah diperintah oleh Barisan Nasional sejak 52 tahun yang lalu. Sehingga zaman arwah Tun Hussein Onn, negara kita ok aje. Tak kaya, tak miskin. Ada tanah rancangan FELDA, ada Restoran Rakyat dan bermacam lagi kemudahan untuk rakyat. Lepas Tun Hussein, cerita dah berubah. Semuanya untuk koporat keparat. Dah kalah teruk dalam PRU 12 pun, masih tidak mahu mengaku kesilapan, masih dalam denial stage. Orang Melayu Malaysia lagi dashyat. Ada mata tak mahu melihat, ada telinga tak mendengar, ada suara enggan bercakap dan yang paling menyedihkan, ada akal tapi malas berfikir. Jadi lebih baik saya berdiam diri.
PDRM pun 2 X 5. Umur dah 202 tahun tapi masih di takuk lama. Dulu jadi konstabel cukup lulus darjah 6 sahaja dan inspekter pass SPM. Hari ini nak jadi inspekter paling cekai kena ada ijazah tapi tengok sahajalah apa yang sedang berlaku dalam PDRM. Tuhan aje yang tahu. Malas saya nak cakap. Lebih baik membisu.
Tapi itu tidak bermakna saya akan berdiam diri. Ada masanya saya tetap akan bersuara, tak kira apa orang nak kata.
Sebuat hal bersuara, saya teringat satu pepatah inggeris, All It Takes For Evil To Rule The World Is For One Good Man To Remain Silent atau Kejahatan Akan Menguasai Dunia Jika Seorang Insan Yang Baik Berdiam Diri. Saya bukan insan yang baik sangat dan bukan juga yang teruk sangat. Tengah-tengah aje. Kemudian saya teringat cerita Raja Dengan Baju Barunya di mana seorang raja yang angkuh dan sombong memakai pakaian yang kononnya begitu halus dan seni sehingga tidak kelihatan pada pandangan orang yang arif tentang seni. Semua menteri dan rakyat jelata memuji baju baginda sehinggalah seorang kanak-kanak berani berkata benar dan menyuarakan bahawa baginda tidak memakai seurat benang dan sebenarnya bertelanjang. Lebih hampir kepada suasana masyarakat kita, saya teringat cerita Hang Nadim, bagaimana Singapura dilanggar todak dan para menteri mencadangkan supaya rakyat Singapura berbentengkan betis untuk menangkis serangan ikan todak. Ramai rakyat yang terkorban sehinggalah datang seorang budak, Hang Nadim, yang mencadangkan supaya batang pisang sahaja dijadikan benteng. Kerana kebijaksanaannya Hang Nadim dihukum bunuh kerana raja bimbang akan hilang kuasa.

Anda renungkanlah dahulu moral di belakang cerita-cerita lapok ini.

Hari ini, di negara kita, barang siapa yang berani mendedahkan kepincangan negara akan dicap sebagai pembangkang, anti-kerajaan, extremis atau ejen negara asing yang cemburu kepada Malaysia dan akan diburu serta disusahkan hidupnya. Tengok sahaja kolumnis Terence Fernandes dan R.Nadeswaran dari the Sun. Kepada yang diteropong dan ditelanjangkan oleh kedua-dua penulis ini, mereka (penulis) adalah pengacau dan orang yang suka cari salah orang lain sahaja dan bukan sebagai the keeper of the public conscience.

Masalahnya dengan masyarakat kita ialah kita meraikan the mundane, the ordinary dan yang mainstream sahaja. Menyimpang sedikit daripada norma, yang memilih untuk menyimpang akan dipakaikan baju gila. Don’t rock the boat-jangan goyang sampan, nanti terbalik dan orang marah. Peduli apa orang marah, sampan saya, saya punya sukalah nak goyang ke tidak. Tengok sahaja arwah Yasmin Ahmad yang memilih kelainan untuk karya-karya filemnya. Tunjukkan ustaz pegang anjing. Pelbagai label negatif digamkan kepada Yasmin. Walhal jika tangan kita kering, bulu anjing pun kering, memang tak salah pegang anjing.

Bahayanya ikut yang biasa-biasa aje ialah minda kita akan terjajah dan terbelenggu. Kita hanya tahu membaca yang tersurat tetapi tidak mengerti yang tersirat. Kita hanya syok dan perasan apabila ada gadis manis manja-manja dengan kita tetapi tidak sedar, yang manja mengodanya untuk merabakkan poket. Tak semua wanita macam tu dik tapi tiada salahnya jika kita berhati-hati.

Dukacita, semasa saya belajar dahulu, guru-guru saya mengajar saya untuk berfikir bukan untuk menghafal. Justeru itu saya enggan menerima bulat-bulat apa yang terbentang depan mata, baik perkataan atau perbuatan. Saya tidak mahu menjadi pak turut dan kaki angguk. Saya bukan kaki angguk-angguk, geleng-geleng macam ular tedung buai-buai kepala ikut irama seruling tuannya. KACA MATA KU adalah saya. Jika ada yang tidak boleh menerima morbidity saya ini, saya syorkan beralih kepada akhbar perdana dan blog BN sahaja.

Syukur Alhamdullillah, akhir-akhir ini ada juga feedback yang tidak bersetuju dengan tulisan-tulisan saya yang suka cari salah orang lain tapi gagal mencari salah sendiri. Semua yang orang lain buat tak betul. Ada yang mengatakan saya terlalu obsessed atau kemaruk. Kemaruk dengan ape ye? Dan ada juga yang mengesyorkan supaya saya memberi alternative atau cadangan untuk memperbaiki sesuatu perkara yang saya lihat sebagai negatif atau tidak betul.

Kepada semua yang memberi komen tersebut, saya ucapkan ribuan terima-kasih. Saya terima komen tersebut dan tidak ambil hati sedikit pun. Biasalah mana ada manusia yang perfect. There is always two sides to a coin. Kepada anda semua, saya cadangkan membaca artikel berjudul “Why Do Malaysians March?” oleh Yeo Yang Poh, bekas presiden Bar Council dalam akhbar The Sun keluaran Isnin 3 Ogos 2009. Secara tidak lansung artikel tersebut akan menjawab persoalan mengapa saya tidak habis-habis melihat yang negatif sahaja di sekeliling saya. Tetapi jika saudara-saudari melihat Majlis Peguam juga sebagai sebuah badan yang suka mencari salah kerajaan sahaja, apa lagi yang boleh saya katakan, selain daripada teruskanlah membaca Utusan Malaysia dan menonton TV 3.

Sekian, dari saya, yang 3 bos pernah kata brain damaged tapi masih boleh berfikir, salam dari Uncle B.