Tuesday 17 June 2014

BUKAN DUIT KITA DUIT RAKYAT

Tidak lama lagi, Parlimen Malaysia akan meluluskan pindaan kepada Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk membolehkan penubuhan satu panel khas dalam LHDN. Panel ini diberi kuasa untuk melaburkan wang cukai pendapatan yang dikutip dari rakyat dalam apa juga sektor perniagaan yang “mereka’  suka.
 
Saya amat menyokong pindaan ini kerana dengan kebijaksanaan menteri kewangan kita, Malaysia sekarang telah memperluaskan lagi ruang untuk melaburkan wang rakyat melalui pelbagai agensi kerajaan. Kita ada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, ada Khazanah Nasional dan sekarang wang rakyat yang dicukai pun boleh dibuat modal pelaburan. Saya percaya sungguh bahawa mereka yang diamanahkan dengan wang rakyat ini akan menguruskan dana yang ada dengan baik dan berwawasan demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.
Untuk sementara waktu ini, kita lupakan sahaja bajet defisit negara sejak 16 tahun yang lalu, projek PKFZ yang lesap RM 12 billion atau projek lembu RM250 juta dan banyak lagi pelaburan pelaburan atau projek projek yang sedap mata memandang tapi sakit rasa di poket rakyat..   

Bercerita hal melaburkan duit orang dan bukan duit sendiri ini, saya teringat satu episod semasa saya chief inspekter dulu. Mes Pegawai Kanan PDRM telah memanggil satu EGM untuk mendapatkan persetujuan ahli ahli mes untuk melaburkan lebihan wang kutipan keahlian mes, yang kalau saya tidak silap, bernilai RM 1.5 juta, ketika itu. Koperasi polis akan dilantik menjadi fund managernya. Seperti biasa kami ahli mes diberi peluang untuk menyuarakan pendapat masing masing, menyokong atau tidak. Dan seperti biasa juga, kesemuanya menyokong kebijaksanaan AJK Mes dan KPN (Tun Haniff Omar) untuk melabur wang tersebut dengan koperasi polis sehinggalah seorang chief inspekter bangun menentang.

Dua sebab dikemukakan, satu kerana ianya bertentangan dengan Perintah Am Kerajaan Bab D yang melarang agensi kerajaan terlibat dalam speculative trading i.e. pasaran saham dan kedua, track record Koperasi Polis sebagai pengurus dana. Saya beri contoh kegagalan Koperasi Polis dalam menguruskan wang ahli koperasi yang dilaburkan dalam SKP Glass dan SKP Trading. Senyap, ….. tiada seorang pun yang berani menyokong saya.  Oleh kerana kami berada dalam sebuah negara demokrasi, maka pihak Mes juga mengamalkan kaedah demokrasi. Undian dijalankan dan suara ramai bersetuju untuk wang RM 1.5. juta milik ahli mes dilaburkan. Saya akur dengan keputusan tersebut kerana kita mengamalkan sistem demokrasi.

Sehingga hari ini, saya tidak tahu sama ada Mes Pegawai Kanan Polis telah sarat dengan duit keuntungan pelaburan atau masih terkial-kial untuk bergerak dengan yuran kutipan ahli yang ada. Wallahhuallam.

Hingga jumpa lagi. INILAH MALAYSIA!!!

No comments: