Thursday 7 April 2011

MACC ADA HANTU

Teoh Beng Hock pergi ke pejabat MACC sebagai saksi, ditinggalkan berseorangan dalam bilik MACC, bedebab jatuh mati dari tingkat 5, pejabat MACC Selangor di Plaza Massalam. Penolong Pengarah Kastam Selangor pergi ke pejabat MACC di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, ditinggalkan berseorangan dalam bilik MACC, bedebab jatuh mati dari tingkat 3, pejabat MACC di Jalan Cochrane Kuala Lumpur. Kebetulan atau pejabat MACC ada hantu?

Amalan orang tua saya, apabila masuk ke sesuatu premis yang telah lama ditinggalkan kosong, akan baca surah Yassin dulu, jampi serapah apa yang patut, baru menghuni premis tersebut. Kata datuk nenek saya, bangunan yang ditinggalkan kosong terlalu lama, akan dihuni oleh makhluk halus, sama ada yang jenis baik atau jahat.

Satu lagi amalan keturunan saya ialah, apabila balik ke rumah daripada perjalanan dekat atau jauh, tidak akan terus masuk ke rumah, terutama kalau ada anak-anak kecil dalam rumah. Tunggu dulu depan pintu rumah, barang seminit dua, baca ayat Quran, apa yang patut, kemudian baru buka pintu. Alasannya, supaya apa juga jin atau jembalang yang mengikut kita balik, tidak akan masuk bersama kita ke dalam rumah dan menyakat ahli-ahli keluarga yang ada.

Hantu senario pertama, saya panggil Hantu Peninggalan (bukan penanggalan – penanggalan tu hantu yang terbang dengan tali perut terburai). Ini hantu yang dah sedia menunggu dalam sesuatu premis untuk menggangu penguni yang baru masuk. Hantu senario kedua, saya gelar Hantu Pendatang, sebab dia datang bersama orang yang baru masuk ke sesuatu premis. Niat hantu-hantu ini, tidak kira Hantu Peninggalan atau Hantu Pendatang, tetap sama, iaitu untuk usik orang.

Berbalik kepada cerita 2 orang saksi yang masing-masing masuk ke pejabat MACC tetapi di pejabat MACC yang berlainan dan pada tempoh waktu yang berbeza tetapi dalam setiap kes, ditinggalkan berseorangan. Tup-tup! mereka didapati menjatuhkan diri dari tingkat tinggi bangunan MACC sehingga mati.

Saya tak fikir kes jatuh-jatuh ni, angkara bebudak atau bapak budak MACC sebab mereka yang menganggotai MACC adalah insan terpilih, the best among the best, berintegriti paling tinggi dan telah diberi latihan yang intensif, luas dan secukupnya, supaya tidak menyeksa saksi.

Jadi, sama ada saksi saksi yang jatuh ini tidak berjiwa kental, tidak tahan cobaan, kurang iman hingga sanggup bunuh diri atau mereka dirasuk oleh makhluk halus yang jahat sehingga sanggup menghumban diri ke tanah dari tempat tinggi. Jangan gelak. Ini bukan teori merapu. Son Of Sam, seorang pembunuh bersiri Amerika Syarikat pada tahun 70an dulu, apabila disoal oleh polis, mengatakan ada suara halus yang berbisik ke telinganya supaya melakukan pembunuhan. Tu, makhluk halus jahat punya kerjalah tu.

Saya bimbang, dalam pejabat-pejabat MACC ini ada Hantu Peninggalan atau Hantu Pendatang yang duduk sebangunan dengan pegawai MACC. Jadi, bila saksi ditinggalkan berseorangan oleh pegawai penyiasat MACC, hantu-hantu ini akan menyeru saksi tadi untuk terjun bangunan atau teruk lagi, hantu tu akan menjelma depan saksi dan oleh kerana terlampau takut dan terkejut, saksi akan terjun tingkap untuk melarikan diri dari hantu tadi.

Saya tidaklah pandai sangat tetapi ingin memberi beberapa cadangan kepada pihak berwajib untuk menghapuskan gejala tidak sihat i.e. terjun dari bangunan MACC ini iaitu:-

1. Sebelum masuk sesuatu pejabat baru, MACC hendaklah panggil bomoh Melayu, Cina dan India (1Malaysia kan!) untuk halau hantu-hantu yang sedia ada atau yang berdamping dengan warga MACC.

2. Pejabat MACC dilengkapkan dengan alat pengesan hantu. Contact Discovery Channel untuk bantuan membeli peralatan tersebut.

3. Semua bilik dalam premis MACC, termasuk tandas, dipasang grill kalis gerjaji supaya saksi tak boleh potong besi dan terjun.

4. Yang paling afdal sekali, semua pejabat MACC tidak boleh lebih tinggi dari 1 tingkat sahaja. Jadi kalau ada saksi yang nak terjun tingkap, setakat benjol-benjol dan luka ringan sahaja.

Sekian, wassallam dari Uncle B, yang percaya bahawa adalah lebeh menggumbirakan, jika hantu jadi orang daripada orang jadi hantu. He! He! He! He!

Byeee!!

1 comment:

Dang Mewangi said...

Salam, hahahah, good articel uncle, mmg ada maksud yang mendalam, lawak pun ada, bleh post kat sinar harian neh!!!!..