Thursday 13 January 2011

PDRM - TAK AKAN BERUBAH PUNYA

Bagi yang menyangka saya dah give up on blogging dan Kaca Mata Ku akan menjadi seperti rancangan-rancangan penambahbaikan PDRM yang setakat tinggal nama atas kertas sahaja, dukacita diumumkan blog Uncle B masih hidup lagi cuma kadang-kadang aje tersangkut kerana hal-hal yang tidak dapat dielakkan.

Setelah hampir 2 tahun, akhirnya pada hujong bulan November 2010 baru selesai urusan jual beli rumah lama saya di Serdang. Biasalah, bila berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan. Kalau nak kerja berjalan lancar dan mengikut piawaian, kena hulur bawah meja. Kalau tidak, ada-ada sahaja alasan. Boss pergi umrah lah. Pegawai yang meluluskan permohonan beranaklah. Macam-macam. Nak harap SPRM hapuskan rasuah – malam sikit. Kalau setakat ikan bilis, hero. Berhadapan dengan jerung, belum lagi ikan paus, tiba-tiba kes jadi rumit, bukti tak cukup dan saksi takut ke hadapan. Macam suruh tikus tangkap naga

Saya beli rumah di Subang Galaxie, Shah Alam. Jadi terpaksalah jual rumah yang dibeli di Serdang semasa ASP dulu untuk tampung kos rumah baru. Tu yang kadang-kadang rasa bodoh sangat tidak mahu ambil peluang yang ada semasa di Cawangan D7. Kalau tidak, bukan setakat sebiji, bahkan berbiji-biji rumah yang saya ada dan boleh duduk rumah goyang kaki makan duit pencen selepas bersara. Ni lah padahnya nak tunjuk baik.

Jadi bila selesai aje urusan jual rumah dan dapat duit, terus uruskan furnishing rumah baru dan pindah rumah. Tu yang tak dapat nak kemaskinikan blog. Jangan marah. Janji. Tahun baru ini saya tidak akan tinggalkan blog saya kesepian terlalu lama. At least 1 posting setiap minggu.

Sempena Tahun Baru 2011 yang baru masuk 13 hari, selain ucapan selamat tahun baru kepada kepada bos-bos dan anak buah-anak buah saya yang masih dalam PDRM, minta-minta dengan adanya KPN, T/KPN, Pengarah-Pengarah dan KP-KP baru i.e. penyapu-penyapu baru untuk memimpin pasukan tahun ini dan tahun-tahun seterusnya, berubahlah hendaknya perangai polis. Janganlah kuasa yang diberi oleh rakyat melalui undang-undang, digunakan untuk mengertak, menakutkan atau kowtim rakyat yang kais pagi makan pagi. Gertak dan takutkan penjenayah tak apa. Ini tidak. Rakyat dijadikan musuh, tauke judi, tauke perempuan dan tauke syarikat bas yang selalu terbalikkan bas, dijadikan kawan.

Persepsi negatif rakyat terhadap PDRM tidak akan hapus dengan adanya sistem Star Rating, KMK, ISO, 5S, 4P, Blue Ocean atau apa kejadahnya lagi sistem yang ada. Saya tidak akan melanggan restoran semata-mata kerana sistem pengurusan dapornya canggih atau makanannya sedap tetapi pekerjanya lahabau dan kelakuan macam musibat. Saya berani gerenti potong punai, kalau syarikat keselamatan boleh terima laporan, buka kertas siasatan jenayah dan rujuk IP kepada DPP, balai polis tentu lenggang dan I.O. goyang kaki.

Sistem baru, canggih macam mana sekali pun, tidak akan membawa sebarang perubahan kepada organisasi kalau tenaga manusia yang mengendalikan sistem tidak berubah sikap dan mentaliti. Perabis beras aje lancar sistem Star Rating, KMK, ISO, 5S, 4P, Blue Ocean, dll. Jangan sibuk dengan sistem, ubah perangai warga PDRM dahulu. Selagi PDRM gagal mengujudkan budaya berbudi bahasa dan budaya kerja yang betul selagi itu PDRM akan dibenci dan ditohmah oleh masyarakat. Jangan lupa. Bagaimana orang akan menghormati kita, jika kita tidak tahu menghormati diri sendiri.

Sebagai permulaan, apa kata KPN keluarkan arahan supaya semua anggota polis, apabila bertembung sahaja dengan orang awam, memberi salam terlebih dahulu. Asal jangan salam 1 Malaysia, sudah. Terutama sekali anggota sentry dan pejabat pertanyaan. Kita ada banyak polis pencen. Bagi dia orang elaun untuk pergi ke balai-balai, menyamar dan pantau untuk memastikan warga PDRM reti budi bahasa. Hantar laporan kepada KPN dan KDN. Cukup 3 laporan negatif, tukarkan pegawai atau anggota yang berkenaan ke Long Pasir, Sarawak sebagai satu amaran. Masih degil lagi, hapuskan sahaja. Banyak lagi graduan menganggur yang berebut-berebut nak jadi mata-mata.

Rasanya setelah 34 tahun berkhidmat dalam PDRM dan dalam pelbagai cawangan kecuali unit udara, saya layak mengaku sebagai telah memahami hati budi PDRM. Oleh itu andainya saya ditanya, “Mampukah PDRM berubah menjadi satu organisasi yang layak disegani dan dihormati oleh rakyat?”, jawapan saya ialah, “3 kali kiamat sekali pun, PDRM tetap tidak akan berubah.”

Byeeee! dan salam cup cup dari Uncle B yang setakat ini belum lagi terkilan tak boleh pakai uniform biru polis lagi.

No comments: