Wednesday 30 September 2009

1Malaysia

Dalam sebuah negara yang Perlembagaannya menjamin kebebasan bersuara, aneh sekali apabila sebagai penguatkuasa undang-undang, aku merasa gementar untuk bersuara. Oleh kerana bekerja dengan kerajaanlah, maka aku jadi takut kerana aku tahu apa yang kerajaan boleh buat. Keanehan yang dirasai bertambah menjadi pelik apabila aku mengetahui bahawa agama rasmi negara ini adalah Islam, pemimpin utamanya orang Islam, bahkan seantero dunia tahu bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Hairan, kerana semasa pemerintahan khalifah-khalifah Islam, rakyat benar-benar boleh memberi pandangan tanpa diancam dengan ISA atau Akta Hasutan. Bahkan seorang rakyat pernah mengatakan akan memancung kepala Saidina Omar (kalau tak silap akulah) jika beliau (Omar) menyeleweng daripada pentadbiran Islam. Nah! itu baru kebebasan bersuara weh!!

Semasa aku masih inspekter percubaan dulu dan masa kali pertama Putra World Trade Centre dijadikan tempat persidangan tahunan UMNO, aku berpeluang mendengar ucapan-ucapan oleh para perwakilan UMNO. Aku tertarik dengan ucapan seorang perwakilan dari Kedah sehinggakan ke hari ini, aku masih ingat intisari ucapannya.

Menurut beliau, ”Depa tolak, kita ansur, depa tolak lagi, kita ansur lagi, lama-lama kita jatuh lubang, mampuih kena kambus”.

Ketika itu, aku tak ambil pot pandangan perwakilan UMNO Kedah itu. Aku menganggap beliau seorang Melayu Ultra. Kebetulan masa itu negara sedang sibuk dengan kehadiran ultra melayu, satu label yang disangkutkan kepada orang-orang melayu yang takut ”Melayu Akan Lenyap Dari Dunia”.

Hari ini jika beliau masih hidup, aku ingin sangat berjumpa dengannya dan meminta maaf. Ternyata pandangan perwakilan Kedah tersebut, ketika itu, menjangkau masanya, seorang yang dapat melihat jauh ke hadapan.

Apa tidaknya. Sekarang di borang-borang kerajaan, akan dihapuskan ruangan bangsa. Pada fikiran aku yang dangkal, ini adalah langkah pertama ke arah terhapusnya bangsa melayu. Bahasa Melayu dah pun lenyap. Sekarang cuma ada Bahasa Malaysia. Setakat ini maths dan sains masih diajar dalam Bahasa Inggeris.

Tanah reserve Melayu, sikit demi sikit telah hilang. Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor sahaja telah menelan tidak kurang 40% tanah rezab melayu. Tanah-tanah tersebut sekarang dimiliki oleh pemodal-pemodal bukan melayu terutamanya apek-apek Singapura. Di Kulai, Johor, sekarang telah ada tentera asing. Askar-askar Singapura mengawal loji air Singapura yang dibina atas bumi Tanah Melayu. Pasir kepunyaan Tanah Melayu di Johor, telah lama dijual kepada Singapura untuk membolehkan Singapura membesarkan negaranya.

Nak tanya sikit. Di mana anda boleh jumpa di Negara Islam Malaysia ini, sebuah masjid dibina tersergam indah ditengah-tengah pusat membeli belah yang berprestij. Kalau jumpa tolong tunjukkan kepada saya. Kalau tak jumpa juga, saya syorkan anda buka mata luas-luas dan lihat rumah ibadat apa yang tersergam indah di tengah-tengah dan menjadi sebahagian dari Mid Valley Shopping Centre.

Aku rasa, apa yang sedang berlaku ke atas orang melayu hari ini ialah satu pengorbanan yang perlu dilakukan oleh Bangsa Malaysia keturunan Melayu, demi mengrealisasikan 1Malaysia. ”Depa tolak, kita ansur, depa tolak lagi, kita ansur lagi, lama-lama kita jatuh lubang, mampuih kena kambus”. Eloklah tu.

Sebelum aku blah, boleh tanya sikit tak? Kalau nak hapuskan ruangan ”bangsa” pada borang-borang rasmi kerajaan demi menghidupkan 1Malaysia, kenapa masih ada sekolah Bahasa Cina dan Bahasa Tamil?

Siapa sebenarnya, pengkhianat bangsa?.

Hingga jumpa lagi, Salam Semerluki.

Wednesday 23 September 2009

AIDIL FITRI 1430H DAN LAB 1MALAYSIA

Hai!, selamat berjumpa pada hari raya keempat ini, maaf zahir dan bathin jika sepanjang blogging, ada perkataan-perkataan atau isu-isu yang tidak sesuai dengan sifat sensitif anda yang membaca blog saya. But honestly, it won’t stop me from being what I am and putting down on paper, my views as I see it. I think what the country needs now is more honesty rather than hyprocrisy.

I was back with my mum at our family home in Segamat, Johor, for this year’s Aidil Fitri celebration. All my other siblings where there on the first day of celebration except for my youngest brother who is in Indonesia and my 4th eldest who came back only on the 2nd day, late evening. No, don’t worry. I am not going to bore you with my hari raya stories. As it is, hari raya today is not what it was, 50 years ago. Today’s hari raya is more show than substance. Just like what most things are, today.

Bercerita tentang masa lampau, mengingatkan saya tentang PM-PM Malaysia selepas Tun Hussein Onn. Semuanya hebat-hebat belaka. Inovatif, kreatif dan berwawasan. Dr.M dengan dasar penswastaan negara, Malaysia Incorporation, Dasar Pandang Ke Timur dan projek-projek meganya. Pak lah ”kerja dengan saya bukan untuk saya” telah memberi kita Islam Hadhari yang diiktiraf oleh Amerika Syarikat sebagai the right Islam. Jangan lupa projek-projek pembangunan, Wilayah Iskandar, Koridor Utara, Timur, Barat, Sabah dan Sarawak serta Khairy Jamaluddin. Melalui anak Tun Razak, kita disogok dengan NKRA dan 1 Malaysia. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Dasyat!.

Terkini, lab-lab atau melayunya makmal akan diwujudkan untuk memandu-arah kejayaan perlaksanaan ”1 Malaysia, Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Akan ada 8 lab kesemuanya. 6 untuk NKRA dan 2 lab, masing-masing untuk 1 Malaysia & Perpaduan dan Pengurusan Data. Setiap lab akan terajui oleh 20 orang pemimpin yang dipilih daripada the cream of the civil service. Fokus makmal-makmal ini adalah untuk menjana ide-ide yang praktikal, radikal dan inovatif bagi perlaksanaan Fasa II, Pelan Perubahan Kerajaan atau Government Transformation Plan. Bila berjaya nanti, rakyat akan menikmati taraf kehidupan yang berkualiti.

Tak tahulah anda tetapi saya nampak banyak kebaikan ide-ide PM kita ni. Untuk makmal-makmal ini menjalankan tugas mulia mereka, mesti ada ruang pejabat. Takkanlah nak berbincang bawah pokok ketapang. Jadi kenalah beli tanah dan kena buat bangunan. Dapatlah tuan tanah yang bernasib baik jual tanah kepada kerajaan dengan harga 5/6 kali lebih tinggi daripada harga pasaran dan ada pula kontraktor-kontraktor kongsiputera yang dapat projek terpijak. Nak buat kertas kerja mesti ada sokongan personil dan logistik. Fuyoo! bertambah lagi peluang pekerjaan dan kontrak bekal komputer, alat tulis, kerusi meja, dll. Wooit, jangan lupa pula, gaji dan elaun tinggi pemimpin-pemimpin lab ini.

Masalah duit untuk menampong semua projek-projek ini tidak menjadi masalah. Negara tidak akan bengkrap kerananya. Kita naikkan harga petrol, cukai rokok, cukai arak, cukai makan kat restoran, cukai judi. Tak kisahlah, naikkan apa-apa sahaja yang hendak dinaikkan. Jika rakyat mengamuk, jangan bimbang, Malaysia ada lebihkurang 100,000 mat kampau untuk kawal keamanan dan ketenteraman negara.

Semoga Uncle berpeluang jadi Pak Guard lepas bersara nanti di salah satu lab-lab ini, salam bakar duit dari Uncle B.

Friday 18 September 2009

MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI

Hooray! Malaysia bakal menjadi Pak Pandir lagi. Menang sorak kampong tergadai. “1Malaysia goes F1”, kata The Sun, 16 Sept 2009. Team F1 1Malaysia yang telah ditubuhkan ditaja oleh beberapa syarikat swasta. Pelaburan kerajaan a.k.a. duit rakyat, pula dalam Team F1 ini akan disalurkan melalui Proton. Elok tu, sudahlah sekian lama Proton bleeding the country coffers dry, tambah pula dengan projek F1. Banyak lagilah nampaknya orang tertentu yang akan tambah bini.

Untuk makluman anda, belanja untk menguruskan 1 Team F1 dianggarkan RM 1 billion setahun. Itu belum masuk pembinaan prasarana-prasarana lain seperti wind-tunnel, dll. Tetapi adakah perancang projek ini memikirkan ini semua. Tidak, kerana yang digunakan bukan duit hasil titik peluh mereka sendiri tetapi duit income tax yang dibayar oleh rakyat. Jika negara bengkrap, naikkan apa-apa juga yang boleh dinaikkan dan batalkan segala bentuk subsidi atas nama mengumpul dana untuk pembangunan dan kemakmuran rakyat.

Antara matlamat menubuhkan team F1 ini ialah untuk menjulang nama Malaysia di peringkat antarabangsa, sebagai satu platform untuk melahirkan jurutera automotif bertaraf dunia dan meransangkan pertumbuhan industri kereta negara. Ye lah tu!! Kita tunggu dan lihat 5-6 tahun dari sekarang. Mesti jadi macam projek Pusat Latihan Sukan Negara di Brickendonburry (alah!, lebih kurang gitulah namanya), United Kingdom.

Keperluan asas untuk rakyat hidup selesa dah cukup ke untuk buang duit main kereta lumba? Ingat, Islam tidak suruh kita pergi haji dengan cara menjual rumah tempat anak-anak dan isteri-isteri berteduh.

Sehingga berpeluang bergambar dengan Team F1 1 Malaysia, salam dan byeee!
Dari Uncle B.

Wednesday 16 September 2009

Eidil Fitri 2009

Tiga hari lagi 1 Syawal menjelma pada 20 Sept 2009, tak kira nampak atau tidak, anak bulan. Umum mengetahui bahawa penetapan Eidil Fitri adalah melalui rukyah. Kalau dah ditetapkan melalui rukyah mengapa mesti tinjau anak bulan. Ada pendapat yang mengatakan untuk syarat sahaja kerana Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh umat Islam menentukan awal Ramadan dan Syawal dengan melihat anak bulan. Jika langit berawan (cloudy), genapkan 30 hari berpuasa.

Firasat Uncle B, ini adalah cermin kepada ideology kepimpinan negara dewasa ini. Kita buat apa yang perlu dilakukan tetapi untuk ambil syarat sahaja. Contoh terbaik, Suruhanjaya DiRaja Kes Linggam, hubalu-hubala, Si Linggam dengan rakan-rakan seperjuangannya, masih macam tu juga. Tiada sebarang tindakan susulan diambil. Entah-entah masih menjadi pengamal undang-undang lagi. Tidak lama lagi akan berlaku satu lagi kes buat kerja ikut syarat aje. Kes PKFZ yang menelan RM 12 billion duit rakyat. Entah berapa banyak task force yang dah ditubuhkan. Price Cooper Waterhouse dah buat investigative audit, ada Public Accounts Committee, ada special task force siasat PKZF, SPRM siasat dan polis pun siasat. Laporan PAC telah pun dimajukan ke cabinet. Gerenti punya, cabinet akan bising-bising sekejap, lepas itu senyap dan rakyat akan lupa duit mereka dah lesap. Orang kita mudah lupa. Yang pandai mereka, yang bahlol, kita.

Kita akan menyambut Eidil Fitri 1430 pada 20 September ini. Semoga kita menyambut hari tersebut sebagai tanda kemenangan melawan hawa nafsu dan bukan sebagai peluang untuk tayang pakaian, langsir, furniture, dll, yang baru. Jangan sampai ada yang berkata tidak sempurna hari raya kalau tiada benda-benda baru. Yang Uncle B belum dengar lagi dan ingin sangat mendengar ialah ada suami yang beristeri baru untuk menyambut Eidil Fitri.

Sebut fasal menyambut kedatangan 1 Shawal ini, Uncle teringat masa kecil-kecil dahulu. Barangkali udah tabiat orang tua agaknya, asyik nostalgia. Masa itu Hari Raya cukup meriah. Kami akan keluar dalam satu kumpulan yang agak besar sehingga 15 orang dan pergi dari rumah ke rumah. Betul, terselit juga niat nak dapat 10 sen atau 20 sen setiap kunjungan tetapi kami hanya menziarah rumah pak cik-pak cik yang kami kenal sahaja, yang ada kemungkinan kami buat dosa terhadap mereka pada tahun hijrah yang lalu.

Berbeza dengan anak-anak hari ini yang sanggup bertandang dari satu kawasan perumahan ke satu kawasan perumahan yang lain semata-mata untuk collect ang-pow dari pak cik dan mak cik yang mereka tidak kenal lansong bahkan belum pernah bersua muka sebelum ini. Adakah ini budaya Islam menyambut Eidil Fitri dan siapa agaknya yang mengajar anak-anak kita bahawa ini adalah budaya kita.

Pada pagi raya, siapa antara kita yang masih ingat amalan bertukar-tukar hidangan pagi raya antara jiran tetangga atau selepas sembahyang raya, kaum bapa secara berkumpulan menziarah rumah/keluarga sesama sendiri sebelum balik ke rumah masing-masing dan meneruskan menziarah ahli-ahli keluarga yang lebih tua pula untuk memohon ampun dan maaf. Hari ini kebanyakkan dari kita hanya terperesuk menghadap TV dari pagi hingga malam. Menziarah pula kena tunggu rumah terbuka. Itu sebab Uncle bengang bila ada rakan-rakan atau anak buah yang bertanya, bila nak buat rumah terbuka. Jawapan Uncle, dulu, kini dan akan datang, tetap sama, rumah Uncle sentiasa terbuka.

Dua tiga hari menjelang Shawal, arwah abah akan membawa kami balik ke kampong di Segamat, Johor untuk bersama arwah atuk dan nenek. Seronok apabila dapat berkumpul bersama-sama sepupu-sepupu yang lain. Tolong atuk anyam ketupat, isi beras pulut dalam buluh buat lemang, bakar lemang dan yang selebihnya buat kecah. Kami seronok tengok arwah nenek, terjerit-jerit marahkan kita orang. Tidak ketinggalan kami buat meriam buluh, pakai karbait, lawan tembak-tembak dengan budak-budak kampong sebelah. Seingat Uncle, tak ada pula antara kami yang putus jari. Time dulu-dulu, main mercun dan bunga api adalah satu kemestian sebelum mercun diharamkan kerana beberapa ekor beruk punya pasal yang tak tahu langkah-langkah keselamatan main mercun. Kami sambung mercun besar antara satu papan dengan satu papan, panjat pokok, gantung pada dahan yang tinggi dan kemudian conoh sumbunya dengan colok. Dasyat Yob, sehingga 2 minit berdentum-dentam, bergantong kepada berapa papan mercun yang kami sambung.

Uncle tak tahulah sama ada anda setuju dengan uncle atau tidak. Rasanya semenjak dua tiga menjak ini, sambutan Hari Raya Eidil Fitri dah hambar dan tawar sahaja. Dulu persediaannya ala kadar tetapi dibuat secara beramai-ramai satu keluarga, abah cari kayu api, emak dan nenek isi buluh lemang, yang lelaki rebus ketupat dan masak lemang. Ada gotong royong, ada peluang merapatkan siratulrahim antara adik-beradik dan ahli-ahli keluarga jauh dan dekat. Dapat kenal sepupu sepapat, Pak Lang, Pak Ngah, Pak Busu. Sekarang, macam mana nak rasa camaraderie menyediakan hidangan pagi raya kalau ketupat dalam plastik, rendang dan lemang beli yang dah ready made.

Pagi raya tunggu semua ahli keluarga ada, baru menjamah hidangan. Tidak seperti hari ini, makan pagi raya ikut siapa yang sampai dulu ke kampong. Macam mana semua ahli keluarga nak berkumpul kalau ada anak yang dah jadi tokoh koperat baru sampai dari London atau ada anak lelaki yang bukan tokoh apa-apa pun tapi takut bini lalu beraya kat kampong isteri aje setiap tahun (petang baru sampai kampong sendiri).

Ringkasnya, sambutan Hari Raya Eidil Fitri akhir zaman ini dah hilang oommphhnya! Bukan lagi seperti menyambut kemenangan besar berjuang melawan nafsu sepanjang bulan Ramadhan tetapi hanya sebagai menandakan tamatnya bangun sebelum subuh untuk sahur dan bermula masa boleh pekena roti canai di pejabat setiap pagi. Bukan lagi seperti pemberontak Angola menyambut kemenangan berjuang bermati-matian melenyapkan askar kerajaan tetapi sebagai askar kerajaan menembak mati banduan di penjara sahaja.

Hingga sembang lagi lepas raya, Selamat Hari Raya Eidil Fitri, Maaf Zahir & Bathin dari Uncle B yang akan berhari raya di Segamat, Johor, tahun ini (ikut giliran Yob, adil)

Sunday 13 September 2009

TETAMU DAN INTERNET PDRM


Saya dididik untuk menghormati dan mengutamakan tetamu. Pada 10 September 2009 yang lalu, saya dan 6 orang rakan sekerja yang bertugas di sebuah agensi penguatkuasa undang-undang negara telah dijemput untuk menghadiri satu majlis berbuka puasa. Saya tergamam apabila sebagai tetamu kami ditempatkan di sebuah meja dan dihidangkan lebih kurang 12 butir tamar dan lapan botol air mineral. Beberapa buah meja yang lain walaubagaimana pun telah tersedia kueh-muih dan makan malam yang dihidang dalam ”food dome”. Barangkali mereka yang berada di meja-meja berkenaan adalah pegawai tinggi ajensi kerajaan yang menjemput kami atau tetamu yang diundang. Persoalannya, apakah kami bukan tetamu yang diundang.

Tiba waktu berbuka puasa, saya hanya menjamah sebutir tamar dan seteguk air yang saya minum terus dari botol minuman kerana tiada sebiji gelas minuman yang diletakkan di meja kami. Merasa dihinakan sebagai tetamu, saya terus meninggalkan majlis dengan dua orang rakan yang lain.

Tidak hairan jika majlis tersebut dianjurkan oleh sebuah organisasi atau individu yang tidak memahami budaya dan norma hidup orang melayu tetapi apabila ianya dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan, saya tertanya-tanya. Apakah pegawai-pegawai Jabatan berkenaan mengerti makna Komunikasi dan Kebudayaan. Jika masih kabur, saya mintalah KSU Kementerian berkenaan atau Menteri untuk meninjau-meniajau anak buah.

Sebagaimana saya ragu-ragu dengan kefahaman pegawai-pegawai JASA mengenai komunikasi dan kebudayaan, begitu juga saya tidak berapa yakin tentang kefahaman pegawai-pegawai PDRM yang bertanggung-jawap mengenai matlamat penggunaan komputer atau sistem ICT dalam penugasan. Jika tidak, masakan tempoh masa untuk satu sessi muat-turun perisian dari internet melalui Local Area NetworkPDRM, lebih perlahan daripada tempoh masa yang diambil oleh seekor kura-kura untuk berlari 100 meter. Tidak percaya. Sila hubongi Supt Meor Faridalatrash, rakan baik sepejabat saya.

Bosan dengan serangan virus yang bertalu-talu menerobos system komputer yang dibekalkan oleh PDRM kepada kami, saya dan brother Meor membeli perisian anti virus KAPERSKY dengan duit gaji sendiri. Akibat bergantung kepada perisian anti virus yang disediakan oleh kerajaan dan sambungan internet (LAN PDRM) yang sekejap ada, selalu tak ada, habis komputer-komputer di pejabat kami diserang virus.

Anti-virus Kapersky yang dibeli oleh brother Meor mempunyai lesen untuk installation di tiga buah komputer. Installation pertama dibuat di komputer pejabat brother Meor. Selepas installation, perisian tersebut secara automatik mengemaskan virus databasenya. Installation bermula lebih kurang jam 3:30 petang. Proses installation sekejap aje. Kemaskini perisian adalah melalui capaian internet. Bermakna perisian tersebut menggunakan capaian internet PDRM (LAN) untuk mengemaskini databasenya. Pukul 5:30 petang, proses kemaskini belum lagi selesai. Brother Meor meninggalkan komputer tersebut running, kunci pejabat dan terus balik ke rumah. Di rumah, brother Meor membuat installation kedua di komputer peribadinya.

Keesokan paginya apabila sampai ke pejabat jam 8 pagi, perisian Kapersky di komputer pejabatnya (brother Meor) masih lagi dalam proses mengemaskini databasenya. Akhirnya, jam 9:30 pagi baru selesai. Berapa jam tu? Menurut brother Meor, installation di komputer peribadinya di rumah, termasuk proses mengemaskini database, mengambil masa hanya 20 minit. Bayangkan. Perisian yang sama. Di rumah mengambil masa 20 minit, di pejabat, 18 jam. Untuk makluman para pembaca, begitulah canggih dan pantasnya sistem ICT PDRM.

Bye, dari Uncle Bob yang telah berhadapan dengan masalah logistik PDRM yang sedemikian sejak 32 tahun yang lalu dan hamper-hampir gila dan sasau dibuatnya.

Thursday 10 September 2009

KERANA ISLAM DAN INTEGRITI

Utusan Malaysia 8 September 2009, memetik Datuk Seri Najib sebagai berkata “Saya sanggup berunding dengan PAS untuk kepentingan Islam tetapi tidak rela UMNO dihina oleh sesiapa sahaja. Kalau nak buat, buat cara baik, jangan perkecil dan pertikai akidah kita, jangan kata kita luaran saja, dalam tidak, sebab ini akan menimbulkan kekalutan dalam masyarakat, yang penting kita buat dengan baik.” “Penilaian sama ada yang kita buat diterima atau tidak, itu bukan kerja kita, kerja Allah”.

Pandangan pandir saya, jika kita sebenar dan seikhlas-ikhlasnya mahu berunding untuk kepentingan Islam, ada baiknya jika kita tidak bersuara atas platform kepartian atau bangsa. Kita berbincang atas dasar kita seorang muslim bukan sebagai orang Islam berbangsa melayu atau dalam ruang lingkup yang lebih merosakkan, sebagai orang Islam berbangsa melayu yang menjadi ahli UMNO atau PAS.

Bahayanya apabila berbicara atas platform partai atau bangsa, kita akan tenggelam isu utama iaitu menegakkan syiar Islam tetapi sebaliknya melihat Islam dari sudut pandangan partai masing-masing. Itu yang jadi satu pihak kata, pihak lawan tidak mengamalkan Islam sebenar dan pihak lawan pula kata, the other side mempraktikkan Islam yang extremis.

Kalau betul mahu bermuzakarah untuk kepentingan Islam, kenapa tidak dijemput sama kaum Cina, India, Sikh, Kadazan, Kelabit, Dayak, Temiar, Mat Salleh atau lain-lain bangsa bukan melayu tetapi yang berugama Islam, tanpa melihat kecenderungan politik mereka, untuk berbincang sama. Kenapa mesti PAS dan UMNO sahaja. Tidak adakah penganut Islam dalam PKR. DAP, GERAKAN, SNAP dan banyak lagi parti politik yang berada di Malaysia. Apakah Islam di Malaysia monopoli PAS dan UMNO sahaja. Ataupun sebenarnya, apa yang dibimbangkan bukan masalah Islam tercicir atau dipinggirkan tetapi isu ketuanan melayu. Jika Islam yang hendak ditegakkan kenapa tidak mentadbir cara Islam. Perhatikan betul-betul. Saya tak sebut pun, laksanakan hukum hudud. Saya kata perintah cara Islam dulu. Besar kemungkinan apa yang dirisaukan sangat ialah kehilangan kuasa atau ketuanan orang Melayu kerana jika melayu tidak berkuasa, ada segolongan melayu yang hilang peluang buat duit. Sebaliknya jika Islam berkuasa, tidak timbul soal PM Melayu, Cina atau India atau isu Cina kaya, Melayu kaya atau India kaya. Islam tidak memandang bangsa tetapi ketaatan seseorang itu kepada Allah kerana itu sesiapa pun boleh masuk syurga tanpa mengira bangsa asalkan Islam. Betul tak?

Seperkara lagi, kalau kita menegur kesilapan seseorang, adakah itu dikatakan menghina? Katakan saya menegur seorang gadis bertudung yang membongkok (bahasa pasarnya menonggeng) untuk mengambil beg duitnya yang terjatuh, tiba-tiba terdedah alur punggungnya dan ternampak dek orang yang lalu lalang, kelibat seluar dalam lacenya yang berwarna pink (awek ni pakai hipster jean dan T’Shirt ngam-ngam tutup pusat tapi bertudung), Saya bisikkan padanya, ”Dik, kurang enak dik kalau bertudung tapi berpakaian yang telah mendedahkan seluar dalam dan 1/3 punggung adik”. Adakah perbuatan saya itu keterlaluan, mempersenda, memperkecil atau mempertikai akidah gadis tadi atau menghinanya. Cuba fikirkan. P/S – Gambaran ini pernah berlaku di sebuah shopping komplex di Damansara, cuma warna pantiesnya saya tukarkan untuk melindungi sigadis.


Akhbar The Sun hari yang sama (8/9/2009) melaporkan Perdana Menteri Taiwan, Liu Chao-shiuan telah meletakkan jawatannya kerana merasa bertanggungjawab di atas kegagalan kerajaan Taiwan menangani dan mentadbir-urus the aftermath atau kesan Taufan Morakot yang menyerang Taiwan. En.Liu mesti ada menteri, jabatan, agensi kerajaan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan di bawahnya yang sepatutnya menguruskan kesan bencana besar sedemikian. Tidak terdengar pula Mr. Shiu mencari scapegoat atau kamping hitam di kalangan pegawai bawahannya untuk disalibkan. Dia PM. dia accountable, jadi dia letak jawatan.

Tahap accountabilty seperti ini oleh pemimpin-pemimpin negara Asia bukan Islam pernah juga ditunjukkan oleh Menteri Pengangkutan Cina suatu masa dulu yang meletak jawatan apabila 2 buah keretapi berlanggar hingga menyebabkan kehilangan nyawa yang besar atau Menteri Dalam Negeri, Korea Selatan yang juga meletak jawatan apabila seorang koperal polis mengamuk (kerana tekanan kerja) dan menembak mati 6 orang yang tidak berdosa. Cuba fikirkan.

Bila agaknya negara kita akan mencapai tahap kebertanggungjawapan sedemikian oleh pemimpin-pemimpin kita. Tapi ..... elok juga. Kalau tidak nanti, banyak kosong kerusi Dewan Rakyat (dan tak habis-habis PDRM buat jaga aman pilihanraya kecil) dan banyak pula jawatan-jawatan kosong di jabatan dan agensi kerajaan yang lain.

Salam dari Uncle B yang pusing kepala memikirkan, kenapa walaupun dah ada Institut Integriti Negara, kes-kes gelapkkan duit seperti kes Paya Indah Wetlands, The Linggam Tapes dan PKZF (antara lain) boleh berlaku.

Calo!!!!!

Monday 7 September 2009

BERPUASAKAH KITA?

Hari ini, 7 Sept 2009, masuk hari yang ke 17 kita berpuasa. Semasa berbuka puasa, tidak kiralah di rumah, rumah saudara mara, restoran atau hotel, pernahkah kita bertanya diri sendiri. Apakah cara kita berbuka puasa menunjukkan yang kita memahami dan menghayati konsep di sebalik ibadah puasa itu sendiri. Pengalaman saya mendapati apabila berbuka puasa di rumah sendiri, kita akan melampaui batas. Dengan hidangan kuih muih dan lauk pauk yang melebihi daripada kelaziman hidangan makan malam kita di hari-hari biasa. Jangan sebutlah berbuka di hotel-hotel dengan beratus jenis hidangan dan kos antara RM 60 hingga RM 100 satu kepala. Masa-masa begini, adakah kita terfikir tentang mereka yang kurang bernasib baik dari kita, di mana berpuasa merupakan amalan seharian kerana kemiskinan atau jika menjamah nasi, hanya berlaukkan kicap dan telor goreng. Saya diajar bahawa antara ajaran berpuasa ialah supaya kita dapat merasai atau emphatised dengan kesusahan yang dialami oleh golongan miskin, semoga timbul iktikad untuk menolong mereka (orang miskin) seberapa termampu.

Justeru itu, kalau kita pemimpin atau pentadbir negara, tidaklah kita sewenang-wenangnya membazirkan duit rakyat dengan projek seperti Port Klang Free Zone tetapi yang boleh mengembungkan poket pemimpin. Jika kita ada emphathy dengan anak-anak miskin, tidaklah tergamak kita gunakan duit rakyat untuk makan angin di Disneyland atau melawat anak di Australia. Barangkali itu sebab agaknya, Ayatollah Khomeini apabila melonjak menjadi Presiden Iran, tidak duduk di mahligai RM200 juta seperti di Putrajaya atau Tuan Guru Nik Aziz, yang walaupun telah bertahun menjadi MB Kelantan masih duduk di rumah lamanya sendiri bahkan mengembalikan elaun sewa rumahnya sebagai menteri besar. Kalau 24 jam duduk dan makan dalam kemewahan, bolehkah kita merasai apa yang golongan fakir merasai.

Saya percaya mesti Ayatollah Khomeini dan Pak Guru berbuka puasa ala kadar sahaja. Itu sebab mereka prihatin dengan kesengsaraan rakyat dan tak tergamak mengsonglap duit rakyat. Tidak seperti seorang bekas ketua pentadbir sebuah negeri, boleh duduk villa mewah yang ada kolam renang lagi.

Syukur Alhamdullillah, saya berbuka puasa sebagaimana saya makan malam di hari-hari biasa, cuma tambahan 2 jenis kuih dan tamar sahaja. Jika menghadiri jemputan di hotel mewah pun, saya berhenti makan sebelum kenyang dan tidaklah melantak sampai terbongkang macam ular sawa. Lagi pun saya dididik bahawa Islam tidak mengajar kita supaya ada special meals atau berlebihan semasa berbuka. Sunnahnya kita hanya perlu berbuka dengan tamar dan kemudian makanlah seperti hari-hari biasa.

On a lighter note, baru-baru ini kapal selam Tentera Laut Malaysia yang pertama telah selamat sampai ke negara kita.lalu dinamakan KD Tunku Abdul Rahman. Khabarnya ada malaun-malaun yang nak namakan kapal selam tersebut sebagai KD Altantuya. Kesian minah tu, orang lain dapat ratusan juta ringgit, dia yang berkecai badan dikandung tanah. Tak tahu pulak sama ada ini cerita betul atau saje dia orang nak kenakan aku. Wallahhuallam!

Hingga jumpa lagi, salam dari Uncle B yang masih tak dapat memikirkan bagaimana seseorang yang tidak pernah menjejak kaki di Malaysia boleh di bunuh di sini. Tak percaya tanya Imigresen yang tiada rekod ibu muda tersebut masuk Malaysia. Selamat berbuka puasa dan jangan memikirkan perkara yang pelik-pelik kerana di negara serba boleh ini, tiada apa yang mustahil.

Friday 4 September 2009

MANUSIA PUN ADA TARIKH LUPUT

Isteri saya bekerja di sebuah badan berkanun kerajaan. Bermakna warga badan tersebut tertakluk kepada peraturan dan terma-terma kerja yang ditentukan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. Tentu sekali gaji mereka dibayar oleh kerajaan.

Baru-baru ini semasa berbual kosong dengan isteri tersayang, darling saya menyatakan rasa tidak puas hatinya kerana Big Bossnya dilanjutkan perkhidmatan kontrak selama 1 tahun lagi menjadikan 3 tahun kontrak big boss tersebut telah disambung. Saya jolok sikit (epps!!,jangan fikir yang bukan-bukan ah!), “Yang you marah sangat orang tua tu sambung apasal, mungkin dia seorang pegawai kerajaan yang excellent dan banyak lagi perkara yang dia ingin laksanakan bagi memajukan jabatan dia”. Marah isteri saya bila saya cuba defend big boss dia. “Bukan I sorang yang menyampah, majoriti staff kat pejabat pun marah. Macam dia aje yang boleh buat kerja. Habis tu, dia punya timbalan tak boleh take over ke dia punya post, tak boleh continue ke kerja dan idea-idea bernas untuk memperbaiki jabatan yang telah dia asaskan. Bagilah peluang orang lain naik pangkat”. Peh!! emo betul mak andeh uncle bila discuss pasal boss dia sambung kontrak untuk kali ketiga. Dalam diam saya mengaku, ada betul juga cakap bini aku ni.

Perbincangan tersebut membuat aku bertanya dalam hati. Pegawai-pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia, ada ke yang main sambung-sambung perkhidmatan secara kontrak apabila tiba masa bersara wajib. First cousin aku (bapa kami adik beradik) seorang bekas Panglima Tentera Laut Malaysia. Cukup umur 55 tahun, brother aku tu bersara. Dapat juga timbalan dia jadi panglima tentera laut dan pegawai lain naik pangkat jadi timbalan panglima. At least 5 orang dapat naik pangkat apabila seorang panglima bersara.

Dengan menanggung risiko dicap sebagai tidak setia dan derhaka, aku dapati di tempat aku bekerja, lain sikit pemikiran dia orang. Agaknya kalau boleh, semuanya nak terus pakai uniform sampai ke liang lahad. Barangkali mereka yang nak menongkat langit dalam pasukan ni, ada banyak agenda yang perlu dilaksanakan untuk menaikkan imej dan prestasi pasukan dan orang lain tak mampu atau tak reti nak merealisasikan idea-idea tersebut. Yang aku hairan, bermula dari Tan Sri Claude Fenner hingga sekarang, PDRM telah mempunyai 8 orang KPN. Bukannya tempat aku untuk menuding jari menyalahkan mana –mana daripada 8 orang big boss pasukan, tetapi kenapa sampai saat ini, imej PDRM bukannya bertambah baik tetapi bertambah teruk dan kita bukannya makin dihormati dan disanjung oleh rakyat tetapi makin diperlekeh dan disekeh-sekeh kepala kita oleh penjenayah. Entahlah.

Mungkin aku dengki agaknya kerana aku tak berpeluang pakai uniform sampai mati.Tapi, kalau dibagi peluang pun untuk bersara pada umur 65 tahun, dengan keadaan PDRM hari ini, cukuplah sehingga bersara wajib nanti. Itu pun aku tengah seriously thinking untuk bersara pilihan walaupun tempoh bersara wajib dah hampir. Kalau aku kena loteri RM 3 juta, hari ini aku collect duit, esok aku letak jawatan 24 jam, bukan setakat bayar 1 bulan gaji sebagai ganti notis 1 bulan, aku bayar 3 bulan gaji.

Sedihnya masa aku bertugas di cawangan Pencegah Kongsi Gelap, Maksiat & Perjudian dulu, aku pun ada perancangan untuk membersih dan memutihkan D7. Kalau tidak, takkan aku tergamak membuat laporan polis terhadap inspekter aku sendiri kerana salah laku undang-undang. Malangnya aku tak dibenarkan terus dalam D7 sampai pencen kerana bak kata bos aku dulu, ”nobody is indispensable”. Maknanya lebih kurang macam ni lah. Kalau anda tak ada, D7 tak akan berkubur. Aku akur dengan kenyataan tersebut dan aku percaya dengan keluarnya aku dari D7, satu inspekter dapat peluang naik pangkat ASP dan seorang lagi pegawai dapat hidup senang sikit jika pandai memenafaatkan keadaan. Dan aku juga percaya, mungkin pegawai yang menggantikan aku lebih berdaya usaha dan dapat melonjakkan D7 ke tahap prestasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang (jangan temberang sudah).

Barang makanan, ubat-ubatan, dsbnya, ada tarikh luput atau expiry date. Cukup tempoh yang ditampal pada kotak, campak dalam tong sampah kerana jika terus digunakan mungkin memudaratkan. Izinkan saya berkongsi pandangan seorang guru saya. Kata Pak Guru tersebut, ”Manusia pun ada waktu bersaranya, bila tiba waktu bersara wajibnya, tidak ada sambung nyawa secara kontrak akan diberikan. Allah tidak akan memanjangkan nyawanya walau sesaat pun.

Saya bukan pakar dan justeru itu bukan orangnya untuk membincangkan isu sambung-menyambung kerja ini sama ada dari sudut ilmiah, emosional atau kepentingan politik negara. Saya serahkan kepada anda untuk menterjemahkan apa yang tersirat dan tersorok di celah-celah posting ini.

Selamat mengorek dan mencungkil benda-benda yang tersorok. Salam dari Uncle B yang masih memikirkan apa pengajaran yang cuba disampaikan oleh Pak Guru uncle.

Bye!.

Wednesday 2 September 2009

BACULKAH PDRM

Cerita mengenai penduduk Kampong Buah Pala, Pulau Pinang, menghalang sebuah van polis daripada membawa 3 orang AJK kampong berkenaan keluar daripada Balai Polis Jelutong sebagaimana disiarkan oleh The Star 31 Ogos 2009 membuat saya rasa bersyukur, yang saya hanya tinggal 445 hari sebelum menanggalkan uniform biru PDRM. Bukan tak sayang PDRM, yang darinya saya dapat gaji untuk sara anak bini, ibu bapa dan diri saya sendiri untuk hidup. Cuma kalau orang yang kita sayang dah tidak lagi senonoh dan tak boleh berubah perangai, sebagaimana mula kita berkasih sayang, tak patutkah kita humbankan minah atau mamat tu ke dalam longkang. Kata arwah atuk saya, menabur kasih biar bertempat.

Berita tersebut membuktikan betapa bacul, dayus dan hinanya PDRM hari ini sehinggakan boleh digertak-gertak dan dihalang daripada menjalankan tugas. Kalau ahli silat, lagi lama berguru, makin banyak bersilat, makin banyak pengalaman, semakin pendekar. Berbeza nampaknya dengan PDRM, makin lama (202 tahun) menjalankan tugas makin menikus kepada pesalah undang-undang. Kalau setakat tunjuk lagak dan tengking anak buah sendiri sana sini, itu ibarat hero/heroin kampung aje (macam kebanyakkan ahli-ahli sukan negara kita).

Mengapa begini jadinya PDRM. Dari sebuah ajensi penguatkuasa bertukar menjadi agensi yang tidak berkuasa. Inilah padahnya kalau organisasi bukan politik ingin menjadi sebuah badan politik atau pemimpinnya (organisasi) nak jadi ahli politik. Cara berfikir ahli politik Malaysia, lain sikit. Pengurus tulen bertindak untuk memastikan objektif organisasi tercapai. Ahli politik Malaysia bertindak bagi memastikan keuntungan peribadi terlaksana. Itu sebabnya pada hemat saya ahli politik rajin membuat keputusan yang salah tetapi popular dan boleh meraih undi dan bukan keputusan yang menguntungkan negara dan rakyat tetapi boleh menyebabkan mereka hilang undi.

Sosek-sosek dengan Spy Leman, saya dapat tahu bahawa van polis tersebut membawa 3 orang AJK Kampong Buah Pala untuk mendapatkan perintah reman daripada majistret. Beberapa laporan polis telah dibuat bahawa ketiga-tiga mereka ini telah mengancam (i.e. ugutan jenayah) beberapa orang pemaju perumahan. Bermakna ketiga-tiga hamlau ini adalah saspek dalam satu kes jenayah dan boleh dituduh di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan.. Tetapi oleh kerana dihalang oleh orang ramai, saspek dibebaskan dengan jamin polis sahaja. Bukti bahawa polis buat kerja bukan ikut undang-undang tetapi ikut kehendak penjenayah.

Saya tidak ada ijazah undang-undang tetapi sebodoh-bodoh saya, saya tahu bahawa menghalang penjawat awam menjalankan tugas adalah satu kesalahan undang-undang. Pegawai polis adalah penjawat awam. Bawa saspek ke mahkamah untuk dapatkan reman adalah satu tugas rasmi. Menghalang van polis yang bawa saspek ke mahkamah adalah menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Habis kenapa tak ambil tindakan undang-undang di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan. Untuk makluman anda, sepanjang 32 tahun bertugas saya telah 4 kali mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang kerana cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas terhadap mereka yang enggan bekerjasama dengan saya, Sekali tu apabila saya cuba membawa anak seorang Dato’ ke balai polis untuk siasatan. Dato’ itu ok, yang terlebih adalah saudara mara dia, konon anak Dato’ tak boleh tangkap. Tapi itu cerita lama.

Pejam celik-pejam celik, lambat laun saya akan menjadi Joe Public (orang awam). Itu yang membuat saya gusar dan gundah gulana. Sebagai orang awam, saya mengharapkan pihak polislah untuk menjaga dan menjamin keselamatan persekitaran di mana kami bergerak supaya saya dan ahli keluarga dapat hidup dengan selamat. Tapi kalau (pada pandangan saya) pihak yang bertanggungjawab menjaga keamanan negara, asyik tekun menjaga kepentingan golongan tertentu, kepada siapa lagi saya dan rakyat hendak menaruh harapan (macam lagu Zaiton Sameon plak).
Hingga membebel lagi, salam chup chup dari:-
Uncle B