Monday, 12 April 2010

KENA KELENTONG LAGI DAN LAGI

KELENTONG Myprocuremet

Jika anda dilahirkan, dibesarkan dan bekerja di Malaysia dan masih memilih untuk percaya janji-janji ketelusan kerajaan melalui gimik 1Malaysia dan portal “Myprocurement” yang telah diumumkan oleh PM, anda perlu mendapatkan rawatan perubatan kadar segera.

Bunyinya memang menawan. Kerajaan tidak akan berahsia dengan rakyat. Melalui portal ”Myprocurement”, rakyat boleh melihat kontrak-kontrak yang telah dikeluarkan oleh kementerian-kementerian dan ajensi kerajaan. Untuk mengelakkan dari terus tertipu, anda perlu ingat bahawa pihak yang dikehendaki mendedahkan sesuatu maklumat, boleh memilih fakta-fakta yang ingin didedahkan dan seterperinci mana pendedahan akan dibuat. Paling mudah, kelaskan semua kontrak sebagai rahsia walaupun sekadar kontrak kantin kementerian sahaja. Manalah tahu kontrak tersebut diberikan kepada sebuah syarikat pro Yahudi. Cuba tanya diri sendiri, mahukan anda dedahkan kelemahan anda kepada awek yang hendak anda pikat atau semasa temuduga pekerjaan?

Jika anda rajin membaca The Edge Financial Daily yang secara kebetulan BUKAN terbitan mana-mana parti pembangkang, anda akan dapati bahawa setakat ini, hanya 16 daripada 26 buah kementerian telah memaparkan senarai kontrak yang telah mereka keluarkan. Itu pun butiran yang dikeluarkan tidak lengkap. Kementerian Pembangunan Luar Bandar misalnya mempunyai bajet RM 2.64 billion untuk bayaran perkhidmatan, pembelian dan aset. Hanya kontrak-kontrak yang bernilai RM 15.3 juta sahaja yang didedahkan. Apa jadi dengan RM 2 billion lagi. Pulang balik kepada rakyat ke? Jabatan Perdana Menteri mempunyai bajet RM 11.2 billion. Cuma 174.8 juta didedahkan kepada rakyat. Bakinya ada masuk poket sesiapa ke? Itu belum lagi masuk perangkaan yang tersilap papar.

Tolonglah jangan beritahu saya bahawa Myprocurement adalah satu permulaan yang baik kepada good governance, bahawa kita harus beri peluang kepada kerajaan yang ada untuk membuktikan niat ikhlas dan suci mereka untuk mengtransformasikan kerajaan. Dah terlalu kerap dan naik bosan saya dengar janji-janji lapok ini. Di Malaysia, semua perkara bermula dengan slogan, pelancaran dan gembar-gembor mengalahkan Presiden Barack Obama tiba-tiba hantar ufti kepada kita kerana kagum dan takut dengan Malaysia yang dah jadi Cemerlang, Gemilang dan Terbilang ekoran slogan Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa jadi PM dulu. Akhirnya yang tinggal, Cemerlang dalam Temberang dan Kecundang.

KELENTONG 1MALAYSIA – RAKYAT DIDAHULUKAN

Kementerian Pelancongan menyokong sepenuhnya hasrat kerajaan negeri Terengganu pimpinan Barisan Nasional untuk menjadikan Pulau Redang sebuah pulau istirehat yang exklusif. Khas untuk golongan elit dalam dan luar negara sahaja. Antara langkah untuk memastikan rakyat kelas bawahan yang rata-ratanya melayu tidak dapat datang ke pulau ini ialah dengan menetapkan bayaran minima USD 500 atau tidak kurang RM 1,600 untuk 1 malam penginapan. Dengan harga bilik macam tu, saya tak fikir seorang Supt polis macam saya mampu untuk bawa keluarga ke sana. Lainlah ada tauke ekor atau kontrakter sponsor. Itu belum masuk lagi tambang bahtera mewah atau penerbangan kelas 1 untuk ke sana dan caviar, kobe atau wagyu beef serta air mineral Perrier yang akan menjadi hidangan di hotel atau chalet bertaraf 6 atau berbintang-bintang di Pulau Redang.

Bermakna apabila rancangan ini menjadi kenyataan, tidak ada peluang lansung untuk rakyat berpendapatan kecil malahan sederhana sekali pun untuk menikmati keindahan alam negara sendiri. Maka jadilah kita pengemis di tempat lahir sendiri. Barangkali di bawah kerajaan pimpinan BN, rakyat yang mengundi mereka jadi wakil rakyat dan menteri hanya sesuai untuk berpiknik di tepi Sungai Gombak sahaja. Tak perlulah saya sebutkan siapa agaknya yang akan buat duit berkodi-kodi apabila Pulau Redang yang dahulunya kita punya jadi Fantasy Island Malaysia milik orang kaya dalam dan luar negara.

Kata Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, dalam program 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian DiUtamakan. Kalau nak tinggal 1 malam di Pulau Redang pun bersamaan dengan sebulan gaji seorang inspektor polis, rakyat didahulukan apa kejadahnya. Inikah yang dinamakan Rakyat Didahulukan?

Semoga anda berminat selepas ini untuk membaca selain daripada Utusan Malaysia, Berita Harian, NST dan The Star, selamat membiarkan diri ditipu bulat-bulat jika itu yang anda inginkan. Jumpa Lagi.

No comments: