Friday 1 July 2011

BERSIH YANG DIKOTORKAN

Kecoh mecoh mengenai perhimpunan Bersih 2.0. yang dijadualkan pada 9 Julai ini dan tangkap-menangkap sana sini untuk melumpuhkan rancangan tersebut, mengimbau kembali peristiwa Ops Lallang, sekitar tahun 80an dahulu. Bukan itu sahaja, ia juga mengingatkan saya untuk mengajak tuan-tuan dan puan puan untuk menonton semula filem V For Vendetta yang pernah saya komen dalam blog saya ini, setahun dua yang lalu.

Sebagai sorotan kembali, V For Vendetta mengisahkan sebuah futuristic Great Britain yang rakyatnya dimomokkan dengan ancaman keselamatan kepada negara jika rakyat tidak memilih parti yang sedia ada untuk terus memerintah. Walhal tiada apa-apa pun ancaman kepada kesejahteraan rakyat kecuali dari pemerintah sendiri. Dalam perjuangan persendiriannya untuk mengembalikan semula kedaulatan rakyat, seorang insan bertopeng yang menjadi watak utama cerita ini, telah melaksanakan rancangan untuk meletupkan The House of Lords (Parlimen), London ala Guy Fawkes.

Kekerasan, demonstrasi jalanan mahu pun perhimpunan aman tidak akan membawa sebarang perubahan yang bersifat total dan kekal. Awal Jun lalu, saya berada di Bali bersama keluarga. Dalam perjalanan ke Kintamani, saya menyaksikan satu peristiwa, yang dukacita gagal saya rakamkan sebagai bukti. Di sebuah jalan raya yang sibuk dengan kenderaan, kami melihat lebihkurang seratus ekor itik yang terkedek-kedek bergerak dalam satu barisan yang rapi mengikut seorang lelaki yang mengawal itik-itik tersebut. Yang ajaibnya, itik-itik tersebut, tidak seekor pun yang keluar dari garisan kerana masing-masing dengan akur membontoti satu sama lain. Walaupun mengalahkan sekumpulan manusia, yang kalau di Malaysia tidak reti bahasa untuk beratur menunggu giliran kecuali diadakan tali rentang, pagar besi dan disediakan pengawal keselamatan untuk membelasah yang degil, itik-itik tadi tetap sekawan itik. Takkan jadi manusia.

Iktibar dari kisah itik ini ialah kita boleh melatih I00,000 ekor beruk untuk memegang spanduk dan berkumpul di Dataran Merdeka. Waemah apa sekali pun, mereka tetap beruk yang tidak tahu berfikir sehingga diberi ajaran baru oleh pengendali mereka. Diberi kertas undi, beruk-beruk ini boleh diajar untuk memangkah bulan atau bintang atau roket atau Parti Kepala Seladang tetapi tidak akan mengerti implikasi memangkah sesuatu lambang.

Pada saya, cara paling afdal untuk mengundang perubahan dalam senario sosio-politik negara ialah dengan “mengajar” rakyat untuk menggunakan otak untuk berfikir. Diakui bahawa ianya satu proses yang memakan masa dan memerlukan daya tahan dan kesabaran yang tinggi kerana sememangnya bukan satu perkara mudah untuk mendidik manusia bebal. Tetapi hasilnya lumayan kerana setiap kali dihidangkan dengan cerita-ceriti pemerintah, rakyat yang pandai berfikir akan dapat membezakan antara cerita fiksyen dengan cerita benar.

Nasihat saya? Duduk diam-diam kat rumah pada 9 Julai ini. Biarkan apa mereka nak buat, nak tangkap ke, nak sekat jalan ke, nak guna ISA ke, biarkan. Sekurang-kurang dengan melihat kelakuan mereka, kita tahu isi perut kumpulan ini sebenarnya. Seperti kata arwah atuk saya. Jika ingin tahu hati budi seseorang itu, letakkan mereka dalam keadaan yang mencabar dan stressful kerana tanpa disedari perangai asal mereka akan terserlah. Ambil seseorang lelaki yang tak tinggal sembahyang, nampak warak, yang semua orang kata macam malaikat perangainya. Letakkan insan ini dalam satu keadaan di mana dia hanya berdua-duaan dengan seorang wanita yang seksi, mengiur dan merelakan. Kita tengok apa jadi.

Hingga jumpa lagi, Salam Semerluki dari Uncle B, yang tak reti berdemonstrasi tetapi bijak memangkah.

Byeee!!!.

No comments: