Monday 24 August 2009

KENAPA CENDAWAN TAK BOLEH JADI POKOK KAYU JATI

Semasa menghadiri bengkel Training Of Trainers untuk perlaksanaan MS ISO 9001:2008 oleh PDRM baru-baru ini, salah seorang consultant ISO untuk PDRM telah memperkenalkan saya kepada satu ungkapan yang dengan tepat mengambarkan perkembangan mental, fisikal dan kerohanian ramai rakyat Malaysia hari ini. Menurut consultant tersebut, “The government is treating us like mushroom, keeping us in the dark and feeding us bullshit”. Bahasa Malaysianya berbunyi lebih kurang begini, “Kerajaan melayan kita macam cendawan, meletakkan kita di tempat gelap dan memberi kita makan najis”.

Arwah abah dan adik saya Amiruddin pernah menjadi penanam cendawan selama 5 tahun (kalau saya tak silap) di kampong kami di Segamat, Johor. Ladang cendawan abahlah yang membekalkan cendawan tiram kepada semua pasar basah dan pasar raya di Segamat. Famous tak famousnya perusahaan abah ketika itu, hinggakan pakar-pakar pertanian dari Universiti Pertanian Serdang (ketika itu) dan Tengku Mahkota Johor pun datang melawat. Malangnya adik tertarik dengan kehidupan kota, lalu berhijrah ke Kuala Lumpur dan sekarang menjadi seorang consultant ISO. Abah dah tua, kudrat dah kurang, lalu berkuburlah perusahaan cendawan tersebut.

Sebut fasal cendawan, memang betul cendawan suka tempat gelap. Benih-benih cendawan disuntik dalam beg-beg plastik yang mengandungi medium tanaman, sama ada serbuk kayu atau buangan sisa kapas. Kemudian disusun atas rak-rak yang dibina dalam pondok-pondok cendawan yang tiada tingkap supaya sentiasa gelap. Kena cahaya cendawan mati. Tak ingat pula, apa jenis baja abah pakai. Tapi baja asli dibuat dari najis kan?

Jadi bila consultant ISO PDRM tu kata, kerajaan melayan kita macam cendawan, meletakkan kita di tempat gelap dan memberi kita makan najis, saya secara automatik faham dan bersetuju dengan pandangannya itu.

Masa sibuk berjerebu, rakyat tidak diberitahu berapa index jerebu kita. Alasannya takut pelancung meminggirkan Malaysia (selama ini saya fikir kaum india malaysia aje yang kena pinggir). Rakyat Malaysia sakit kerana jerebu tak apa, asalkan pelancung datang, sebab kalau pelancung datang, tauke-tauke akan kaya. Siapa agaknya kenalan tauke-tauke ini? Akaun Petronas tidak pernah didedahkan kepada rakyat walhal Petronas rakyat punya. Laporan audit Price Waterhouse mengenai Klang Free Trade Zone masih lagi dirahsiakan walhal yang lesap adalah duit rakyat. Sekarang ini ada ura-ura pulak nak rahsiakan angka kematian H1N1. Kalau ini bukan dikatakan ”kerajaan meletakkan kita di tempat yang gelap”, saya tak tahu apa lagi nak dikata.

Bila pula kerajaan bagi kita makan najis? Media cetak dan elektronik di Malaysia siapa punya kalau bukan UMNO punya. Apa yang lazimnya disiarkan oleh media massa ini kalau bukan najis.

Oleh kerana kerajaan tak mahu kita diberitahu perkara yang sebenarnya telah, sedang dan akan berlaku dan akhbar, radio dan TV pula mengeluarkan berita-berita yang telah diputar-belitkan, lalu bergelaplah kita dari kebenaran. Maka jadi cendawanlah ramai dari orang kita. Yang cendawan-cendawan hidup ini tahu ialah beg-beg plastik di mana mereka dirumahkan, diberi makan najis dan dunia mereka (cendawan hidup) ialah ruang lingkup pondok di mana mereka disusun berasak-asak atas rak-rak. Dek kerana dah sebati dengan kegelapan, maka jika ada cahaya cuba menerangi hidup cendawan-cendawan ini, ia terus mampus. Untuk makluman pembaca, pernah satu pondok cendawan arwah abah rosak kerana pelawat wanita yang datang pakai minyak wangi. Dek kerana dah sebati dengan bau najis, maka bila ada kewangian mahu membersihkan udara sekeliling, cendawan-cendawan ini, juga kojol.

Sebenarnya tanam pokok besar macam pokok kayu berlian lebih banyak faedah. Tak payah buat rak-rak dan pondok. Bila pokok tu besar, boleh melindongi tanah dari terhakis kerana hujan dan batangnya boleh jadi kayu balak. Bahayanya pokok besar boleh menghempap tuan pokok. Jadi lebih baik tanam cendawan. Saya belum dengar lagi ada orang mati kena hempap cendawan. Dan susah-susah, cendawan boleh dibuat sop. Mushroom Soup. Maknanya ramai dari orang kita dijadikan sop cendawan untuk dimakan dengan roti oleh penanam cendawan yang kebetulan ada modal (tak kiralah modal dari duit haram atau halal, asalkan modal) untuk buka ladang cendawan.

Padanlah negara kita ini macam malap aje. Banyak sangat cendawan. Kenapa agaknya cendawan tak boleh jadi pokok yang besar dan rendang. Fikir-fikirkan.

Sekian, wassallam dari Uncle B yang berpendapat bahawa lebih baik tanam cendawan dari jadi cendawan.

1 comment:

Anonymous said...

Uncle. Tanya sikit. Pasal ASP yang hampir-hampir kena pau dengan krew kereta peronda. ASP tu ada iras-iras Mat Indon ke? Dan apa jawapan ASP Indon tu bila krew peronda tu nak pau dia? Harap uncle cerita sikit. Sesuai jadikan perisik tu uncle. Maklum la, pakar menyamar. Harap uncle boleh jawab persoalan ni. Terima kasih uncle.