Thursday 26 June 2014

KITA SERUPA

Peristiwa pegawai pegawai imigresen menemui seorang remaja lelaki OKU berusia 15 tahun dalam sebuah unit rumah pangsa di Nilai, Negeri Sembilan, menyentap rohani rakyat Malaysia seketika. Tak perlu digambarkan keadaan unit tersebut atau keadaan remaja OKU itu, yang berseorangan apabila ditemui. Satu dunia, paling tidaknya satu Asia Tenggara, telah dapat melihat video clip dan gambar gambar “mangsa”. Saya percaya anjing atau kucing peliharaan manusia pun diberi tempat tinggal dan penjagaan yang jauh lebih baik daripada apa yang diterima oleh pemuda malang ini. Paling sedih, kita berpeluang melihat gambar pemuda ini semasa dia masih “sihat” dalam jagaan ibunya. Kenapa tiba tiba dia diabaikan.

Peristiwa sedih ini, mengajak saya bertanya. Apakah yang membezakan manusia dengan binatang.

Adakah keupayaan berfikir yang menjadikan kita manusia. Jika benar, apakah yang terfikir dalam minda si ibu sehingga sanggup “menyeksa” anak sendiri sedemikian rupa. Saya pernah melihat seorang lelaki melayu memberhentikan keretanya ditepi jalan yang sibuk dengan kenderaan untuk berlari ke tengah jalan bagi menyelamatkan seekor anak kucing yang terkandas di divider jalan. Lelaki ini terfikir barangkali, walapun binatang, dia sebagai manusia perlu menyelamatkan satu nyawa anugerah Tuhan. Manusiakah lelaki ini kerana dia boleh berfikir.

Saya juga pernah menonton satu program TV terbitan US yang menayangkan video klip video klip kiriman penonton yang merakamkan peristiwa aneh, lucu dan unik yang pernah berlaku. Salah satu dari klip tersebut merakamkan bagaimana seekor anjing menyeberang ke tengah lebuhraya 6 laluan untuk “menolak” ke divider jalan, bangkai seekor anjing lain yang mati dilanggar untuk mengelakkan bangkai tersebut dari hancur kerana berterusan dilanggar. Apakah anjing yang seekor ini punya perasaan. Manusiakah anjing ini kerana  ia mempunyai perasaan kasihan.

Adakah kerana manusia ada 2 kaki dan 2 tangan dan berjalan atas 2 kaki, maka kita layak dijenamakan manusia. Chimpanzee juga boleh berjalan menggunakan 2 kaki, walaupun lazim berjalan dengan keempat empat kaki dan tangan. Jika begitu, manusiakah beruk yang boleh berjalan atas dua kaki?  Atau pun seperti tajuk lagu Zainal Abidin Headwind, “Kita Serupa”  …….. tetapi ……… kita serupa dengan beruk.

Esok, lusa atau bila bila masa anda berada di tengah-tengah kelompok orang yang lazimnya diiktiraf sebagai manusia, cuba berhatikan tingkah laku dan perangai mereka. Paling tidak, baca cerita mengenai tingkah laku dan perangai kumpulan yang dikelaskan sebagai manusia ini, seperti “mereka” yang mengabaikan remaja OKU di atas, dan tanya diri sendiri. Tingkah laku dan perangai manusiakah yang sedang aku lihat ini atau perangai binatang. Jadi, siapa manusia dan siapa binatang.

 Hingga jumpa lagi. INILAH MALAYSIA!!!

No comments: