Sunday 8 November 2009

ANTARA REALITI DAN IMPIAN


Terima kasih kepada mereka yang mencadangkan supaya saya memberi pandangan-pandangan bernas untuk menambahbaik PDRM dan bukan sekadar merungut tentang kepincangan-kepincangan pasukan sahaja. Setuju. Merobohkan lebih mudah daripada membina. Yang menjadi tanda tanya ialah adakah menjeritkan kepada orang ramai yang sedang mandi-manda di tepi pantai bahawa Tsunami akan melanda, satu tindakan yang salah.

Orang melayu lama saya percaya lebih tajam pemikirannya dari melayu hari ini. Jika tidak masakan wujud peribahasa, ”Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Langit Dijunjung”. Saya tidak tahu sama ada orang Melayu dahulu-kala meniru daripada orang Inggeris atau sebenarnya matsalleh meniru daripada orang melayu kerana masyarakat kulit putih juga mempunyai peribahasa yang hampir sama maksudnya, ”When In Rome, Do As The Romans Do”.

Melalui peribahasa ini, kita diajar untuk bersikap realistik dalam menjalani kehidupan, Semasa Barack Obama dipilih sebagai presiden Amerika, sebuah negara yang lebih banyak anti daripada pro Islam, mengigal-ngigal gembira orang Islam sedunia kononnya Barack Obama yang berketurunan Islam sebelah bapanya dan pernah tinggal di Indonesia, akan simpati dengan masalah orang Islam. Kecuali saya.

Atas dasar ”Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Langit Dijunjung”, saya tidak yakin lansung bahawa presiden sebuah negara yang sanggup memfitnah dan menyerang Iraq dan sekarang Iran semata-mata untuk mengawal minyak dunia dan melindungan Israel, akan membela Islam. Lobi Yahudi paling berpengaruh di USA. Merekalah yang memungkinkan Obama menjadi presiden AS, jadi adalah satu perkara mustahil kalau kaum Yahudi yang berada di belakang pentadbiran AS akan membenarkan Obama berjabat tangan dengan Presiden Ahmadnijad.

Jangkaan saya tepat kerana baru-baru ini Obama bersetuju dengan kehendak Israel supaya pemberhentian pembinaan penempatan baru Yahudi di tanah Palestin tidak dijadikan satu syarat untuk memulakan rundingan damai Timor Tengah. Sementara berbincang kosong, tanah Palestin terus dirampas oleh Yahudi. Ini yang dinamakan realiti.

Realiti hidup di negara ini juga sama. ia mengajar saya bahawa cakap dan pandangan ”orang kecil” tidak akan diberi perhatian atau diambil kira oleh ”orang besar” dan mereka yang berkuasa. Kalau cakap Suruhanjaya Diraja Kes V.K. Linggam pun diketepikan oleh pemerintah, apalah harapan untuk cetusan minda seorang insan kerdil seperti saya.

Bukan tidak pernah mencuba, sama ada secara bertulis dengan rakan-rakan atau secara lisan dalam mesyuarat. Kami pernah mengemukakan cadangan untuk memperkasakan latihan asas untuk inspekter percubaan dan konstabel, juga cadangan untuk memperadilkan sistem kenaikan pangkat PDRM bagi mengurangkan bias dan pilih-kasih. Apa jadi dengan cadangan-cadangan tersebut. Hampeh. Semasa mengemukakan cadangan secara lisan, tidak kurang dua kali, kelayakan akademik saya untuk melayakkan saya memberi cadangan telah dipersoalkan. Syukur, salah satu dari cadangan tersebut diterima-pakai oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya walaupun bekas Pengarah JSJ (dah arwah pun) tidak menerimanya kerana saya tidak mempunyai kelulusan undang-undang. Ini realiti menjalani kehidupan di Malaysia dik. Jadi terima kasihlah. Buat sementara waktu ini biarlah saya mendiamkan diri sahaja.

Perhatikan sahaja apa yang sedang berlaku di sekeliling anda. Tanyalah diri sendiri berapa banyak pandangan-pandangan ikhlas telah dikemukakan oleh cerdik pandai kita bagi memperbaiki pengurusan dan pentadbiran negara. Profesor Ungku Aziz pernah menyuarakan pandangannya mengenai kebijaksanaan membina kereta Malaysia (kononnya). Hari ini Proton hanya menghabiskan wang rakyat untuk terus hidup. Pakar-pakar dari UKM pernah mengeluarkan kajian viability membina Empangan Bakun. Apa dah jadi dengan Bakun jika tidak menghabiskan duit rakyat lagi. Ketua Eksekutif Tenaga Nasional sanggup meletak jawatan kerana membangkang pembinaan IPP. Hari ini rakyat membayar tinggi untuk bekalan elektrik untuk membolehkan kroni kaya. Dalam keadaan begini, adalah lebih baik dipandang bodoh daripada diperbodohkan.

Hingga jumpa lagi, salam dari Uncle B, yang tahu bahawa buah fikirannya tidak akan diterima pakai tetapi masih suka memberi pandangan yang boleh ”rock the boat”. Bye!!.

No comments: