Monday, 19 April 2010

BUKAN POLIS YANG BAGI MAKAN TAPI RAKYAT

Saya sering ditanya oleh bos-bos dan rakan-rakan sepasukan yang sudi membaca KACA MATA KU mengapa saya tergamak mengigit tangan yang memberi saya makan. Gamaknya deme marah kerana teman suka sangat mengkritik PDRM. Untuk mereka yang rajin bertanya sedemikian, jawapan saya mudah, Bukan PDRM yang membayar gaji kita termasuk gaji KPN sendiri tetapi daripada duit cukai pendapatan rakyat yang kebanyakkannya tidak kaya. Kewujudan PDRM selama 203 tahun ini pun kerana rakyat memikirkan yang kita ini ada gunanya lagi. Jangan sampai jadi macam Pasukan Gerakan Marin yang dahulunya meronda Zon Ekonomi Exklusif Malaysia sejauh 200 batu nautika dari pantai tetapi kini mengawal sungai, tasik, parit dan longkang kerana dikuis ke tepi oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia. Itu baru PGM. Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dah lama kena madu dengan Agensi Dadah Kebangsaan dan kalau tak berhati-hati, lambat laun trafik polis pula akan turun status jadi anak tiri.

Tanggungjawab saya kepada rakyat bukan kepada PDRM kerana rakyat yang membayar gaji saya, gaji bos-bos polis dan rakan-rakan sekerja saya yang mengutuk saya kerana tidak tahu berterima kasih kepada pasukan. Rakyat memberi saya makan melalui perkhidmatan saya dalam PDRM untuk memastikan Malaysia sebuah negara yang aman dan damai untuk mereka (rakyat) hidup, cari makan, membesarkan anak-anak dan membayar income tax untuk menyara lebih 1.2 juta kakitangan awam dari perdana menteri kepada konstabel polis.

Lantaran jika ada yang tidak kena dengan PDRM semasa pasukan menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat maka menjadi tanggungjawab kita untuk mendedahkan kudis dan pekong yang sedang dihidapi oleh pasukan. Setiap sistem mesti ada check and balance. An organisation is a system. Jika organisasi dipenuhi oleh yesmen atau pak hangguk, tiada siapa yang akan menegur kepincangan atau kelemahan yang terserlah dalam organisasi kerana nak jaga hati bos. Lama kelamaan, organisasi akan gagal memenuhi matlamat ianya ditubuhkan, menjadi tidak relevan dan akhirnya digantikan dengan organisasi lain yang lebih efektif. Hati-hati geng, PDRM sedang menuju ke hala itu.

Saya akur bahawa pegawai kerdil seperti saya apabila menyuarakan sesuatu yang tidak kena (pada pandangan saya) dengan pasukan, tiada siapa akan mendengar. Ibarat anjing menyalak bukit, anjing hilang suara, bukit takkan roboh. Salakan anjing tidak akan merobohkan bukit. Setuju. Orang gila sahaja yang akan mengatakan sebaliknya. Tetapi salakan anjing bukan untuk merobohkan bukit. Salakan anjing untuk memberi tahu orang kampong bahawa tebing bukit sedang terhakis. Jika dibiarkan akan menyebabkan bukit roboh dan menimbus mati orang kampong yang duduk di bawah bukit. Saya berharap sangat anda faham analogy saya. Jika tidak faham, sememangnya anda tidak boleh diselamatkan lagi.

Kalau tidak ramai pun, pasti ada seorang dua atau tiga empat orang pegawai kanan muda PDRM yang membaca blog saya. Mereka ini ada berpuluh tahun lagi dalam PDRM. Bakal menjadi pemimpin PDRM. Jika ada seorang pun sudi memikirkan dengan serius apa yang saya luahkan dan cuba membetulkan keadaan apabila mereka menjadi ketua polis daerah, timbalan pengarah, pengarah, timbalan KPN dan ketua polis negara, saya telah berjaya. Harapan saya pembaca-pembaca ini akan menjanakan the ripple effect. Syukur jika ini berlaku.

Jika tidak boleh menghalang berlaku kemungkaran dengan perbuatan, lakukanlah dengan perkataan dan jika itu pun tidak boleh , lakukanlah dengan hati (dalam hati). Saya memilih jalan tengah, melalui penulisan.

Salam 1Tanah Melayu dari Uncle B, yang percaya bahawa tiada yang lebih tuli dari orang yang baik pendengaran tapi enggan mendengar, yang lebih buta dari yang celik mata tetapi enggan melihat dan lebih pandir dari orang yang bijak dan bistari tetapi tidak mahu dan tidak tahu berfikir.

Jumpa lagi.

No comments: