Orang Inggeris ada ungkapan yang cukup cun untuk menjelaskan kejadian-kejadian yang sukar diterima oleh akal orang siuman dan jarang sekali berlaku tetapi tiba-tiba melanda masyarakat dengan kekerapan yang menakutkan. Kata orang putih, “There Is Some Kind Of Madness In The Air”. Apabila ramai yang sepatutnya waras dan duduk dalam negara Islam yang maju seperti Malaysia Bolehland bertindak seperti orang tidak berakal, tiada penjelasan yang boleh diterima kecuali, “Ada Satu Macam Kegilaan Menerawang Di Udara”.
Cucu pancung kepala atuk dan 3 orang ahli keluarga sendiri, buang dan bakar bayi, pukul budak kecil sampai mati dan hubongan sex bukan lagi aktiviti lazim orang dewasa tetapi satu mainan rutin oleh anak gadis sejak tingkatan 1, maka nyata masyarakat telah hilang nilai kemanusiaan. Apabila mereka yang diragui integriti dan kewibawaannya dipilih untuk menjadi wakil rakyat bagi merencana hala tuju kehidupan rakyat jelata dan parlimen telah bertukar menjadi sarkas, maka sahlah kita telah memberi bunga kepada monyet.
Kalau tanya pakar itu dan ini, yang rata-rata menimba ilmu mereka dari barat, pelbagai teori akan dilontarkan mengapa sesuatu masyarakat boleh dihinggapi penyakit sawan babi. Pengaruh televisyenlah, kesan kemajuan sosial dan ekonomilah, kehakisan nilai individulah dan macam-macam lagi. Anehnya tiada satu pun daripada pakar-pakar ini dapat menghasilkan penawar yang dapat menghapuskan lansung penyakit gila babi yang sedang merebak dalam masyarakat kita.
Mana nak sihat, kalau yang diubati hanya manifestasi luaran penyakit bukan penyebab sakit itu sendiri. Persekitaran tempat anda tinggal kotor, banyak virus berterbangan di udara, dalam air, di mana sahaja. Virus singgah di tekak anda, anda kena sakit tekak, apabila anti virus badan melawan virus, badan anda jadi panas. Pergi klinik, doktor bagi panadol untuk hilangkan panas badan dan Dequadin untuk legakan tekak. Malangnya tempat tinggal anda tidak dibersihkan dari virus. Sampai dunia kiamat pun anda akan terus diserang penyakit. Yang diubati, symptoms penyakit bukan punca penyakit iaitu persekitaran yang membawa penyakit.
Cuba perhatikan negara Islam kita. Ceramah ugama banyak, kononnya supaya timbul kesedaran masyarakat. Agar tidak ada yang rasuah, yang penipu, tidak ada perzinaan. Susahnya, selepas dengar khutbah jumaat dan ceramah ugama, kita terpaksa tinggal dalam persekitaran negara Islam Malaysia yang dipenuhi dengan maksiat dan kemugkaran. Pusat hiburan berGRO, kedai judi berlambak, kelab malam macam Zouk merata-rata, hiburan TV dipenuhi dengan program yang menggalak maksiat seperti “Sex & The City”, “Friends” dan lain-lain program hiburan yang menghalalkan perzinaan.
Bolehkah hati jadi suci dan bersih jika tinggal dalam persekitaraan yang dikelilingi syaitan. “Apabila kamu duduk bersama-sama sesuatu kaum selama lebih 40 hari, maka kamu akan menyerupai kaum tersebut”. Anak kita dibesarkan dalam persekitaran dan sistem pentadbiran kafir sejak lahir lagi, bukan setakat 40 hari. Jangan pelik kalau anak gadis kita pakar beromen sejak umur 12 tahun lagi.
Bangunan yang akan roboh tidak akan roboh dengan tiba-tiba. Akan timbul tanda-tanda bahawa ada yang tidak kena dengan bangunan tersebut. Retak halus, kebocoran, dinding yang plasternya mudah lerai, dll. Semuanya sebagai amaran kepada pentadbir rumah agar memperbaiki kerosakkan sebelum terlewat.
Diriwayatkan oleh At-Tarmizi daripada Ali bin Abu Talib r.a, Rasulullah bersabda: “Apabila umatku telah membuat 15 perkara, maka BALA pasti akan turun kepada mereka .... “ Antara perkara-perkara tersebut ialah:-
• Apabila harta negara hanya beredar di kalangan orang tertentu sahaja.
• Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan
• Suami menurut kehendak isteri (dalam perkara bertentangan syariat)
• Anak derhaka terhadap ibu bapanya
• Menjadi ketua sesuatu kaum adalah orang yang paling hina di antara mereka.
• Arak sudah diminum secara berleluasa.
• Para artis-artis disanjung-sanjung.
• Muzik banyak dimainkan/didendangkan.
• Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan
• Suami menurut kehendak isteri (dalam perkara bertentangan syariat)
• Anak derhaka terhadap ibu bapanya
• Menjadi ketua sesuatu kaum adalah orang yang paling hina di antara mereka.
• Arak sudah diminum secara berleluasa.
• Para artis-artis disanjung-sanjung.
• Muzik banyak dimainkan/didendangkan.
"Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi ataupun mereka akan dirubah menjadi makhluk lain” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)
Apakah yang sedang berlaku di Malaysia sekarang? Siapakah yang memegang hampir keseluruhan harta negara? Adakah wakil rakyat (terutama UMNO) menyertai politik sebagai amanah untuk menjaga kesejahteraan rakyat atau untuk mendapat komisen beli kapal selam dan projek lebuhraya? Suami bacul, anak derhaka, jangan sebutlah, berlambak. Cuba lihat pemimpin yang kita ada sekarang, yang antaranya perampas isteri orang, kaki putar belit, putar alam dan katak. Arak boleh didapati di 7 Eleven. Rancangan TV hanya dipenuhi dengan gosip artis, anugerah itu ini untuk artis, Mentor, Akademi Fantasia, Malaysian Idol, tak habis-habis dengan lagu dan hiburan.
Apa kata kalau perkara-perkara aneh yang sedang berlaku di negara Islam Hadhari ini adalah tanda-tanda masyarakat Malaysia akan roboh, punah ranap, hancur berkecai ditimpa bala. Bukankah Rasullullah telah menjanjikan, “maka pada ketika itu ........... mereka akan berubah menjadi makhluk lain”.
Cuba renungkan. Manusia tidak akan tergamak memenggal kepala datok sendiri atau memukul anak yang berumur 3 tahun hingga mati. Kecuali manusia telah dirubah menjadi syaitan kerana hanya syaitan dan iblis sahaja yang tergamak membuat benda-benda mungkar dan enggan menegakkan syariat Islam di bumi Malaysia.
Selamat memikirkan peristiwa tidak masuk akal yang telah, sedang dan akan terus berlaku di Malaysia dari Uncle B, yang masih lagi seorang insan dengan izin Allah jua.
No comments:
Post a Comment