Thursday, 1 July 2010

KALAU DAH LOW CLASS

Peminat televisyen yang seangkatan dengan saya (dari segi umur) pasti kenal siapa detektif inspekter Columbo. Seorang watak siri TV tahun 70an yang berpenampilan lokos dan blur serta soft spoken ini, akan berlagak bodoh apabila berhadapan dengan pengadu, saksi dan suspek yang tidak reti bahasa tetapi berlagak pandai. Seharusnya saya teringatkan watak Columbo ini sebelum saya berhadapan dengan pengadu dan adik lelakinya pada petang 29 Jun 2010, bukan selepas.

Tengahhari hari yang sama, saya menerima panggilan telefon dari Dato’ N yang bertugas di KDN mengatakan seorang pengadu telah singgah berjumpa menteri untuk mengadu tidak puas hati kerana pihak polis gagal mengambil tindakan atas laporan polisnya. Oleh kerana Dato’ Pengarah JSJK sedang bertugas di Penang, saya telah diminta menyelesaikan kes ini. Dari awal lagi saya telah menjangka bahawa (1) pengadu orang UMNO dan (2) ini jenis manusia berlagak. Apa yang berlaku apabila pengadu sampai ke pejabat JSJK jam 2:30 petang membuktikan saya tidak salah.

Apabila anggota penyambut tetamu meminta supaya mobile phone ditinggalkan di counter, dengan bongkak, adik lelaki pengadu mengatakan yang dia orang politik, jadi tidak terikat kepada peraturan. Ini memang ciri orang politik atau barua-barua mereka sama ada dari BN (terutama UMNO) atau Pakatan Rakyat (terutama DAP dan PKR). Asalkan memerintah, walaupun sekadar peringkat negeri, lansung lupa daratan. Kononnya dialah yang berkuasa.

Telefon ditinggalkan tetapi dengan suara tinggi memberi tahu kakaknya (pengadu), “kita masuk tempat kambing, jadi kena ikut cara kambing”. Sebelum encounter dengan penyambut tetamu lagi, orang sombong ini dah tunjuk lagak apabila menalifon saya memberitahu yang beliau telah sampai di lobby komplex JSJK. Apabila diberitahu untuk berjumpa dengan Insp Zainal, sifat bangga diri terserlah apabila mendengus, “Jumpa Inspekter aje”. Sebenarnya ketika itu saya baru hendak menunaikan solat zohor saya. Saya kemudian diberitahu oleh Insp Zainal bahawa semasa berjumpa dengan Insp Zainal, si pengadu telah berkata, “tak guna jumpa budak ini, bukan boleh buat apa-apa”. Kalau ini bukan sifat-sifat manusia bongkak, mungkin nilai hidup anda berbeza dari saya.

Yang menyakinkan saya bahawa kebanyakkan daripada orang sombong, bongkak dan berlagak ini lazimnya berasal daripada insan cikai dan haprak yang tiba-tiba menjadi kaya atau berkedudukan tinggi ialah semasa saya berinteraksi dengan kedua-dua pengadu dan adik lelakinya. Daripada mula perbualan, si adik tidak habis-habis mencanangkan yang dia orang politik (part ni saya sabar), kemudian, kenal dan baru berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri (saya masih sabar) tetapi apabila mula bermegah yang mereka juga rapat dengan sultan sebuah negeri dan menyogokkan beberapa keping gambar mereka (pengadu & adik) dengan sultan berkenaan, benteng kesabaran saya pecah.

Dengan nada yang agak tinggi kerana bengang (saya pantang digertak), saya memberitahu si adik, “Encik jangan bimbang, saya akan jalankan tugas dan tanggungjawab sebaik mungkin tapi jangan gertak-gertak atau cuba takutkan saya dengan mengaitkan nama tokoh politik, menteri atau sultan yang Encik kenal”. Tidak cukup dengan itu, saya mencapai carta salasilah keturunan saya (dibuka selebar 8 kaki) yang kebetulan berada di atas kabinet di belakang saya dan memberitahu adik pengadu, “saya pun bukan sembarangan orang, saya keturunan sultan, arwah atuk saya sebelah emak, semasa hidupnya, menerima pencen kerabat”. Selepas saya sembur sedemikian, barulah turun tochang kedua-dua adik beradik ini.

Saya memaparkan kisah di atas bukan sebagai helah untuk membangga-banggakan keturunan saya kerana saya percaya, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya tetapi untuk mengajak pembaca blog saya yang bukan warga PDRM melihat kerenah manusia-manusia biadap dan sombong bodoh yang sering ditemui oleh pegawai-pegawai polis dalam penugasan mereka. Media massa hanya tahu melaporkan pegawai polis yang bersikap kurang ajar dan kasar kepada orang awam sahaja tetapi tidak mahu melihat cerita di sebaliknya. Seorang pegawai polis polis Indonesia pernah memberitahu saya, “Pak Bahar, polisi di Indonesia, kalau ketemu dengan beruk, berbahasa beruk. tapi berbahasa manusia kalau berjumpa dengan manusia”. Salahkah pegawai polis menggunakan bahasa monyet kalau bercakap dengan monyet yang menyamar jadi manusia. Yang mendukacitakan, pegawai polis yang besar-besar suka sangat melayan monyet-monyet ini kerana apabila berjumpa dengan pegawai besar polis untuk mengadu hal pegawai kecil polis yang kononnya kasar, tahu pulak beruk-beruk berkot dan bertali leher ini bercakap macam manusia.

Salam Urko (Planet of The Apes) dari Uncle B, yang hairan kenapa sejak agensi kerajaan dipolitikkan (termasuk PDRM), banyak sangat suku sakat Urko komplen pasal PDRM. Calo dan ugghh, ugghh!!!!!!

No comments: