Sunday, 7 February 2010

PERJALANAN TERAKHIR


Saya menerima berita pemergian buat selamanya Datuk Mohd Hazam Abdul Halim, KPP Siasatan II, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman lebih kurang jam 2 pagi waktu Chiangmai, Thailand, 5 February 2010. Terima kasih As (orang pertama yang menghantar berita), Supt Meor, ACP Rohaimi dan tidak lupa Suraya, yang telah bersusah payah untuk menyampaikan berita sedih ini kepada saya. Ribuan maaf saya kepada keluarga Allahyarham kerana tidak dapat bersama-sama menghantar jenayah suami/bapa/anak dalam perjalanan terakhir Allahyarham menemui Penciptanya.

Saya tidak mengenali arwah Datuk Hazam secara dekat dan tidak pernah bekerja dengan beliau untuk mengenalinya secara peribadi. Sepanjang pengenalan singkat saya dengan beliau, saya mengenali arwah sebagai seorang yang tidak lokek dengan senyuman dan sentiasa mempunyai kind words untuk pegawai-pegawai yang ditemuinya. Tidak seperti sesetengah pengarah, timbalan pengarah maupun pegawai kanan polis yang susah sangat nak senyum. Barangkali takut lencana pangkat jatuh ke lantai kalau tersenyum atau bertutur dengan baik. Entahlah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Datuk.

Rasa macam semalam saya baru bertemu Datuk Hazam, tiba-tiba beliau telah tiada, pergi buat selama-lamanya meninggalkan isteri, anak, harta dan kedudukan. Untuk seketika saya terasa insaf betapa fleeting nya hidup ini. Tiba-tiba sahaja kita boleh menghembuskan nafas yang terakhir. Justeru untuk apa kita perlu sombong, bongkak, kasar dan berlagak seperti kitalah segala-galanya walhal dalam sekelip mata sahaja, mereka yang kita perleceh masa hidup, boleh memasukkan mayat kita dalam karung guni dan mencampakkannya ke laut. Saya hanya boleh berdoa agar Allah memberi saya kesedaran bahawa saya juga pada bila-bila masa boleh lenyap dari muka bumi ini. Semoga peristiwa sedih ini memberi saya keinsafan untuk senantiasa senyum dan bersikap baik sesama insan.

Kita sering terlupa untuk berhenti sejenak menghidu harum mawar yang sedang berkembang dalam sibuk kita mengabdi diri kepada pekerjaan. Kita buat tak dengar melodi lagu penenang jiwa dan kita sering tertinggal alunan azan bahawa ada yang lebih utama dari kita. Dalam mengejar kejayaan kerjaya, kita lupa kepada keindahan kehidupan. Apakah kita harus menunggu sehingga saat sakratulmaut sebelum kita bertanya kepada diri sendiri. Adakah apa yang telah aku lakukan selama ini berbaloi?

Jumpa lagi dari Uncle B yang telah sedar bahawa kita bekerja untuk hidup dan bukan hidup untuk bekerja.

1 comment:

Anonymous said...

Dear Uncle B,
I miss cycling with u....

Love,
yr niece in wisma