Wednesday 8 September 2010

ELEH! SEKARANG BARU NAK CAKAP

Majoriti akhbar negara pada 7hb September 2010, meletup-letup dengan pendedahan bakal mantan KPN bahawa sepanjang 41 tahun perkhidmatan dalam PDRM, yang paling mengecewakannya ialah campur tangan orang ketiga dalam urusan kepolisan. Media elektronik telah lebih awal menyiarkan berita gempak tetapi tidak menghairankan ini (kerana ianya berlaku di Malaysia) pada malam sebelumnya, 6 September 2010.

Dah menjadi macam satu trend pula nampaknya bagi pucuk pimpinan tertinggi PDRM membuat kenyataan akhbar atau mendedahkan, hanya di saat-saat akhir memegang pangkat dalam pasukan, bahawa mereka sering terbatas atau diganggu-gugat dalam melaksanakan tugas kerana faktor-faktor luaran seperti yang disebutkan oleh bakal mantan KPN. Imbas kembali kenyataan bekas Pengarah JSJ, Dato’ Salleh Mat Som bahawa nisbah pegawai penyiasat berbanding kertas siasatan (KS) adalah terlalu rendah untuk membolehkan siasatan dijalankan dengan teliti, cepat dan berkesan iaitu 1 pegawai penyiasat untuk 15 KS berbanding yang sepatutnya iaitu 1 pegawai penyiasat untuk 5 KS sebulan. Atau kelohan mantan KP KL, Dato’ Syed Rahman bahawa PDRM tidak diberi sokongan logistik yang sewajarnya untuk melaksanakan tugas dengan lebih berkesan. Kenapa dah nak pencen baru nak bersuara?

Mungkin pandangan seorang Inspektor JSJK Bukit Aman mengapa ini berlaku, ada kebenarannya. Barangkali ada kepentingan–kepentingan peribadi yang boleh tergugat dan perlu dilindungi jika terlalu vokal semasa dalam perkhidmatan. Bimbang tentang kemajuan kerjaya agaknya atau gelaran dan tidak mustahil untuk memastikan sentiasa berada dalam good books “pemerintah” selepas bersara. Mana tahu, boleh dilantik jadi ahli Lembaga Pengarah GLC. Tapi ini semua andaian sahaja. Entah tepat entahkan tersasar. Hanya Allah dan empunya badan sahaja yang tahu.

Syukur Alhamdullillah, dalam kapasiti saya sebagai warga kerdil PDRM yang banyak kekurangannya, saya tidak pernah lari daripada menzahirkan apa yang terpendam dalam dada atau menyuarakan pandangan rakan-rakan seperjuangan yang bimbang digam jika bercakap. Isu Tan Sri Jaafar (ketika itu T/KPN) ke pejabat dengan half uniform, yang saya bentangkan semasa mesyuarat agung Persatuan Inspektor, sehingga saya dijemput oleh Urusetia TataTertib Bukit Aman untuk dinasihati supaya menutup mulut di masa-masa akan datang. Hal ketidak boleh percayaan Koperasi Polis untuk dilantik sebagai fund manager pelaburan duit ahli Mes Pegawai Kanan PDRM (MPKPDRM) dalam Mesyuarat Agung Khas MPKPDRM untuk mendapatkan kelulusan ahli, melaburkan duit ahli mes yang ketika itu berjumlah RM 1.5 juta dalam Bursa Saham Malaysia. Mesyuarat Khas ini dipengerusikan oleh Tan Sri Rahim Noor.

Mengambil masa 4 jam bertikam lidah secara sopan dengan T/PJSJ I (ketika itu Dato’ Jamil Johari) untuk menyakinkan beliau bahawa cadangan beliau untuk mengambil tindakan di bawah Ordinan Darurat 5/69 terhadap 2 orang inspektor (sekarang dah Supt dan ACP pun) dan 6 orang APR kerana rasuah adalah bercanggah dengan peruntukkan Ordinan berkenaan. Di akhir 4 jam, saya diarah merujuk kes kepada Senior Federal Counsel KDN yang akhirnya bersetuju dengan rumusan saya. Masih ingat tak saya “menghentam” Tun Haniff dalam akhbar Utusan Malaysia secara terbuka, apabila beliau celupar mengatakan 40% daripada pegawai PDRM kaki rasuah. Saya berani ke depan untuk membela PDRM walaupun PDRM menikus. Banyak lagi boleh cerita tapi bimbang you all kata saya “naik lift, sendiri tekan butang” pulak.

Walaupun sedar “keterlanjuran” saya itu boleh memudaratkan diri sendiri, saya tetap melakukannya kerana arwah datuk mengajar saya, bahawa sebagai seorang pemimpin walau pemimpin kecil sekali pun, saya perlu loyal atau taat setia kepada objektif organisasi saya dan bukan kepada kepentingan diri sendiri atau pemimpin-pemimpin organisasi.

Sebagai perbandingan, apa kata saya bawa tuan-tuan kepada muka depan akhbar The New Straits Times suatu masa dahulu, yang menyiarkan kenyataan Ketua Turus Tentera Udara ketika itu (tidak ingat siapa tetapi selepas Dato’ Sulaiman Sujak) yang masih ada 2-3 tahun untuk berkhidmat bahawa jangan salahkan TUDM jika ruang udara Malaysia dicerobohi oleh musuh kerana Kementerian Kewangan enggan membekalkan Air Defence Radar yang canggih kepada TUDM. Tidak sampai setahun selepas itu, kabinet meluluskan pembelian radar yang dikehendaki. Dan Ketua Turus Tentera Udara tersebut pun bersara apabila cukup masa tanpa diberi kontrak untuk sambung perkhidmatan. Hah! ini baru betul, baru lah gua respek sama lu.

Sehingga jumpa lagi, satu pesanan dari Uncle B, “Lebih baik mencakar semasa masih berkuku daripada mengaum apabila taring dah hilang”.
Ta!Ta!

No comments: