Monday, 4 January 2010

RAJA LAWAK BODOH DUNIA

Hasrat memang tinggi mengunung untuk tidak lagi membuat sebarang komen peribadi tentang situasi dalam negara dan PDRM kerana tiada hasilnya menjadi anjing menyalak bukit. Suara habis, bukit ngak runtuh. Tetapi apabila laporan polis dibuat terhadap seorang pakar (tak kiralah pakar dalam atau luar negara) yang memberi pendapat profesionalnya mengenai sesuatu isu dalam perbicaraan, saya terpaksa melanggar pantang kerana tindakan tersebut adalah kemuncak ketololan yang melampau. Maka akan melonjak ke ataslah kedudukan Malaysia sebagai Raja Lawak Bodoh Dunia.

Saya pasti selepas ini tiada seorang pakar pun, tak kiralah dari dalam atau luar negara, yang sanggup beri keterangan dalam mana-mana prosiding mahkamah di Malaysia kerana laporan polis akan dibuat jika keterangan pakar mereka tidak menyokong kehendak kerajaan.

Sebut fasal lawak bodoh, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK) elok juga berfikir untuk hantar Menteri atau pegawai-pegawai tingginya menyertai pertandingan Raja Lawak Musim ke 4 di ASTRO. Pasti juara. Akhbar Sinar Ahad 3 Januari 2010 di mukasurat 10 dengan bangga melaporkan KPDNKK memberi amaran, ”Naik harga kena tindakan – Amaran KPDNKK jika peniaga ambil kesempatan kenaikan harga gula”.

Sejak bila peniaga-peniaga besar di Malaysia takut dengan apparatus penguatkuasaan kerajaan Malaysia. Itu yang lawaknya. Jika tauke-tauke besar akur dengan arahan kerajaan, dah lama syarikat-syarikat bas tidak cuai dalam merekrut, melatih dan mengawal pemandu-pemandu bas mereka supaya tidak membunuh orang yang tidak berdosa dalam perjalanan. Itu belum lagi menyentuh bencana-bencana buatan manusia yang boleh dielakkan jika tauke-tauke ketar lutut dengan peraturan-peraturan kerajaan yang berlambak-lambak tetapi tidak dilaksanakan kecuali terhadap pelanggar undang-undang ikan bilis.

Salam pi mai pi mai tang tu dari Uncle B yang tak berapa nak sabar dengan lawak bodoh terlampau.

P/S : TQ kepada pembaca yang sudi memberi komen tentang blog saya. InsyaAllah pandangan anda akan saya ambil kira jika ianya selari dengan siapa saya sebenarnya. Kepada pembaca yang mengatakan layout blog saya berceramok, sebenarnya saya ni rabun IT, satu penyakit yang lazim bagi orang lama seperti saya. Setakat menaip surat tu bolehlah tapi lebih dari itu, payah sikit. Saya minta tolong anak saudara saya yang sedang belajar di Perlis begakan layout blog saya dan itulah hasilnya. Jika ada kesempatan, saya akan minta dia kemaskan sikit blog ini. TQ sekali lagi.

No comments: