Thursday, 30 September 2010

HASRAT KECUNDANG

Hasrat saya untuk bersara sebagai seorang Ketua Polis Daerah atau Komandan Pusat Latihan Polis tidak kesampaian kerana bahagian perjawatan yang sengau sahaja akan membuat pertukaran terhadap seorang pegawai yang akan bersara pada 1 Februari 2011. Ingin bersara sebagai KPD atau Komandan bukan kerana pangkat yang dikejarkan tetapi jawatannya. Tiada gunanya pangkat besar tetapi tiada kuasa membuat keputusan atau lebih teruk lagi, takut membuat keputusan. Of course, lebih gahlah sikit kalau bersara sebagai Assisten Komisioner Polis atau lebih sombong lagi seperti beberapa orang squad mate yang akan bersara sebagai Komisioner Polis atau Deputi Komisioner Polis dan dengan gelaran Dato’, lagi. Paling koman pun, akan ada 2-3 buah public listed companies yang akan jemput mereka jadi ahli lembaga pengarah syarikat dengan elaun paling sengkek sebanyak RM 3,000 sebulan. Tak perlu pegang senapang patah jaga bank. Hanya hadir mesyuarat lebih kurang 3 hingga 4 kali setahun dan sain apa aje surat yang ditonyoh oleh setiausaha syarikat kepada anda, buta-buta dapat RM 9,000 sebulan. Lainlah superintendent polis pencen macam saya yang terpaksa ke hulu ke hilir minta kerja untuk tambah duit pencen.

Nak jadi OCPD atau Komandan Pusat Latihan tu, bukan apa. Memegang command post ni, kita ada authority untuk melaksanakan impian-impian murni kita untuk memertabatkan PDRM. Budak-budak polis dalam daerah saya akan tersengeh aje 24 jam sehari dan akan memberi salam terlebih dahulu kepada siapa sahaja yang mereka temui sewaktu bertugas. “Tegas Tapi Peramah” akan menjadi moto daerah polis di bawah jagaan saya. Mangsa akan tidak sabar-sabar untuk menemui pegawai dan anggota saya kerana mereka (mangsa) akan menganggap polis sebagai kawan. Dalam masa yang sama, segala taukeh ekor, taukeh jalang dan pegawai polis yang korup akan berpindah ke daerah polis lain untuk cari makan. Yang pastinya, kalau ada majlis-majlis polis di daerah saya, tak berapa galmourlah sikit kerana tiada tajaan.

Kalau jadi komandan pulak, impian saya adalah untuk menyediakan 1 loceng besar di padang kawad pusat latihan, ala American Navy SEALS (komando laut US). Sesiapa sahaja pelatih yang tidak tahan dengan regim latihan saya, akan membunyikan loceng tersebut dan keesokkan harinya, adjutant saya akan menyediakan surat letak jawatan mereka. Sasaran saya ialah 5 perletakkan jawatan sebulan bagi setiap 100 pelatih kerana hanya pegawai dan anggota yang tak hangus dek api, tak basah dek hujan, tidak rebah dilanda taufan, bersemangat “mujur lalu melintang patah” tetapi sentiasa tersenyum, sahaja yang akan dikeluarkan oleh pusat latihan saya. Dalam situasi sekarang, di mana haruan makan anak, anak sembelih bapak, emak buang anak, orang makan orang dan penyangak jadi peguam dan pemimpin negara, rakyat memerlukan satu pasukan polis yang berjiwa kental, bekerja untuk rakyat bukan untuk political mileage sendiri dan takut kepada Allah (bukan manusia) sahaja.

Bukan tak mohon untuk diberi peluang tunjuk taring sebagai KPD atau Komandan Pusat Latihan tetapi besar kemungkinan ada hamba Allah di Bukit Aman yang kesian kat saya. Mereka bimbang agaknya, kalau-kalau saya ditimpa berkoyan-koyan surat tohmahan sehingga tak sempat bersara jika dilantik sebagai KPD atau Komandan..

Sebut pasal bersara ni, Tan Sri Musa dah pun tamat kontraknya sebagai Ketua Polis Negara. PDRM mempunyai KPN dan T/KPN yang baru sementara pada pertengahan bulan Oktober ini, giliran Pengarah Pengurusan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil pula meninggalkan PDRM buat selama-lamanya. Enam bulan pertama 2011 pula, akan melihat ramai lagi muka-muka baru menganggotai barisan 10 orang pemimpin tertinggi PDRM, yang akan menentukan jatuh bangunnya pasukan.

Saya telah ditanya oleh rakan, sahabat dan taulan. Apakah akan ada perubahan pada pasukan dengan adanya muka-muka baru untuk menerajui PDRM? Jawapan saya mudah. Bertambah baik, belum nampak lagi cahayanya di hujung terowong. Yang menakutkan saya ialah possibility pasukan menjadi lebih teruk dari sekarang, bukan sesuatu yang mustahil.

Salam sayang dari Uncle B, yang percaya bahawa membuang anak pokok yang tidak sihat daripada ladang tidak akan menyelesaikan masalah tanaman berpenyakit kecuali ladang itu sendiri yang dibersihkan.

Byeeee!!!!!

No comments: