Monday, 6 September 2010

HADIR KERANA IKLAS, HADIR KERANA PAKSA

Habis simpang-perenang perancangan cuti raya pegawai, anggota dan kakitangan awam PDRM kali ini. 8hb Sept 2010 ada mess night di KLCC dan 12hb Sept ada perbarisan. Kedua-duanya kerana tamat kontrak (bukan persaraan) Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara.

Ada dua perayaan keugamaan yang dianggap penting oleh umat Islam Malaysia iaitu sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Lazimnya Aidil Fitri akan diberi keutamaan dan disambut dengan lebih meriah kerana inilah satu-satunya peluang untuk semua ahli keluarga berkumpul dan bermaaf-maafan antara satu sama lain. Bagi warga PDRM, terutama yang kampongnya jauh dari tempat bertugas, mungkin inilah sekali dalam setahun untuk berjumpa dengan orang tua yang masih ada. Cuti raya dah mohon awal-awal lagi sebelum pengumuman mengejut dibuat, KPN tidak disambungkan kontrak. Tup-tup!, ramai warga PDRM yang diarahkan untuk menghadiri majlis/upacara tersebut.

Bagi suami isteri yang pasangan masing-masing berasal dari kampung yang sama atau berdekatan, berhari raya di kampong tidak menjadi masalah. Sekali jalan, sekali belanja, dapat beraya sekaligus di rumah ibu bapa sendiri dan rumah mertua. Bagaimana dengan mereka yang seorang berasal dari Kelantan dan seorang dari Johor. Bukan setakat 2 kali perjalanan dan 2 kali belanja, cuti raya pun kena panjang-panjang. Tidak boleh cuti main-main sehari dua sahaja. Jadi kalau dah hari raya ketiga kena balik KL untuk tunjuk muka dalam majlis-majlis yang saya sebutkan tadi, macam mana cerita? Jawabnya kena 3 kali perjalanan dan 3 kali belanjalah.

Saya tidak berhajat untuk berdebat mengenai patut atau tak patutnya majlis-majlis tersebut diadakan. Tidak ada hasilnya. Cuma terfikir aje. Tak boleh ke tangguh majlis tersebut atau dibuat dalam skala yang lebih kecil sahaja dimana warga PDRM yang kampung mereka di sekitar Lembah Kelang dapat menghadirkan diri. Hairan juga, bagaimana sambutan Hari Kemerdekaan kita yang ke 53 tahun, boleh diadakan dengan skala yang jauh lebih kecil di Stadium Bukit Jalil berbanding jika Hari Merdeka jatuh pada hari biasa.

Berkorban kerana benar-benar tugas, no hal, tapi kalau kerana majlis-majlis yang macam ni, entahlah. Yang susahnya dalam PDRM ini, pengurusan majlis perkhawinan anak bos pun dianggap tugas. Ini bukan masalah kita kena berkorban sekali dalam perkhidmatan, kerana semangat setiakawan atau apa-apa juga alasan yang sewaktu dengannya. Berkorban tidak dapat berhari raya kerana tugas bukan perkara baru bagi warga PDRM kecuali mungkin bagi mereka yang tidak pernah bertugas dalam Pasukan Polis Hutan (sekarang PGA), Trafik, Polis Marin, jadi pegawai penyiasat atau bertugas di balai-balai. Bukan nak ekk tetapi saya sendiri, cuma berhari raya di udara sahaja yang belum, yang lain semua dah dilalui termasuk sembahyang raya di luar negara kerana tugas. So, tolonglah janganlah beri alasan korban-korban ni kerana saya sendiri dah jeran dikorbankan oleh pasukan.

Hingga ketemu lagi, Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir & Bathin yang ikhlas (bukan rutin punya mohon maaf) dari Uncle B, yang dah tak tahan asyik berkorban dan dikorbankan aje.

No comments: