Wednesday 21 August 2013

DISKRIMINASI KELAS BUKAN KAUM



Antara jam 12:00 tengah hari hingga jam 1400 petang, 20 August 2013, saya bersama isteri, adik lelaki saya, isterinya, adik perempuan dan ibu saya, berada di Wad 6A, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan (HTJS). Ini wad kelas 3 kerana wad kelas 1 dah penuh. 

Bukan nak cerita fasal adik ipar saya (isteri kepada adik lelaki saya ke 3) yang diserang stroke buat kali kedua tetapi fasal rakyat kelas 2 yang dislogankan oleh kaum Cina  atau kaum yang dipinggirkan yang dicanangkan oleh geng India semata-mata untuk menunjukkan yang Malaysia mengamalkan diskriminasi yang mementingkan orang melayu yang didakwa tidak pandai, kaki berhibur sahaja dan malas. 

Pemimpin politik melayu yang bodoh memang ada, sebagaimana adanya pemimpin cina dan india yang sama bodoh dengan pemimpin kaum melayu tetapi bijak membelit. Yang lazimnya terbelit ialah pemimpin melayu yang bodoh. Jika tidak masakan cina dan india Singapura dapat rampas Pulau Batu Putih atau nama Singapuranya, Pedro Branca daripada Melayu Malaysia di perbicaraan Mahkamah Antarabangsa. Kecualilah kalau ikut lojik Dr.M, yang selamanya mengatakan dunia luar cemburukan kehebatan Malaysia dan memang sengaja nak mengenakan Malaysia walaupun Malaysia berada di pihak yang benar.

Saya melihat sekeliling wad yang banyak katil dan rapat rapat pulak tu (maklumlah wad kelas rakyat marhain bukan kelas menteri) dan melihat ramai pesakit melayu,. Tengok lagi, ada kelompok pesakit India dan renung lagi, nampak dua tiga kerat pesakit Cina. Selepas termenung, berfikir, mentelaah dan mengkaji keadaan sekeliling, saya tersedar.

Kalau kaum Cina kata mereka adalah rakyat kelas 2 dan  India kata mereka kaum dipinggirkan kerana dasar bumiputera kerajaan yang kononnya memanjakan dan memberi kelebihan segala-gala kepada orang melayu sahaja, mengapa orang melayu yang paling ramai dalam Wad Kelas 3, 6A. Kenapa pesakit Cina dan India, sikit sahaja di wad kelas 3 ini. Pesakit Cina dan India yang lain pergi hospital swasta yang mahal kut? Sebaliknya kalau orang Melayu kata kaum Cina dan India bersekongkol untuk rampas hak istimewa sekali gus merampas peluang ekonomi orang melayu melalui putar belit dan putar ular mereka (kaum Cina dan India), mengapa dalam wad rakyat marhain 6A ini ada pula pesakit India dan Cina.

Kalau pesakit melayu kelas menteri/tokoh koperat/keparat melayu tak sanggup terlantar di hospital rakyat masakan pesakit Cina dan India dari kelas menteri/tokoh koperat/keparat/ termasuk dari kelas penyamun dan penjarah, sanggup sakit di hospital kerajaan.

Yang betulnya, di Malaysia Boleh ini (yang dukacitanya semua boleh untuk kelas atasan dari semua jenis kaum sahaja), diskriminasi bukan satu isu antara kaum tetapi antara kelas.  Persengkongkolan antara golongan atasan kaum Melayu, Cina dan India untuk mendiskriminasikan hak rakyat kelas bawahan dari semua kaum demi mengelembongkan poket masing masing (kelas elite melayu, cina dan india). 

Untuk membodohkan kaum masing-masing, maka setiap ketua kaum menjual cerita dongeng mengenai diskriminasi terhadap kaum masing. Akhirnya Ananda Krishnan, Vincent Tan , Rodzali Ismail dan semua golongan kelas atasan yang seangkatan dengan mereka, akan pakat sama  sama gelakkan orang melayu, cina dan india yang dengan bodohnya menerima dakyah diskriminasikan perkauman ini.

Kita fikirkanlah bersama dan salam dari Uncle B yang selalu berdoa agar universiti kita berjaya melahirkan graduan yang bijak bistari yang dapat membimbing rakyat yang kelabu untuk melihat bahawa sebenarnya pemimpin mereka yang ada hari ini, penuh dengan kudis dan pekong.

Byeeee!!!!

No comments: