Saturday 31 July 2010

INTEGRITI TANPA INTI

18 Julai 2010 lalu, saya diminta untuk menyampaikan ceramah bertajuk “Etika Dan Integriti : Pengalaman PDRM, untuk Program Pengurusan Integriti anjuran Amanah Raya Malaysia (ARM) bertempat di Palm Gardens Resort, Bangi. Seperti biasa, apabila diminta menyampaikan sesuatu ceramah, saya tidak melakukannya. Apatah lagi peserta-peserta program terdiri daripada ketua jabatan-ketua jabatan dan CEO–CEO subsidiari ARM. Mereka adalah golongan profesional, berpelajaran tinggi dan berpengalaman luas.

Sebaliknya saya mengajak peserta program untuk melihat isu yang disampaikan secara 360 darjah atau total dan bukan secara stereotype. Saya cabar kepercayaan, nilai hidup dan pandangan-pandangan yang telah lama terpahat dalam minda dan jiwa peserta melalui contoh-contoh nyata dari kehidupan yang tidak akan dikhabarkan oleh akhbar-akhbar perdana. Saya umpil mata mereka untuk melihat apa yang selama ini berada tertonggok di depan mata tetapi enggan mereka lihat. Contoh, “Bagaimana anda letupkan seorang warga negara asing yang tidak pernah masuk ke Malaysia kerana tiada rekod kemasukkannya di Malaysia?” Kalau rekod Imigresennya terpadam, siapa yang terpadam rekod tersebut atau siapa yang mengarahkan rekod tersebut diterpadamkan?”.

Jika para peserta ceramah saya keluar dari dewan dengan merasa tersinggung tetapi sanggup berkata dalam hati, “Hei! mungkin ada sedikit kebenaran dalam apa yang cuba disampaikan oleh penceramah ini dan saya perlu memikirkan sekali lagi apa yang cuba diperkatakan oleh penceramah ini”, maka saya telah berjaya sebagai seorang penceramah.

Secara peribadi, saya tidak percaya integriti sesuatu yang boleh ditempel-tempel atau di regulate. It’s either you have it or you don’t. Kita boleh ada the mother of all laws & regulations untuk menjadikan rakyat Malaysia berintegriti kononnya tetapi kalau dah jenis malaun, tetap malaun juga. Undang-undang hanya akan mengajar jenis yang tiada satu zahrah pun integriti dalam diri mereka untuk mengelak dari tertangkap. Lihat sahaja pemimpin-pemimpin kita. Kalau tidak, masakan ada ahli parlimen yang suruh pegawai kastam tutup mata sebelah kerana syarikat dia (ahli parlimen) ada buat perkara yang tak betul.

Berani anda katakan kesemua 100,000 warga PDRM rasuah?. Banyak atau sikit, ada yang tidak. Persoalannya, kenapa ada pegawai atau anggota polis yang kaki kowtim dan ada yang lurus bendul dan bodoh tidak mahu ambil peluang kewangan yang luas terbentang. Adakah kerana yang kaki rasuah tidak pernah menghadiri kursus integriti atau yang enggan menerima rasuah telah menghadiri ceramah etika dan integriti. Malam sikit dan teruskan bermimpi.

Pada tahun 2005, Malaysia berada di tangga No.36 dalam Corruption Perception Index dunia. Institut Integriti Negara diwujudkan oleh kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2006. 3 tahun kemudian, tahun lalu (2009), Malaysia bergolek-golek jatuh tangga ke kedudukan No.47. Bermakna makin hari, Malaysia makin korup. Apa dah jadi dengan ceramah-ceramah dan program-program integriti yang telah dijalankan selama ini?

Melentur buluh biar dari rebung. Kalau dah jadi buluh macam saya dan rakan-rakan yang telah, sedang dan akan menghadiri program atau ceramah, integriti, sukar nak dilentur-lentur lagi. Yang layaknya dijadikan buluh lemang atau meriam buluh aje. Setiap kanak-kanak yang dilahirkan ibarat sehelai kain putih, tidak kira anak Melayu, Cina atau India. Yang mencorakkan jiwa kanak-kanak tersebut ialah ibu bapanya, keluarga terdekat, masyarakat dan persekitaran di mana kanak-kanak tersebut dibesarkan. Apabila kamu duduk dengan sesuatu kaum selama 40 hari, kamu akan terikut-terikut rentak kaum tersebut. Nah, apatah lagi kalau anak-anak kita dibesarkan dalam persekitaran di mana mereka yang integritinya boleh dipertikaikan, boleh dipilih sebagai pemimpin-pemimpin negara.

Itu yang cuba saya serapkan kepada mereka yang mengikuti ceramah saya, “Etika Dan Integriti : Pengalaman PDRM, pada 18 Julai lalu. Supaya kami bersama-sama mencari jalan untuk menyedia dan membina satu persekitaran Malaysia yang kondusif untuk anak cucu kami membesar menjadi insan dunia yang penuh berintegriti, dan bukan sekadar berceramah sahaja.

Hingga jumpa lagi, salam sinis dari Uncle B, yang terasa sangat bodohnya tak ambil peluang yang ada, disaat-saat nak bersara ni.

Calo!!

Thursday 29 July 2010

CARA TERHORMAT SAMUN DUIT RAKYAT

Akhbar Kosmo 28 Julai 2010 di mukasurat 63 melaporkan Menteri Belia & Sukan, Datuk Ahmad Shabery Chek sebagai berkata, “Kajian akan dibuat bagi kemungkinan membina stadium khusus untuk bola sepak seperti diamalkan di negara maju”. Lantak kau oranglah nak bina stadium apa pun asalkan rakyat jangan dibebankan dengan kenaikan harga keperluan asas seperti gula, tepung, minyak masak, dll, dengan alasan bodoh, subsidi tidak boleh diteruskan kerana negara akan bengkerap. Dalam kontek negara pimpinan BN ini, ini sama seperti memotong duit belanja dapor isteri dan duit poket anak-anak yang bersekolah, bukan kerana gaji ayah telah berkurangan tetapi kerana ayah menghabiskan duit di karaoke, beli sampan yang tak boleh didayung atau lain-lain perbelanjaan membazir yang seangkatan dengannya.

Tidak cukup dengan stadium, Shabery berkata, kerajaan juga bercadang nak wujudkan Akademik Bola Sepak di setiap daerah. Untuk itu kerajaan memerlukan RM 50 juta untuk mengendalikan program akademi berkenaan.

Ya, Rabbi!!, apalah punya ngok, pemimpin-pemimpin Malaysia ni. Sebab tak ada stadium dan akedemi bola sepak ke yang menyebabkan ranking dunia bola sepak Malaysia jauh lebih bawah dari Singapura dan Vietnam? Atau kerana sememangnya ahli-ahli sukan kita bertaraf jagoan kampong aje.

Saya bertugas di Angola, Africa dari bulan November 1997 hingga November 1998. Ketika itu Angola sedang berhadapan dengan perang saudara yang bermula sejak tahun 1974. Jangankan Akademi Bola Sepak atau Stadium Khusus untuk bola sepak, padang untuk main bola sepak pun tak ada kerana tanah lapang yang ada dipenuhi dengan jerangkap samar. Tup-tup, tahun 2006, team bola sepak Angola masuk World Cup, sekali dengan Tonga, sebuah negara ciput, yang pemimpin Malaysia, pandang sebelah mata aje.

Alah! Cakap terus terang ajelah. Sebenarnya bukan nak naikkan mutu bola sepak negara yang tak akan naik-naik walaupun telan viagra satu botol tetapi nak jadi kaya dengan duit jolok melalui kontrak bina stadium dan akedemi bola sepak yang pastinya akan diagihkan kepada diri sendiri melalui syarikat saudara mara dan kroni-kroni berbangsa Cina, India dan Melayu. Benar kata isteri saya, Singapura apabila buat sesuatu projek yang menggunakan duit rakyat akan bertanya, “Dapatkah projek ini menyenangkan rakyat?”. Malaysia, apabila mencadangkan sesuatu projek yang menggunakan duit rakyat seperti projek ikan tuna Langkawi, akan bertanya, “Dapatkah projek ini mengembungkan poket sendiri”. Peduli apa tiap-tiap tahun bajet defisit, negara tak boleh bengkrap punya, kita potong subsidi dan tambah cukai rakyat. Habis cerita.


Hingga bercerita mengenai satu lagi projek membazir kerajaan BN di Langkawi, wassalam dari Uncle B, yang ingin mencadangkan supaya pemain-pemain bola sepak negara menggunakan minyak lintah. Sekurang-kurangnya kalau mutu bola negara tak naik, benda lain boleh naik.

Byeeee!!!!!!!

Thursday 1 July 2010

KALAU DAH LOW CLASS

Peminat televisyen yang seangkatan dengan saya (dari segi umur) pasti kenal siapa detektif inspekter Columbo. Seorang watak siri TV tahun 70an yang berpenampilan lokos dan blur serta soft spoken ini, akan berlagak bodoh apabila berhadapan dengan pengadu, saksi dan suspek yang tidak reti bahasa tetapi berlagak pandai. Seharusnya saya teringatkan watak Columbo ini sebelum saya berhadapan dengan pengadu dan adik lelakinya pada petang 29 Jun 2010, bukan selepas.

Tengahhari hari yang sama, saya menerima panggilan telefon dari Dato’ N yang bertugas di KDN mengatakan seorang pengadu telah singgah berjumpa menteri untuk mengadu tidak puas hati kerana pihak polis gagal mengambil tindakan atas laporan polisnya. Oleh kerana Dato’ Pengarah JSJK sedang bertugas di Penang, saya telah diminta menyelesaikan kes ini. Dari awal lagi saya telah menjangka bahawa (1) pengadu orang UMNO dan (2) ini jenis manusia berlagak. Apa yang berlaku apabila pengadu sampai ke pejabat JSJK jam 2:30 petang membuktikan saya tidak salah.

Apabila anggota penyambut tetamu meminta supaya mobile phone ditinggalkan di counter, dengan bongkak, adik lelaki pengadu mengatakan yang dia orang politik, jadi tidak terikat kepada peraturan. Ini memang ciri orang politik atau barua-barua mereka sama ada dari BN (terutama UMNO) atau Pakatan Rakyat (terutama DAP dan PKR). Asalkan memerintah, walaupun sekadar peringkat negeri, lansung lupa daratan. Kononnya dialah yang berkuasa.

Telefon ditinggalkan tetapi dengan suara tinggi memberi tahu kakaknya (pengadu), “kita masuk tempat kambing, jadi kena ikut cara kambing”. Sebelum encounter dengan penyambut tetamu lagi, orang sombong ini dah tunjuk lagak apabila menalifon saya memberitahu yang beliau telah sampai di lobby komplex JSJK. Apabila diberitahu untuk berjumpa dengan Insp Zainal, sifat bangga diri terserlah apabila mendengus, “Jumpa Inspekter aje”. Sebenarnya ketika itu saya baru hendak menunaikan solat zohor saya. Saya kemudian diberitahu oleh Insp Zainal bahawa semasa berjumpa dengan Insp Zainal, si pengadu telah berkata, “tak guna jumpa budak ini, bukan boleh buat apa-apa”. Kalau ini bukan sifat-sifat manusia bongkak, mungkin nilai hidup anda berbeza dari saya.

Yang menyakinkan saya bahawa kebanyakkan daripada orang sombong, bongkak dan berlagak ini lazimnya berasal daripada insan cikai dan haprak yang tiba-tiba menjadi kaya atau berkedudukan tinggi ialah semasa saya berinteraksi dengan kedua-dua pengadu dan adik lelakinya. Daripada mula perbualan, si adik tidak habis-habis mencanangkan yang dia orang politik (part ni saya sabar), kemudian, kenal dan baru berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri (saya masih sabar) tetapi apabila mula bermegah yang mereka juga rapat dengan sultan sebuah negeri dan menyogokkan beberapa keping gambar mereka (pengadu & adik) dengan sultan berkenaan, benteng kesabaran saya pecah.

Dengan nada yang agak tinggi kerana bengang (saya pantang digertak), saya memberitahu si adik, “Encik jangan bimbang, saya akan jalankan tugas dan tanggungjawab sebaik mungkin tapi jangan gertak-gertak atau cuba takutkan saya dengan mengaitkan nama tokoh politik, menteri atau sultan yang Encik kenal”. Tidak cukup dengan itu, saya mencapai carta salasilah keturunan saya (dibuka selebar 8 kaki) yang kebetulan berada di atas kabinet di belakang saya dan memberitahu adik pengadu, “saya pun bukan sembarangan orang, saya keturunan sultan, arwah atuk saya sebelah emak, semasa hidupnya, menerima pencen kerabat”. Selepas saya sembur sedemikian, barulah turun tochang kedua-dua adik beradik ini.

Saya memaparkan kisah di atas bukan sebagai helah untuk membangga-banggakan keturunan saya kerana saya percaya, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya tetapi untuk mengajak pembaca blog saya yang bukan warga PDRM melihat kerenah manusia-manusia biadap dan sombong bodoh yang sering ditemui oleh pegawai-pegawai polis dalam penugasan mereka. Media massa hanya tahu melaporkan pegawai polis yang bersikap kurang ajar dan kasar kepada orang awam sahaja tetapi tidak mahu melihat cerita di sebaliknya. Seorang pegawai polis polis Indonesia pernah memberitahu saya, “Pak Bahar, polisi di Indonesia, kalau ketemu dengan beruk, berbahasa beruk. tapi berbahasa manusia kalau berjumpa dengan manusia”. Salahkah pegawai polis menggunakan bahasa monyet kalau bercakap dengan monyet yang menyamar jadi manusia. Yang mendukacitakan, pegawai polis yang besar-besar suka sangat melayan monyet-monyet ini kerana apabila berjumpa dengan pegawai besar polis untuk mengadu hal pegawai kecil polis yang kononnya kasar, tahu pulak beruk-beruk berkot dan bertali leher ini bercakap macam manusia.

Salam Urko (Planet of The Apes) dari Uncle B, yang hairan kenapa sejak agensi kerajaan dipolitikkan (termasuk PDRM), banyak sangat suku sakat Urko komplen pasal PDRM. Calo dan ugghh, ugghh!!!!!!