Thursday 23 August 2007

Hangat-Hangat Tahi Ayam

Berita muka depan akhbar The Star hari ini buat saya tergelak. Kononnya 5 buah agensi negara iaitu Polis, Immigresen, Puspakom, JPJ dan Jabatan Perlesenan Pengangkutan Awam akan mengambil tindakan bersepadu pantas terhadap pemandu-pemandu, bas-bas dan syarikat-syarikat bas yang telah melakukan kesalahan jalan raya dan melanggar undang-undang negara.

Saya telah terlalu lama jadi rakyat Malaysia untuk mempercayai bahawa ini akan menjadi titik tolak terhapusnya bas terbalik, pemandu, bas dan syarikat bas yang ada berbelas saman jalanraya masih bebas mengangkut penumpang dan lantas membawa mereka yang tak berdosa ke kubur.

Kepada kelima-lima agensi kerajaan yang terlibat kenapa tunggu sampai 22 nyawa terkorban baru nak buat Ops. Bersih dan sampai bila operasi ini akan berlansung. Lepas operasi tamat apa yang kelima-lima agensi nak buat? Saya yakin operasi ini akan jadi macam kempen pilihanraya sahaja. Dekat pilihanraya sibuk wakil rakyat masuk kampong , cat mesjid dan bagi itu ini pada orang kampong. Dah jadi wakil rakyat batang hidung tak nampak.

Saya sebenarnya dah muak membaca cerita-cerita fasal kerajaan atau agensi-agensinya nak buat itu dan ini. Semua tak sampai ke mana. Contoh, dari tahun 80an lagi ada gembar-gembur mengenai projek tebatan banjir di Kuala Lumpur. Hari ini hujan 1 jam tenggelam Lembah Kelang. Subsidi petrol kurang 30 sen, negara jimat RM 4 billion konon untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam tapi apa yang jadi. Bertambah haru biru.

Yang susahnya orang Malaysia ni terlampau "complacent". Biar sahaja apa yang berlaku. Badan Bukan Kerajaan senyap aje. Kenapa tak minta "accountability" dari agensi-agensi yang bertanggung jawab terhadap pengangkutan awam. Di Korea pada tahun 80an, seorang anggota polis mengamuk dan membunuh, Menteri Keselamatan Dalam Negeri letak jawatan, di Cina, keretapi berlanggar, Menteri Pengangkutan letak jawatan. Kita? Cakap-cakap kedai kopi aje.

No comments: