Hari – Rabu 24 Mac 2010. Waktu – 6 petang. Tempat – Jalan Travers, dalam kereta, tunggu lampu isyarat bertukar warna. Dalam jem. Bukan strawberry tapi trafik jem. Tiba-tiba terpacul dalam otak saya yang sememangnya suka memikirkan benda-benda yang merapu, tak senonoh dan tidak berfaedah bahawa antara saya, PDRM dan Malaysia Bolehland, ada persamaan. Masing-masing makin beransur tua dan prestasi telah menurun.
Malaysia dah nak masuk 53 tahun. Kira tualah tu. Dah lebih setengah abad. Patutnya lagi mantap tapi....... Suatu masa dahulu, Malaysia berada di tangga teratas di antara negara-negara membangun dari segi perkembangan ekonomi, kewibawaan badan kehakiman, the sanctity of parliament, sukan, pembangunan dan kesepakatan masyarakat berbilang kaum. Hari ini negara sedang bergolek-golek jatuh tangga. Hanya menunggu masa untuk tersenonggeng sahaja. Kita masih terkial-kial hendak menyaingi Indonesia, Vietnam, Filipina dan Thailand dari segi pelaburan asing (FDI). Badan kehakiman kita entah sejauh mana diyakini oleh rakyat sendiri. Parlimen kita macam parlimen Taiwan, cuma belum bergasak dan baling kerusi aje lagi. Sukan jangan ceritalah. Skuad bolasepak wanita Vietnam agaknya mampu belasah kita. Pembangunan dah mula kurang, keruntuhan adalah, macam rumah-rumah tepi bukit yang lurut dan bumbong stadium Terengganu yang terbarai. Perpaduan antara kaum lagi hancus. Cina kata dia orang 2nd class citizen walaupun pegang ¾ ekonomi negara, India kata mereka terpinggir walaupun Ananda Krisnan kaya nak mampos. Melayu kampong juga yang terkulat-kulat terperuk di kampong menunggu gerombolan melayu UMNO cabut keris sambil mempoketkan komisen beli kapalterbang dan projek-projek membazir untuk membela mereka dan mendapatkan kembali hak-hak yang telah digadaikan kepada kaum pendatang.
PDRM dah tua yak amat. 203 tahun. Prestasi, lu agaklah sendiri dan imej kena kutip dari dalam longkang. Kalau dulu Chin Peng gerun juga dengan polis sampai meletakkan senjata, hari ini Mat Rempit dah berani serang kereta preronda dan penjenayah kepong balai polis. PDRM masih lagi menggunakan lambang harimau tetapi bukan lagi harimau hutan yang bebas, garang dan berani. Sekarang dah jadi harimau peliharaan yang tidak bertaring dan makan sayur sahaja. Harimau kedi.
Umur saya sekarang 57 tahun masuk 58. Macam PDRM dan Malaysia, kira dah tua lah tu. Seperti juga PDRM dan Malaysia, prestasi saya juga dah menurun. Kalau dulu 3 kali seminggu sekarang menurun kepada 1 kali seminggu. Kalau dulu panas membara, semua nak cepat, sekarang cool, slow and steady. Syukur ke Hadrat Allah, saya diberi kesihatan yang okey juga tetapi almaklum sahaja lah, sihat-sihat orang lama. Macam kereta lama juga. Engin dan body dijaga dengan baik macam mana pun, pick-up mesti kurang punya tetapi tetap boleh start dan meluncur damai ke destinasi. Untungnya naik kereta lama yang dipandu perlahan ni, adik, kakak boleh menikmati keindahan alam sepanjang perjalanan.
Walaupun serupa, masih ada yang berbeza antara negara, pasukan polis dan saya. Negara dan pasukan polis bersifat everlasting. Bagaimana porak peranda sekali pun negara, Malaysia akan tetap ujud kecualilah Malaysia ditelan bumi atau ditukar nama macam Tanah Melayu jadi Malaysia. Bagaimana sekali pun pasukan polis disumpah oleh masyarakat, PDRM akan tetap ujud. Kecualilah PDRM jadi begitu tidak releven sehingga ianya dibubar dan JPJ mengambil alih tugas Cawangan Trafik, RELA dan JPAM buat tugas KDNKA dan Bank Negara jadi penyiasat kes jenayah komersil sebagaimana Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia ambil-alih tugas Polis Merin, Agensi Dadah Kebangsaan buat kerja Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan PTD mengawamkan Jabatan Logistik.
Saya tidak serupa dengan negara dan pasukan polis. Macam mana pun saya jaga badan dan minda, berbasikal, masuk gym, makan ubat dan makjun, saya tetap manusia. Macam mana gagah perkasa dan penuh tenaga sekali pun apabila lewat usia, apabila tiba masanya, saya tetap akan meninggalkan dunia buat selama-lamanya. Saya transient bukan eternal.
Saya merakamkan semua ini sekadar nak ingatkan pemimpin negara bahawa sebagai manusia, Tun, Dato’ Sri, Tan Sri, Dato’, malahan perdana menteri sekali pun akan mati. Biar apabila mereka menziarah kubur Tun, Dato’ Sri, Tan Sri, Dato’, YB-YB anda akan dikenang sebagai pemimpin yang telah merakyatkan negara dan bukan sebagai penjarah yang telah membengkrapkan negara dan menjadikan rakyat papa kedana.
Sebagai pemimpin-pemimpin tertinggi Pasukan Polis DiRaja Malaysia, apabila Dato’-Dato’ dan tuan-tuan telah meninggalkan dunia fana ini, biarlah setiap kali warga PDRM menyambut Hari Polis, mereka mengingati tuan-tuan sebagai teraju polis yang mengembalikan zaman kegemilangan dan memulihkan imej profesion kepolisan dan bukan sebagai pemimpin yang telah mengadaikan PDRM kepada the highest bidder untuk pangkat, nama dan kedudukan.
Hingga jumpa lagi, salam menyambut 203 tahun PDRM dari Uncle B yang gerenti tak ada warga PDRM akan ingat punya, selepas pencen nanti.
No comments:
Post a Comment