Thursday 3 March 2011

KAIN KAPAN KALIS API

Seorang pembaca yang menamakan dirinya Fazli, memberitahu saya melalui ruangan Sembang Kemas, blog Kaca Mata Ku, bahawa beliau akan memulakan latihan asas kepolisannya pada bulan Mac ini. Telah terlambat bagi saya menyakinkan Fazli untuk tidak memilih PDRM sebagai satu profession. Apa pun, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Fazli sebagai seorang pegawai polis.

Dalam masa yang sama, Nizam, seorang eksekutif di tempat kerja baru saya, telah memilih untuk meninggalkan tugasan yang telah dilakukannya sejak sekian lama untuk menyertai SPAD atau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, sebuah ajensi kerajaan yang mempunyai elemen penguatkuasaan undang-undang ke atas semua bentuk pengangkutan awam di Malaysia. Bukan tempatnya untuk saya menyoal kenapa dah ada JPJ, mesti ada SPAD pula kerana kerja bertindih dan bertindan bukan perkara baru dan asing kepada pengurusan negara.

Kalau tidak, masakan kita ada lebih 30 kementerian dalam sebuah negara yang mempunyai 27 juta penduduk berbanding 17 kementerian di India yang populationnya boleh kencingkan Malaysia hingga banjir. Bagi conspiracy theorist seperti saya, hanya satu lubang yang saya nampak. Lebih banyak badan penguatkuasa undang-undang ditubuhkan, lebih banyak peluang dibuka untuk rasuah merasuah. Timbunan wang rasuah yang diperolehi akan membolehkan orang berbelanja sakan tanpa mengira hari tua dan ini secara lansung akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. Apa kata para ekonomist. Ada betulkah cakap saya ini.

Kepada Fazli dan Nizam hanya satu nasihat yang akan saya sampaikan kepada anda berdua. Kuasa yang diberi kepada anda sebagai pegawai polis dan pegawai SPAD adalah untuk menjaga dan menjamin kesejahteraan rakyat, bukan untuk kepentingan diri dan poket sendiri. Perkiraan saya mudah. Kemalangan jalanraya berlaku kerana kegagalan menguatkuasakan undang-undang yang ada, kerana pegawai penguatkuasa telah dibeli. Tak kiralah sama ada Trafik PDRM, JPJ, SPAD atau PUSPAKOM yang telah dibeli. Accident berlaku kerana pemandu tak takut bawa laju-laju atau syarikat bas tak takut gunakan bas yang tidak roadworthy kerana semua badan menguatkuasa telah disogok. Begitu juga dengan PDRM. Jenayah meningkat terutama jenayah bersindikit seperti judi, pelacuran, DVD cetak rompak, dadah, dll kerana warga PDRM (bukan majoriti ah!) boleh tutup mata sebelah kerana poket dah berat sebelah.

Terpulang kepada anda berdua, Fazli dan Nizam, bagaimana untuk memenafaatkan jawatan yang telah anda sandang. Sama ada anda memenafaatkannya untuk kesejahteraan rakyat atau memenafaatkannya untuk kesejahteraan diri sendiri. Tepuk dada tanya nafsu.

Tapi ingat, tiada apa yang akan berlaku, jika Allah tidak mengizinkan. Bermakna Allah telah menggerakkan hati lembaga pemilih PDRM dan SPAD untuk melantik anda sebagai seorang penguatkuasa dan bukan manusia. Anda akan ditanya di akhirat nanti, apa yang telah dibuat dengan kuasa besar yang telah diberi kepada anda. So, apabila anda menadah tangan untuk terima wang tak betul, cuba bayangkan api yang menyala-nyala sedang membakar badan anda.

Akhir kata dari Uncle B kepada semua penguatkuasa undang-undang di negara serba boleh ini, termasuk bebudak MACC dan pakcik makcik di Kabinet, wasiatkanlah supaya anda dikafankan dengan kain putih yang kalis api, jika anda bercita-cita untuk jadi kaya dengan kuasa yang anda ada.

Byeee!!!!!

No comments: