Sunday 29 March 2009

ROH YANG HILANG


Menjadi seorang pegawai polis bukan pilihan kerjaya aku yang pertama. Sekolah rendah dulu, berangan nak jadi seorang profesional. Ketika itu, aku melihat seorang profesional sebagai individu yang memiliki ijazah dan mengunakan kepakarannya, untuk melakukan sesuatu kerja, bukan menggunakan tulang empat kerat. Tak kisahlah kerja apa, asalkan seorang profesional. Ada juga berangan nak jadi peguam. Tak sangka pulak, hari ini jadi loyar buruk.

Lepas sekolah pada tahun 1969, jadi kuli kang sekejap (lama juga jadi kuli di tapak binaan dan beberapa buah kilang di Jurong, Singapura). Kemudian menyertai Angkatan Tentera Malaysia sebagai seorang pegawai tauliah jangka pendek tentera darat, bermula 10 Jun 1971. Tamat tauliah pada April 1975, bekerja selama 2 tahun di sektor swasta sebelum menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia sebagai seorang Inspektor percubaan, pada 3 Julai 1977.

Ini bukan kenangan lama, sekadar mencari yang hilang dalam jiwa sebagai seorang pegawai polis.

Betul, PDRM bukan satu pilihan kerjaya tetapi perhubongan aku dengan PDRM seakan-akan perkahwinan orang zaman dulu. Nikah dulu baru bercinta. Mungkin sebab itu, perkahwinan emak abah aku bertahan selama 53 tahun dari tahun 1952 sehingga tahun 2003, apabila abah meninggal dunia pada umur 76 tahun. Tak macam budak-budak hari ini. Bercinta bagai nak rak, sampai cakap mak ayah tak dengar lagi dah. Bahkan sanggup ikut mat indon sampai ke Lombok. Tetapi tengok apa jadi. Belum pun sempat payu dara isteri londeh dan perut suami boroi, rumah-tangga dah berkecai. Cinta konon!

Aku dengan polis, pun macam tu. Bersama dulu, baru komited kepada ideologi pasukan. Sehinggalah Januari 2005 apabila aku diteranjang ke Maktab PDRM, Cheras. Sedikit demi sedikit, cinta aku yang dulu jitu kepada PDRM, mula terlerai dan hari ini, jika tidak kerana tiket TOTO aku tidak pernah kena jackpot, dah lama aku bercerai talak tiga dengan PDRM.

Daripada seorang yang percaya penuh kepada idealisma penubuhan PDRM, yang sanggup mengenepikan keperluan keluarga kerana tugas demi negara, hari ini aku seorang yang amat berkira dengan PDRM. Pendek cerita, I am a very disillusioned police officer. Kenapa jadi begini?

Tidak perlu aku menjawab soalan ini kerana anda sendiri boleh melihat apa yang berlaku pada PDRM hari ini. Daripada sebuah pasukan penguatkuasa undang-undang yang disegani dan dihormati, telah bertukar menjadi sebuah organisasi yang diperlekeh sahaja oleh rakyat dan dijadikan alat oleh pihak tertentu.

Aku seorang peminat filem, especially filem-filem lama. Masa satu negara sibuk mengikuti perkembangan perhimpunan agung umno (saje gunakan huruf kecil) minggu lepas, aku tidak memunahkan masa menonton sarkas tersebut, sebaliknya aku menonton sebuah filem 40an, “THEY DIE WITH THEIR BOOTS ON” mengenai General George Custer. Kalau tak tahu siapa General Custer, merangkaklah keluar daripada bawah tempurong anda.

Saya tertarik dengan satu scene di mana Errol Flynn yang melakonkan watak Custer memberitahu pegawai-pegawai batalionnya:-


“We’re responsible for the protection of 100,00 square miles of territory. And aginst us are ranged thousands of the finest light cavalry on earth. I found that out this morning. It’s a big job gentlemen.

And it will need a fine regiment. Our job is to make this the finest regiment that the United States ever saw. I needn’t tell most of you that a regiment is more than just 600 disciplined soldiers.

Men die but a regiment lives on. Because a regiment has an immortal soul of it’s own. Well, the way to begin is to find it, to find something that belongs to us alone. Something to give us that pride in ourselves, that will make men endure and if necessary, die, with their boots on”

Saya tertarik dengan scene ini kerana mungkin, di sinilah jawapan kepada persoalan, apa yang telah hilang dalam PDRM, sehingga aku (dan aku percaya bukan aku seorang) menjadi disillusioned.

Bagi mereka yang tak sempat belajar maths dan sains dalam bahasa inggeris, aku terjemahkan dailog tadi dalam bahasa melayu dan dalam konteks PDRM.

TERJEMAHAN

”Kita bertanggong jawab kepada negara dan 26 juta orang rakyat Malaysia. Menentang kita adalah penjenayah, ahli-ahli politik, peguam, pejuang hak asasi manusia, NGOs dan segala macam manusia yang ada agenda sendiri yang tersembunyi terhadap kita. Ianya satu tugas dan tanggungjawab yang besar, tuan-tuan.

Dan ianya memerlukan satu pasukan polis yang terbilang. Tanggungjawab kita, adalah untuk membina satu pasukan polis yang terbilang yang pernah dilihat oleh negara ini.

Tidak perlu saya beritahu tuan-tuan bahawa pasukan kita bukan sekadar 100.000 pegawai polis yang berdisiplin.

Pegawai polis akan bersara dan mati tetapi pasukan polis akan terus hidup. Kerana pasukan mempunyai rohnya tersendiri yang tidak pernah padam.

Cara kita membina sebuah pasukan yang terbilang, adalah dengan mencarinya. Mencari sesuatu yang hanya kita sahaja memilikinya. Sesuatu yang dapat membangkitkan kebanggaan dalam diri kita. Yang akan membulatkan jati diri kita, yang akan membuat kita bertahan menghadapi sebarang dugaan, dan jika perlu mati kerana mempertahankan Sang Saka Biru kita”.

Kepada pembaca yang dari PDRM, saya minta anda membaca dailog di atas atau terjemahannya berulang kali. Mungkin di celah-selah ayat yang berselirat, akan terjawab semuanya.

Selamat bertugas kerana cari makan dari:-
Uncle B

No comments: