Thursday 26 June 2014

KITA SERUPA

Peristiwa pegawai pegawai imigresen menemui seorang remaja lelaki OKU berusia 15 tahun dalam sebuah unit rumah pangsa di Nilai, Negeri Sembilan, menyentap rohani rakyat Malaysia seketika. Tak perlu digambarkan keadaan unit tersebut atau keadaan remaja OKU itu, yang berseorangan apabila ditemui. Satu dunia, paling tidaknya satu Asia Tenggara, telah dapat melihat video clip dan gambar gambar “mangsa”. Saya percaya anjing atau kucing peliharaan manusia pun diberi tempat tinggal dan penjagaan yang jauh lebih baik daripada apa yang diterima oleh pemuda malang ini. Paling sedih, kita berpeluang melihat gambar pemuda ini semasa dia masih “sihat” dalam jagaan ibunya. Kenapa tiba tiba dia diabaikan.

Peristiwa sedih ini, mengajak saya bertanya. Apakah yang membezakan manusia dengan binatang.

Adakah keupayaan berfikir yang menjadikan kita manusia. Jika benar, apakah yang terfikir dalam minda si ibu sehingga sanggup “menyeksa” anak sendiri sedemikian rupa. Saya pernah melihat seorang lelaki melayu memberhentikan keretanya ditepi jalan yang sibuk dengan kenderaan untuk berlari ke tengah jalan bagi menyelamatkan seekor anak kucing yang terkandas di divider jalan. Lelaki ini terfikir barangkali, walapun binatang, dia sebagai manusia perlu menyelamatkan satu nyawa anugerah Tuhan. Manusiakah lelaki ini kerana dia boleh berfikir.

Saya juga pernah menonton satu program TV terbitan US yang menayangkan video klip video klip kiriman penonton yang merakamkan peristiwa aneh, lucu dan unik yang pernah berlaku. Salah satu dari klip tersebut merakamkan bagaimana seekor anjing menyeberang ke tengah lebuhraya 6 laluan untuk “menolak” ke divider jalan, bangkai seekor anjing lain yang mati dilanggar untuk mengelakkan bangkai tersebut dari hancur kerana berterusan dilanggar. Apakah anjing yang seekor ini punya perasaan. Manusiakah anjing ini kerana  ia mempunyai perasaan kasihan.

Adakah kerana manusia ada 2 kaki dan 2 tangan dan berjalan atas 2 kaki, maka kita layak dijenamakan manusia. Chimpanzee juga boleh berjalan menggunakan 2 kaki, walaupun lazim berjalan dengan keempat empat kaki dan tangan. Jika begitu, manusiakah beruk yang boleh berjalan atas dua kaki?  Atau pun seperti tajuk lagu Zainal Abidin Headwind, “Kita Serupa”  …….. tetapi ……… kita serupa dengan beruk.

Esok, lusa atau bila bila masa anda berada di tengah-tengah kelompok orang yang lazimnya diiktiraf sebagai manusia, cuba berhatikan tingkah laku dan perangai mereka. Paling tidak, baca cerita mengenai tingkah laku dan perangai kumpulan yang dikelaskan sebagai manusia ini, seperti “mereka” yang mengabaikan remaja OKU di atas, dan tanya diri sendiri. Tingkah laku dan perangai manusiakah yang sedang aku lihat ini atau perangai binatang. Jadi, siapa manusia dan siapa binatang.

 Hingga jumpa lagi. INILAH MALAYSIA!!!

Tuesday 17 June 2014

BUKAN DUIT KITA DUIT RAKYAT

Tidak lama lagi, Parlimen Malaysia akan meluluskan pindaan kepada Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk membolehkan penubuhan satu panel khas dalam LHDN. Panel ini diberi kuasa untuk melaburkan wang cukai pendapatan yang dikutip dari rakyat dalam apa juga sektor perniagaan yang “mereka’  suka.
 
Saya amat menyokong pindaan ini kerana dengan kebijaksanaan menteri kewangan kita, Malaysia sekarang telah memperluaskan lagi ruang untuk melaburkan wang rakyat melalui pelbagai agensi kerajaan. Kita ada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, ada Khazanah Nasional dan sekarang wang rakyat yang dicukai pun boleh dibuat modal pelaburan. Saya percaya sungguh bahawa mereka yang diamanahkan dengan wang rakyat ini akan menguruskan dana yang ada dengan baik dan berwawasan demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.
Untuk sementara waktu ini, kita lupakan sahaja bajet defisit negara sejak 16 tahun yang lalu, projek PKFZ yang lesap RM 12 billion atau projek lembu RM250 juta dan banyak lagi pelaburan pelaburan atau projek projek yang sedap mata memandang tapi sakit rasa di poket rakyat..   

Bercerita hal melaburkan duit orang dan bukan duit sendiri ini, saya teringat satu episod semasa saya chief inspekter dulu. Mes Pegawai Kanan PDRM telah memanggil satu EGM untuk mendapatkan persetujuan ahli ahli mes untuk melaburkan lebihan wang kutipan keahlian mes, yang kalau saya tidak silap, bernilai RM 1.5 juta, ketika itu. Koperasi polis akan dilantik menjadi fund managernya. Seperti biasa kami ahli mes diberi peluang untuk menyuarakan pendapat masing masing, menyokong atau tidak. Dan seperti biasa juga, kesemuanya menyokong kebijaksanaan AJK Mes dan KPN (Tun Haniff Omar) untuk melabur wang tersebut dengan koperasi polis sehinggalah seorang chief inspekter bangun menentang.

Dua sebab dikemukakan, satu kerana ianya bertentangan dengan Perintah Am Kerajaan Bab D yang melarang agensi kerajaan terlibat dalam speculative trading i.e. pasaran saham dan kedua, track record Koperasi Polis sebagai pengurus dana. Saya beri contoh kegagalan Koperasi Polis dalam menguruskan wang ahli koperasi yang dilaburkan dalam SKP Glass dan SKP Trading. Senyap, ….. tiada seorang pun yang berani menyokong saya.  Oleh kerana kami berada dalam sebuah negara demokrasi, maka pihak Mes juga mengamalkan kaedah demokrasi. Undian dijalankan dan suara ramai bersetuju untuk wang RM 1.5. juta milik ahli mes dilaburkan. Saya akur dengan keputusan tersebut kerana kita mengamalkan sistem demokrasi.

Sehingga hari ini, saya tidak tahu sama ada Mes Pegawai Kanan Polis telah sarat dengan duit keuntungan pelaburan atau masih terkial-kial untuk bergerak dengan yuran kutipan ahli yang ada. Wallahhuallam.

Hingga jumpa lagi. INILAH MALAYSIA!!!

Sunday 15 June 2014

SALAH SIAPA

Semenjak dua menjak ini, ramai hero hero melayu bangkit mengingatkan orang melayu bahawa jika mereka tidak berhati hati dan berpihak kepada kumpulan yang salah, hak orang melayu akan hilang, tanah melayu akan dirampas, ketuanan melayu terhapus dan maruah melayu dipijak pijak. Menakutkan, terutama untuk pakcik makcik abang kakak dan adik adik di kampong, yang malangnya masih tertaklok kepada media sebaran perdana untuk sumber kebenaran mereka.

 
Merungkai senario “mereka” lawan “kita” ini, saya tertarik dengan pandangan seorang pengikut setia Malaysian Insider, yang telah mengulas mengenai gesaan tauke cina YTL Corporation supaya kerajaan memberhentikan amalan crony capitalism. Pengikut setia ini mengingatkan kita bahawa tauke cina yang sama jugalah yang telah meraih keuntungan besar hasil daripada crony capitalism dan penyiksaan kewangan terhadap rakyat, yang majoritinya orang melayu, apabila Mahathir (orang melayu berdarah India) menghadiahkan konsesi IPP kepada YTL Corporation (milik tauke Cina). Ini membolehkan kerajaan memaksa TNB membeli elektrik dari YTL dengan harga 20 sen seunit berbanding harga 8 sen seunit jika TNB diberi peluang untuk menjananya sendiri. Mengambil kira kos kos lain, dengan tenaga yang dijana sendiri, TNB boleh menjualnya kepada rakyat, yang majoritinya melayu, dengan harga cuma 17 sen seunit berbanding harga 32 sen seunit apabila TNB dipaksa oleh kerajaan untuk membeli tenaga daripada IPP milik bukan melayu.
 
Menurut penulis, “Tycoon tycoon ini, Melayu, Cina dan India adalah golongan super  istimewa negara. Mereka menikmati status khas melebihi daripada golongan bumiputera picisan sendiri”. Kaum elit melayu dan elit bukan melayu  mempunyai hubongan baik antara satu sama lain dan masing-masing telah memperolehi keuntungan daripada perhubongan baik ini.
 
Walaubagaimana pun, untuk menghalalkan kedudukan mereka sebagai political masters negara, golongan elit melayu ini perlu menanamkan perasaan tidak selamat dan curiga terhadap kaum bukan melayu di kalangan orang melayu. Kumpulan kumpulan pelampau  yang menyamar sebagai NGO melayu membantu menerus dan mengekalkan perasaaaan takut dan bimbang ini.  Mereka harus menyakinkan bahawa orang melayu memerlukan perlindongan daripada kaum  elit melayu sahaja supaya hak mereka tidak dirampas.

Kata penulis lagi,  “Momokan elit melayu bahawa kaum Cina dan India berhasrat untuk menjahanamkan orang melayu adalah jauh dari benar. Jika ada pun penceroboh penceroboh bukan melayu yang  mahu menjahanamkan orang melayu dan Islam, ianya hanya berlaku kerana ada golongan melayu sendiri yang bersubahat dan bersekongkol  dalam komplot jahat ini.
 
Teropong sahaja ke Johor Baharu sekarang, terutama di  Wilayah Iskandar, Johor. Idea dan kelulusan  elit  kaum manakah untuk membangunkan Wilayah Iskandar, yang sebahagiannya adalah tanah rezab melayu. Kaum elit mana pula yang diberi kelulusan untuk bina perumahan mewah di Johor Bahru dan Iskandar yang tidak mampu dimiliki oleh bumiputera kelas kodi tetapi dengan mudah sahaja dimiliki oleh cina dari China, Singapura, Taiwan, Hong Kong dan melayu elit.
 
 INILAH MALAYSIA!!!