Thursday, 18 March 2010

AKU MELAYU BUKAN BUMI


Saya melayu tetapi bukan bumiputera. Walaupun mengikut perlembagaan negara saya layak diiktiraf sebagai bumiputera, saya lebih rela tidak dikaitkan dengan terminology tersebut kerana ianya membawa connotations satu bangsa yang lemah dan tidak bermaya. Bangsa yang perlu dipapah dan didukung dari lahir hingga ke lubang kubur. Bangsa yang perlu diberi tongkat untuk ke hulu ke hilir. Tidak cukup dengan itu, kalau hilang tongkat dan nasi tidak dihidangkan di depan mata, akan meraung-raung menyalahkan orang lain kerana diri sendiri tIdak mahu dan malas belajar berjalan.

Begitu hapraknya term bumiputera ini sehingga jika ada pun melayu yang berjaya berkat daya usaha gigihnya sendiri, orang Cina dan India akan mencemoh, konon si melayu tadi berjaya kerana kuota bumiputera. Jika ada pun melayu yang bergeliga otaknya seperti adik bongsu saya yang merupakan antara segelintir manusia di dunia yang diterima menjadi ahli MENSA (kumpulan manusia yang mempunyai IQ luar biasa tinggi), bukan melayu tetap akan berkata, si melayu ini bijak kerana ada kuota bumiputera. Betapa pandai pun melayu berniaga sehingga kaya raya, orang Cina dan India di Malaysia dan Singapura tetap akan berkata kumpulan melayu ini berjaya kerana mereka bumiputera yang dibela oleh kerajaan BN dan bukan kerana mereka (melayu berjaya) sememangnya melayu bistari.

Ini sebabnya mengapa saya malu mengaku bumiputera kerana saya tidak mahu kawan Cina dan India saya berkata bahawa apa jua keistimewaan (kalau ada) yang saya ada, adalah kerana saya bumiputera. Saya mahu mereka tabik spring kepada saya kerana setiap yang saya capai dan perolehi adalah kerana saya melayu, full stop. Bahawa kalau saya bertonggeng dan muka menyembah tanah atau saya berdiri tegak megah bergaya, ianya adalah atas usaha saya sendiri dan bukan ditolong atau disokong oleh UMNO. Jika sikap saya ini anda lihat sebagai sombong, bongkak dan berlagak biarlah saya terus sombong, bongkak dan berlagak.

Status bumiputera dan hak-hak istimewa yang dikhaskan untuk melayu tidak pernah, tidak boleh dan tidak akan memperkasakan jiwa orang melayu. Perkara fisikal mungkin. Ada rumah besar, kereta besar, 2-3 bini yang cun, tokoh koperat itu dan ini serta pelbagai lagi lambang luaran yang kononnya orang melayu dah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan kaum pendatang yang dah dapat kerakyatan malaysia. Gahnya orang melayu sedemikian setakat itu sahaja. Mempunyai jatidiri yang kental jauh sekali. Sepak sahaja tongkat-tongkat yang menyokong simbol kejayaan yang diperoleh atas status bumi, maka jatuh terjelepoklah melayu-melayu ini. Sebaliknya status bumi dan hak-hak istimewa inilah yang telah, sedang dan akan terus menjahanamkan orang melayu. Status dan privileges inilah yang telah melahirkan mediocre malays.

Status bumi dan hak istimewa melayu telah berjaya melahirkan generasi melayu yang tiada semangat juang dalam minda dan jiwa mereka. Melayu yang tidak boleh berdikari dan sepanjang masa memerlukan pertolongan. Melayu yang tidak perlu bekerja keras atau rajin berusaha sendiri kerana kalau gagal sekali pun, kerajaan BN akan bail-out melayu-melayu yang lemah semangat ini atas dasar status bumi dan hak-hak melayu. Amat memalu dan membosankan apabila orang melayu tidak habis-habis mempertahankan status dan hak bumi mereka. In the first place, kalau orang melayu telah sedia gagah perkasa, tiada siapa yang dapat merampas apa yang telah sememangnya menjadi hak melayu turun temurun. Dalam bahasa kurang ajar saya, jangan salahkan Muthu, Ah Chong atau Robert yang menala punggung kita, kalau kita sendiri yang londeh seluar, tanggalkan seluar dalam dan menonggeng.

Bagi pejuang-pejuang melayu yang takut sangat Lim Guan Eng menghapuskan status bumi dan hak-hak melayu di Pulau Pinang, cuba tanya doktor pakar. Apa akan jadi pada anggota tubuh badan kita jika tidak digunakan. Kaki dan tangan akan mengecut. Otak jika tidak mahu dan malas berfikir akan menjadikan pemilik otak tersebut seorang pandir yang tolol. Perhatikan anak burung. Jika dibiarkan, anak burung akan duduk dalam sarang sahaja menunggu emak burung membawa cacing untuk disuapkan ke muncung. Oleh kerana anak burung (walaupun burung malaysia) tidak berhak mendapat status bumi, ibu burong akan tolak anaknya keluar dari sarang dan jatuh ke bumi. Oleh kerana takut berkecai di bumi dan mati, anak burung akan terpaksa belajar mengembang sayap dan terbang. Ini caranya untuk memperkasakan orang melayu, bukan dengan diberi tongkat dan disuap nasi ke mulut dari lahir hingga ke liang lahad.

Bahana status bumi dan hak istimewa, pelajar melayu tak perlu strive for excellence kerana syarat untuk bumi masuk U dilonggarkan. Nak pastikan ramai melayu dapat ijazah, CGPA direndahkan. Sesiapa yang tahu sistem pendidikan di Singapura akan tahu bahawa Raffles Institution (R.I.) adalah sebuah sekolah elite. You can’t apply to continue your secondary education at R.I. Anda mesti lulus Primary School Leaving Examination dengan cemerlang , baru dijemput untuk menyambung pelajaran di R.I. Lee Kuan Yew does not care two hoots jika anda anak Tan Sri ke atau anak menteri kerana R.I. bukan Malay College Kuala Kangsar. Penghujung tahun 1965, Clementi Primary School di Batu 7 Pasir Panjang Road, Singapura telah mengadakan satu majlis khas untuk menyambut satu peristiwa bersejarah untuk sekolah tersebut. Sejak ditubuhkan, ini lah pertama kali seorang penuntut dari sekolah tersebut dipilih untuk melanjutkan pelajaran di R.I. Student population di Clementi Primary School, ramai Cina dari Melayu. Yang terpilih untuk memasuki R.I. ialah seorang budak melayu, bukan budak Cina atau anak India tetapi Baharuddin Bin Idris. Baharuddin Bin Idris - melayu tetapi bukan bumiputera kerana tidak ada status bumiputera di Singapura.

Syarikat melayu tak perlu bertungkus lumus mengembangkan bisnes ke arena antarabangsa kerana kontrak kerajaan untuk melayu (yang kemudian akan mengalibabakan kontrak). Tak perlu takut bengkrap kerana tidak tahu dan tidak mahu mentadbir urus perniagaan dengan efisien. Bengkrap, kerajaan akan tolong.

Syukur Alhamdullillah, dengan izin Allah dan berkat didikan ayah dan motivasi arwah atok, seorang pemberita Utusan Zaman, saya 8 beradik menjadi melayu yang tidak bergantung kepada status bumi untuk hidup dan berjaya. Adik bongsu adalah seorang 4 flat student semasa di US, tersenarai dalam Deans List, seorang ahli MENSA, sekarang Erissons, Head of Computer Engineering di Indonesia, selepas bertugas di Pakistan. Adik No.3 adalah bekas Regional Quality Control Manager di Cargill, sebuah US multinational, sebelum disambar oleh FELDA. Adik No.5 adalah ISO consultant yang mempunyai contract ISO sehingga ke Cina, adik No.7 adalah seorang chartered accountant, yang menjalani internshipnya di Australia kerana enggan diberi keistimewaan bumi jika menjalani internship di Malaysia selepas tamat pengajian di Australia, adik No.2 seorang bekas IT manager (dah bersara) dan adik No.4 seorang ahli perniagaan yang mempunyai 500 orang pekerja dan the only 2 Malaysians (seorang lagi Cina) yang mempunyai ijazah Bachelor in Cleaning Sciences daripada U.K. Bukan nak berlagak tetapi ingin membuktikan orang melayu boleh jadi excellent tanpa hak hak istimewa, status bumiputera, handouts atau menjadi pengemis jika ada jati diri dan semangat juang.

JATUH BANGUN KAMI ADIK BERADIK ADALAH KERANA KAMI MELAYU ....BUKAN KERANA KAMI BUMIPUTERA.

Hingga jumpa lagi, salam dari Uncle B yang tahu bahawa zaman Rasullullah memerintah Madinah dan zaman islam memerintah dunia dahulu, dan dalam Al-Quran juga, tidak pernah wujud status bumiputera, Arabputera atau Islamputera.
Byeee!!!!.

No comments: