Thursday 5 February 2009

CERITA HARI LAHIR DAN KATAK


CERITA HARI JADI

Sehingga hari ini, 5 February 2009, aku dah jadi kuli PDRM selama 31 tahun 7 bulan. 6 tahun dalam Cawangan Khas. 4 tahun dalam Cawangan Polis Marin, diikuti 10 tahun dalam Cawangan Pencegah Kongsi Gelap, Maksiat & Perjudian.

Oleh kerana bodoh macam lembu, tak ambil kesempatan kumpul harta, aku kemudian bertugas sebagai Pemerhati Bangsa-Bangsa Bersatu di Angola, Africa dari November 1997 hingga Disember 1998. Balik dari sana, ditukarkan ke Bahagian Naziran, Jabatan Siasatan Jenayah sebelum dinaikkan pangkat ke DSP dalam Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, JSJ, pada Januari 2001.

Awal 2005, sebab hero sangat, aku kena terajang ke Maktab Polis Kuala Lumpur di Cheras, Selangor. April 2007, dihumban balik ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (dulu BSJP). Sebagai sagu hati, aku diberi pangkat Supt tetapi status tetap kuli batak.

Sepanjang tempoh berkuli itu, tidak ada satu jabatan, cawangan atau unit yang sudi nak buat sambutan hari jadi aku. Bukanlah aku kemaruk sangat nak dijulang-julang tapi aku ni sebenarnya sentimental..

Hinggalah pada waktu makan tengahhari, 3 Februari 2009, yang lalu. Kawan-kawan dari unit lama aku, Bahagian Anti Pengubahan Wang Haram, JSJK, pakat ramai-ramai, adakan surprise birthday party ke 56 untuk aku. Ada hadiah lagi. Sayu dan hiba juga hati.

Aku percaya yang menganjurkan sambutan ini adalah anak-anak buah aku. Itulah polis. Hari jadi big boss siap potong kek. Hari jadi macai macam aku, berlalu ibarat kapal di tengah malam aje. Tiada siapa yang nampak. Nasib baik ada anak-anak buah yang masih sayang (agaknya lah) kat aku.

Kepada anak-anak buah dan kawan-kawan yang bersusah payah mengaturkan sambutan tersebut, hanya terima kasih yang dapat ku beri. Kalau sudi ambil lah. Aku tak minta balasan apa-apa. Sekali lagi, terima kasih.

CERITA KATAK
Cerita fasal hari jadi, tidak disangka pula, sudah tua begini baru aku benar-benar yakin yang manusia boleh jadi binatang. Masa kecil-kecil dahulu, aku fikir cerita dongeng sahaja, apabila putera raja boleh bertukar jadi katak apabila disumpah oleh nenek kebayan.

Hari ini, 5 Februari 2009, akhbar-akhbar tempatan penuh dengan cerita 4 orang manusia bertukar jadi katak. Seekor jadi katak Cina dan 3 ekor lagi jadi katak Melayu. Yang 3 ekor katak Melayu ni, aku tak tahu pula apa agama dia orang. Setahu aku, binatang tidak ada agama. Semasa 3 ekor katak Melayu ini masih manusia, agama dia orang Islam tetapi tidak pasti pula, Islam tulen atau Islam Slam. Barangkali Islam Slam agaknya, sebab itu mudah bertukar jadi katak. Cerita manusia bertukar jadi binatang ini berlaku di negeri Perak.

Antara 4 ekor katak ini, yang seekor itu betul-betul hamlau punya katak. Mula-mula bertukar jadi katak, lompat masuk kolam PR. Agaknya kolam PR kurang habuan sebab tidak membangun, dia lompat balik ke dalam kolam BN tetapi sebelum itu, katak (yang dulu manusia) ini bertukar sekali lagi. Kali ini jadi katak puru. Kata opah cucu aku, katak puru dipanggil toads dalam bahasa orang Teluk Anson.

Dia kena bertukar dulu jadi katak puru kerana katak puru sahaja yang boleh hidup dalam kolam BN. Semua katak yang ada dalam kolam BN adalah katak spesis puru. Kata saintis, katak puru ni atau toads, beracun. Bahaya. Boleh menjahanamkan manusia di sekelilingnya.

Kadang-kadang bila aku fikir masak-masak (sampai well done macam sizzling black pepper steak), binatang lebih baik dari manusia. Binatang tak boleh bertukar jadi manusia. Dia lahir, hidup dan akan mati sebagai binatang.

Sedihnya, manusia, Dia lahir sebagai manusia. Semasa hidup, pada bila-bila masa, boleh bertukar jadi katak. Lompat sana, lompat sini. Tidak perlu kena sumpah dengan bomoh Siam. Akhirnya akan mati sebagai binatang. Kesian.

Satu soalan. Binatang yang asalnya manusia boleh bertaubat ke?

Sekian dari saya yang masih manusia. Bye.

No comments: