Wednesday 9 June 2010

SURAT KEPADA UTUSAN MALAYSIA

Isnin 7 Jun 2010 yang lalu, saya menghantar email kepada ruangan FORUM Utusan Malaysia sebagai ulasan kepada komen Ketua Setiausaha Negara yang disiarkan oleh akhbar yang sama pada 1 Jun 2010, bahawa seorang kakitangan awam yang ditugaskan dalam PDRM ekoran arahan pengawaman PDRM boleh melakukakan tugas 3 orang anggota polis.
Saya bukan bertugas di Bahagian Hal Ehwal Awam, PDRM tetapi tunggu punya tunggu, senyap sunyi, tiada response lansung pun dari PDRM ke atas apa yang saya anggap sebagai satu kenyataan yang memperlekehkan pasukan polis oleh KSN. Saya menulis bukan kerana saya hampir bersara dan have got nothing to loose tetapi kerana yakin saya perlu bersuara walaupun jika kerana bersuara saya tidak dibenarkan melanjut perkhidmatan sehingga umur 100 tahun.

Selak-selak akhbar Utusan, sehingga hari ini Rabu 9 Jun, tidak nampak lagi kelibat ulasan balas saya dalam ruangan FORUM Utusan Malaysia. Saya amat berharap kenyataan Insp Zainal bahawa "Utusan tidak akan menyiarkan komentar tuan kerana tuan menyelar secara sinis seorang orang penting negara" tidak menjadi satu kenyataan. Jika ini benar bermakna hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia selagi suara tersebut tidak mengancam keselamatan dan keamanan negara adalah satu lawak besar. Bagi mereka yang ingin tahu ulasan saya terhadap penghinaan KSN ke atas kemampuan warga beruniform PDRM, saya turunkan kandungan email yang saya lantingkan melalui alam maya kepada Utusan Malaysia.

Seorang pemimpin atau pengurus yang berwibawa, berpelajaran tinggi dan berpengalaman tidak akan bertindak atau mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa asas yang kukuh dan mengambil kira implikasi tindakan atau pernyataannya kepada yang mendengar, membaca atau menjadi sasaran tindakan atau kenyataan tersebut.

Justeru, saya percaya bahawa kenyataan Tan Sri Ketua Setiausaha Negara bahawa “seorang kakitangan awam mampu melaksanakan tugas 3 orang anggota polis” seperti disiarkan di mukasurat 17 akhbar Utusan Malaysia 1 Jun 2010, telah dibuat berdasarkan kajian yang menyeluruh dan terperinci oleh pakar-pakar pengurusan negara yang mabrur. Jika belum dilakukan, elok rasanya jika hasil kajian tersebut dapat dipanjangkan kepada pucuk pimpinan PDRM supaya tindakan dapat diambil untuk meningkatkan produktiviti warga beruniform PDRM ke tahap yang sama atau melebihi 3 kali ganda tahap produktiviti kakitangan awam.

Selain daripada kajian produktiviti warga beruniform yang menjalankan tugas pentadbiran di pejabat atau formasi-formasi polis, saya ingin mencadangkan supaya satu kajian juga dibuat terhadap beban tugas, produktiviti dan sokongan logistik, pegawai dan anggota polis yang menjalankan tugas hakiki kepolisan seperti penyiasatan dan pencegahan jenayah.

Jika tidak keterlaluan, memandang seorang KTA mampu menjalankan tugas 3 orang anggota polis, adalah sesuatu yang dapat menjimatkan wang negara, jika tugas-tugas menyiasat dan mencegah jenayah diserahkan sahaja kepada pegawai-pegawai PTD. Bagi warga beruniform PDRM yang menjadi redundant kerana eksesais menyeluruh pengawaman PDRM ini, kami bolehlah diserapkan ke syarikat-syarikat keselamatan swasta. Tindakan ini bukan sahaja akan dapat mengsifarkan kebergantungan sektor perkhidmatan keselamatan swasta kepada tenaga pendatang asing malahan dapat meningkatkan tahap profesionalisma sektor tersebut kerana telah mendapat anggota keselamatan yang sedia terlatih.


InsyaAllah, posting saya seterusnya akan menyusul pada hari sabtu, 12 Jun 2010, salam jangan cakap dari Uncle B, yang telah berusaha tetapi masih tak reti berhenti bercakap yang negatif-negatif.

No comments: