Sunday 22 November 2009

SELAMAT DATANG KE PDRM

Kalau tiada siapa yang ingin menjenguk KACA MATA KU selepas ini, saya tidak akan menyalahkan mereka. Apa tidaknya, telah lebih 2 minggu saya menyepi diri. Walhal menurut mereka yang arif, setiap blog hendaklah dikemaskinikan atau di update setiap 2 atau 3 hari sekali bagi memikat hati pembaca.

KACA MATA KU adalah perharian online untuk merekodkan apa yang terbuku di hati saya buat generasi yang akan datang. Kira-kira ala "The Diary Of Anne Frank". Cucu cicit saya tidak akan mempunyai seorang atuk yang glamour atau pillar of society. Tidak ada penulis yang akan membukukan kisah hidup saya untuk dijadikan iktibar bagi generasi yang akan datang. Bagaimana mahu dijadikan contoh dan tauladan kalau kerjaya sendiri pun dalam PDRM tidak ke mana. Kecualilah saya bersara sebagai seorang ketua polis negeri atau pengarah jabatan PDRM mungkin ada yang sudi membaca kata-kata hikmat saya sebagai mana ada rencana TV khas oleh ASTRO mengenai Dr.Mahathir. Orang gila sahaja yang sanggup keluar duit untuk membeli autobiography Baharuddin Hj Idris, pesara polis.

Menulis dengan harapan penulisan saya dapat membuka hati pembaca untuk menilai semula apa yang berlaku di sekeliling mereka dan melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan hanya satu angan-angan Mat Jenin. Kalau dulu masyarakat tidak dapat berfikir, saya tidak hairan kerana ketika itu kita hanya ada Universiti Malaya, Kolej Pertanian Serdang dan Universiti Kebangsaan sahaja. Kalau anak menjejak kaki ke menara gading, satu kampong datang ke Kuala Lumpur untuk mendaftar. Hari ini kita ada beratus-ratus institusi pengajian tinggi swasta dan awam tempat para graduan seharusnya diajar berfikir. Saya tidak tahu anda tetapi secara peribadi saya gagal melihat budaya berfikir secara analytical berleluasa di kalangan golongan muda. Jika tidak masakan status quo yang ada masih dikekalkan kerana secara terangan-terangan musang masih dibiarkan menjaga reban. Yang cacat peribadinya masih berkuasa.

Dari 15hb hingga 20hb November 2009 yang lalu, saya berada di D’Village Resort, Melaka. Kursus Asas Siasatan Jenayah Komersil untuk 47 orang inspekter percubaan yang baru melapor diri di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (nombor polis mereka bermula dengan 18XXXX). Saya bersyukur kerana dapat bersama-sama mereka for most of the time sepanjang tempoh tersebut.

Saya tidak mahu membuat ulasan terperinci tentang silap atau tidaknya anak-anak ini (purata umur mereka 25 tahun, anak saya sendiri berumur 26 tahun) memilih PDRM sebagai kerjaya mereka. Saya cuma berharap mereka memilih PDRM atas sebab-sebab yang altruistic dan bukan kerana tertipu oleh siri Gerak Khas atau CSI seperti yang diakui sendiri oleh salah seorang inspekter yang berada dalam kumpulan tersebut. Saya bimbang jika saya dedahkan realiti bekerja dalam PDRM, ramai yang mencari peluang untuk meletakkan jawatan secepat mungkin.

For whatever it is worth, you have choosen an honourable profession as your career in life. Do not dishonour the profession by dishonourable acts. Walaupun apapun alasan anda, anda telah memilih untuk menyertai satu profesion yang mulia sebagai kerjaya anda. Jangan cemarkan kemuliaan tersebut dengan tindakan-tindakan tidak bermaruah. Sistem kepolisan moden diasaskan dalam pemerintahan Khalifah Umar, Pada saya jika anda mencemarkan profesion kepolisan yang telah anda ceburi dengan rela hati, anda telah mencemarkan Islam. Sia-sia sahaja sembahyang anda dan doa-doa yang dibaca setiap kali sebelum bermulanya majlis-majlis rasmi PDRM.

Apakah tindakan-tindakan tidak bermaruah yang saya maksudkan. Saya tidak perlu berkhutbah kerana sebagai individu yang mempunyai kelulusan akademik yang tinggi, anda pasti dapat membezakan antara gelap dengan terang, antara putih dengan hitam, antara benar dengan salah dan antara yang haq dengan yang bathil. Nabi Muhammad s.a.w. ada mengatakan bahawa dosa itu adalah apabila anda merasa bersalah dalam hati. Justeru itu sebelum anda melakukan sesuatu, search your soul, adakah apa yang anda lakukan itu betul dan selaras dengan ajaran Islam?

Walaupun imej kita teruk, hancur lebur dan punah ranah di mata masyarakat, masyarakat tersilap sebenarnya. Institusi PDRM tidak pernah rosak, hancur lebur dan punah ranah. PDRM tetap utuh, berdiri tegak dan megah sebagai institusi yang menjaga keselamatan dan keamanan negara. Yang rosak, hancur lebur, punah ranah dan hanya mementingkan tempolok sendiri sahaja adalah kebanyakkan (tidak semua) pegawai dan anggota yang menjadi warga PDRM. It is not the police force that is bad but the people who runs it. Bukan PDRM yang tercemar tetapi orang yang mentadbirnya yang tercemar. Dan jika pegawai dan anggota PDRM tidak boleh diharapkan sebagaimana dakwaan sesetengah daripada peneraju pasukan, saya ingin mengingatkan mereka bahawa, “Ikan busuk dari kepala bukan dari ekor” dan “There is no such thing as a bad soldier but a bad general”. Fikirkanlah.

Akhir kata dari Uncle B, yang tetap bimbang apa akan terjadi pada PDRM dua tiga tahun dari sekarang, sama ada pegawai dan anggota yang ada pada hari ini dapat menjamin keselamatan Uncle selepas bersara nanti atau mungkin Uncle akan di kowtim kerana bawa kereta terlaju sikit kerana cucu lewat ke sekolah, salam dan renungkanlah dari Uncle B.

3 comments:

I 17*** said...

S'mekom tuan, berdasarkan luahan dalam blog tuan sejak beberapa tahun dahulu, mungkin sy dpt rasakan apakah yang tuan ingin sampai. sbg pendatang baru dalam pasukan, sy dpt rasakan ape yg tuan luahkan... tapi niat dan hati sy untuk 'mencuba' dlm pasukan... tidak lebih daripada itu. semoga niat dan apa yang sy lakukan diberkati tuhan yg Maha Esa.

DANG MEWANGI said...

TAAT SETIA PADA PASUKAN TAK PERNAH LUNTUR..
IKRAR MASA KAT PULAPOL....
PDRM IS THE BEST......

dinodino said...

As'kum Tuan,
Dalam meniti hari hari yang berlalu dan kian menjelang senja, membuatkan saya sentiasa bersyukur dengan anugerah dan baraqah dari Illahi, PDRM telah banyak menaburkan jasa kepada saya, keluarga dan warganya, walaupun hanya seorang anggota pangkat rendah yang cuma mampu hidup serba sederhana namun saya tetap bersyukur dan tidak pernah lupa dari mana setiap butir beras itu diperolehi. Nasi dari beras itu jualah yang selama ini telah disuap kemulut anak anak demi membesarkan mereka sehingga insyaallah, akan menjadi insan yang berguna kelak. Saya tersentuh dan hiba dengan setiap penulisan Tuan yang mengambarkan kekecewaan terhadap organisasi PDRM, sebuah institusi yang sangat saya kasehi dan bangga dalam memberikan khidmat bakti. Selama ini saya sentiasa memberikan yang terbaik semampunya. Bagaimanapun saya sentiasa menyedari sebagai sebuah organisasi yang besar seperti PDRM, sedikit sebanyak kepincangan adalah hakikat yang tidak dapat disangkal sama sekali. Tiada seorang manusiapun yang sempurna (nobody perfect), maka apatah lagi PDRM yang mempunyai keanggotaan l/kurang 100,000 orang.Berbagai ragam dan karenah akan ada disetiap peringkat dan kedudukan. Disinilah letaknya kewibawaan dan integriti setiap pegawai dan anggota yang masih berkhidmat. Merekalah yang akan menentukan halatuju dan meletakkan PDRM sebagai satu organisasi yang dihormati dan berintegriti. Untuk itu marilah kita bersama selepas menunaikan solat memanjangkan doa semuga warga PDRM akan bersatu hati, menguatkan usaha untuk terus maju demi mencapai setiap visi dan misi.