Wednesday 16 September 2009

Eidil Fitri 2009

Tiga hari lagi 1 Syawal menjelma pada 20 Sept 2009, tak kira nampak atau tidak, anak bulan. Umum mengetahui bahawa penetapan Eidil Fitri adalah melalui rukyah. Kalau dah ditetapkan melalui rukyah mengapa mesti tinjau anak bulan. Ada pendapat yang mengatakan untuk syarat sahaja kerana Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh umat Islam menentukan awal Ramadan dan Syawal dengan melihat anak bulan. Jika langit berawan (cloudy), genapkan 30 hari berpuasa.

Firasat Uncle B, ini adalah cermin kepada ideology kepimpinan negara dewasa ini. Kita buat apa yang perlu dilakukan tetapi untuk ambil syarat sahaja. Contoh terbaik, Suruhanjaya DiRaja Kes Linggam, hubalu-hubala, Si Linggam dengan rakan-rakan seperjuangannya, masih macam tu juga. Tiada sebarang tindakan susulan diambil. Entah-entah masih menjadi pengamal undang-undang lagi. Tidak lama lagi akan berlaku satu lagi kes buat kerja ikut syarat aje. Kes PKFZ yang menelan RM 12 billion duit rakyat. Entah berapa banyak task force yang dah ditubuhkan. Price Cooper Waterhouse dah buat investigative audit, ada Public Accounts Committee, ada special task force siasat PKZF, SPRM siasat dan polis pun siasat. Laporan PAC telah pun dimajukan ke cabinet. Gerenti punya, cabinet akan bising-bising sekejap, lepas itu senyap dan rakyat akan lupa duit mereka dah lesap. Orang kita mudah lupa. Yang pandai mereka, yang bahlol, kita.

Kita akan menyambut Eidil Fitri 1430 pada 20 September ini. Semoga kita menyambut hari tersebut sebagai tanda kemenangan melawan hawa nafsu dan bukan sebagai peluang untuk tayang pakaian, langsir, furniture, dll, yang baru. Jangan sampai ada yang berkata tidak sempurna hari raya kalau tiada benda-benda baru. Yang Uncle B belum dengar lagi dan ingin sangat mendengar ialah ada suami yang beristeri baru untuk menyambut Eidil Fitri.

Sebut fasal menyambut kedatangan 1 Shawal ini, Uncle teringat masa kecil-kecil dahulu. Barangkali udah tabiat orang tua agaknya, asyik nostalgia. Masa itu Hari Raya cukup meriah. Kami akan keluar dalam satu kumpulan yang agak besar sehingga 15 orang dan pergi dari rumah ke rumah. Betul, terselit juga niat nak dapat 10 sen atau 20 sen setiap kunjungan tetapi kami hanya menziarah rumah pak cik-pak cik yang kami kenal sahaja, yang ada kemungkinan kami buat dosa terhadap mereka pada tahun hijrah yang lalu.

Berbeza dengan anak-anak hari ini yang sanggup bertandang dari satu kawasan perumahan ke satu kawasan perumahan yang lain semata-mata untuk collect ang-pow dari pak cik dan mak cik yang mereka tidak kenal lansong bahkan belum pernah bersua muka sebelum ini. Adakah ini budaya Islam menyambut Eidil Fitri dan siapa agaknya yang mengajar anak-anak kita bahawa ini adalah budaya kita.

Pada pagi raya, siapa antara kita yang masih ingat amalan bertukar-tukar hidangan pagi raya antara jiran tetangga atau selepas sembahyang raya, kaum bapa secara berkumpulan menziarah rumah/keluarga sesama sendiri sebelum balik ke rumah masing-masing dan meneruskan menziarah ahli-ahli keluarga yang lebih tua pula untuk memohon ampun dan maaf. Hari ini kebanyakkan dari kita hanya terperesuk menghadap TV dari pagi hingga malam. Menziarah pula kena tunggu rumah terbuka. Itu sebab Uncle bengang bila ada rakan-rakan atau anak buah yang bertanya, bila nak buat rumah terbuka. Jawapan Uncle, dulu, kini dan akan datang, tetap sama, rumah Uncle sentiasa terbuka.

Dua tiga hari menjelang Shawal, arwah abah akan membawa kami balik ke kampong di Segamat, Johor untuk bersama arwah atuk dan nenek. Seronok apabila dapat berkumpul bersama-sama sepupu-sepupu yang lain. Tolong atuk anyam ketupat, isi beras pulut dalam buluh buat lemang, bakar lemang dan yang selebihnya buat kecah. Kami seronok tengok arwah nenek, terjerit-jerit marahkan kita orang. Tidak ketinggalan kami buat meriam buluh, pakai karbait, lawan tembak-tembak dengan budak-budak kampong sebelah. Seingat Uncle, tak ada pula antara kami yang putus jari. Time dulu-dulu, main mercun dan bunga api adalah satu kemestian sebelum mercun diharamkan kerana beberapa ekor beruk punya pasal yang tak tahu langkah-langkah keselamatan main mercun. Kami sambung mercun besar antara satu papan dengan satu papan, panjat pokok, gantung pada dahan yang tinggi dan kemudian conoh sumbunya dengan colok. Dasyat Yob, sehingga 2 minit berdentum-dentam, bergantong kepada berapa papan mercun yang kami sambung.

Uncle tak tahulah sama ada anda setuju dengan uncle atau tidak. Rasanya semenjak dua tiga menjak ini, sambutan Hari Raya Eidil Fitri dah hambar dan tawar sahaja. Dulu persediaannya ala kadar tetapi dibuat secara beramai-ramai satu keluarga, abah cari kayu api, emak dan nenek isi buluh lemang, yang lelaki rebus ketupat dan masak lemang. Ada gotong royong, ada peluang merapatkan siratulrahim antara adik-beradik dan ahli-ahli keluarga jauh dan dekat. Dapat kenal sepupu sepapat, Pak Lang, Pak Ngah, Pak Busu. Sekarang, macam mana nak rasa camaraderie menyediakan hidangan pagi raya kalau ketupat dalam plastik, rendang dan lemang beli yang dah ready made.

Pagi raya tunggu semua ahli keluarga ada, baru menjamah hidangan. Tidak seperti hari ini, makan pagi raya ikut siapa yang sampai dulu ke kampong. Macam mana semua ahli keluarga nak berkumpul kalau ada anak yang dah jadi tokoh koperat baru sampai dari London atau ada anak lelaki yang bukan tokoh apa-apa pun tapi takut bini lalu beraya kat kampong isteri aje setiap tahun (petang baru sampai kampong sendiri).

Ringkasnya, sambutan Hari Raya Eidil Fitri akhir zaman ini dah hilang oommphhnya! Bukan lagi seperti menyambut kemenangan besar berjuang melawan nafsu sepanjang bulan Ramadhan tetapi hanya sebagai menandakan tamatnya bangun sebelum subuh untuk sahur dan bermula masa boleh pekena roti canai di pejabat setiap pagi. Bukan lagi seperti pemberontak Angola menyambut kemenangan berjuang bermati-matian melenyapkan askar kerajaan tetapi sebagai askar kerajaan menembak mati banduan di penjara sahaja.

Hingga sembang lagi lepas raya, Selamat Hari Raya Eidil Fitri, Maaf Zahir & Bathin dari Uncle B yang akan berhari raya di Segamat, Johor, tahun ini (ikut giliran Yob, adil)

1 comment:

Anonymous said...

Tuan, salam aidilfitri.. Selamat Menyambut Ketibaan Syawal, maaf zahir dan batin, (zahir untuk kutuk depan2 dan mengumpat yang tuan tak tahu, batin untuk kutuk dalam hati.. hehe). Selamat pulang ke Segamat dan semoga selamat pergi dan selamat pulang.