Sunday 7 November 2010

MALAY TOWN KAT MANE?

Kalau saya seorang pelancong dari India dan bertanya kepada budak melayu yang menjadi bellboy di sebuah hotel 5 bintang, di mana saya boleh melihat semuanya yang berkaitan dengan kaum India di Malaysia, pasti saya akan dirujuk kepada Little India, sama ada yang di Kelang atau lebih gah lagi, di Brickfields, yang baharu sahaja dirasmikan oleh Presiden India sendiri.

Jika saya dari Republik Rakyat China pula, lalu bertanya perkara yang sama tetapi semuanya yang berkaitan dengan Cina, tentunya saya akan dihantar ke Petaling Street untuk melawat Chinatown Malaysia.

Bahkan kalau saya seorang pelancong yang sedang bersiar-siar di kawasan Bukit Bintang, besar kemungkinan saya akan menyemak paspot saya untuk mengesahkan yang saya benar-benar telah mendarat di negara yang dahulunya dikenali sebagai Malaya atau Tanah Melayu. Apa tidaknya, toleh ke kiri, nampak Arab Enclave dengan restoran-restoran dan kedai–kedai yang menjual barangan dari Timur Tengah, sana sini akan terlihat papan tanda dalam bahasa Nepal, Arabic, Myanmar dan entah apa-apa bahasa lagi. Wartel atau warung telefon ala di Indonesia, terselit sana sini. Tengok sahaja muka jurujual, tak kiralah yang menjual makanan ke atau barangan lain, itu belum lagi mendengar loghatnya, sah mereka bukan orang tempatan. Itu belum lagi singgah di padang permainan Sarung Parti Girls di Bangsar dengan longgokan orang putihnya. Jadi betullah kata iklan Perbadanan Pelancongan Malaysia, “Malaysia Truly Asia”.

Dalam sibuk-sibuk dan bermegah-megah yang kita dah mencapai taraf bandar kosmopolitan dengan wajah global, saya hampir lupa bertanya kepada bellboy Melayu tadi, “Dik, di sini ada Little India dan Chinatown, di mana pula Malay Town sebab tourist tadi nak tahu segalanya yang berkaitan dengan Melayu?”

Hingga kita dinner bersama di Restoran Al Nafouera, salam Semerluki dari Uncle B, yang tidak tahu apa nak jawab, jika cucu bertanya, “Tok, Tanah tempat kakak berlari-lari ni, siapa yang punya?.” Jangan jadi Pak Pandir, dah lah!. Menang sorak kampong tergadai.
Byeee!

No comments: