Wednesday 30 September 2009

1Malaysia

Dalam sebuah negara yang Perlembagaannya menjamin kebebasan bersuara, aneh sekali apabila sebagai penguatkuasa undang-undang, aku merasa gementar untuk bersuara. Oleh kerana bekerja dengan kerajaanlah, maka aku jadi takut kerana aku tahu apa yang kerajaan boleh buat. Keanehan yang dirasai bertambah menjadi pelik apabila aku mengetahui bahawa agama rasmi negara ini adalah Islam, pemimpin utamanya orang Islam, bahkan seantero dunia tahu bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Hairan, kerana semasa pemerintahan khalifah-khalifah Islam, rakyat benar-benar boleh memberi pandangan tanpa diancam dengan ISA atau Akta Hasutan. Bahkan seorang rakyat pernah mengatakan akan memancung kepala Saidina Omar (kalau tak silap akulah) jika beliau (Omar) menyeleweng daripada pentadbiran Islam. Nah! itu baru kebebasan bersuara weh!!

Semasa aku masih inspekter percubaan dulu dan masa kali pertama Putra World Trade Centre dijadikan tempat persidangan tahunan UMNO, aku berpeluang mendengar ucapan-ucapan oleh para perwakilan UMNO. Aku tertarik dengan ucapan seorang perwakilan dari Kedah sehinggakan ke hari ini, aku masih ingat intisari ucapannya.

Menurut beliau, ”Depa tolak, kita ansur, depa tolak lagi, kita ansur lagi, lama-lama kita jatuh lubang, mampuih kena kambus”.

Ketika itu, aku tak ambil pot pandangan perwakilan UMNO Kedah itu. Aku menganggap beliau seorang Melayu Ultra. Kebetulan masa itu negara sedang sibuk dengan kehadiran ultra melayu, satu label yang disangkutkan kepada orang-orang melayu yang takut ”Melayu Akan Lenyap Dari Dunia”.

Hari ini jika beliau masih hidup, aku ingin sangat berjumpa dengannya dan meminta maaf. Ternyata pandangan perwakilan Kedah tersebut, ketika itu, menjangkau masanya, seorang yang dapat melihat jauh ke hadapan.

Apa tidaknya. Sekarang di borang-borang kerajaan, akan dihapuskan ruangan bangsa. Pada fikiran aku yang dangkal, ini adalah langkah pertama ke arah terhapusnya bangsa melayu. Bahasa Melayu dah pun lenyap. Sekarang cuma ada Bahasa Malaysia. Setakat ini maths dan sains masih diajar dalam Bahasa Inggeris.

Tanah reserve Melayu, sikit demi sikit telah hilang. Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor sahaja telah menelan tidak kurang 40% tanah rezab melayu. Tanah-tanah tersebut sekarang dimiliki oleh pemodal-pemodal bukan melayu terutamanya apek-apek Singapura. Di Kulai, Johor, sekarang telah ada tentera asing. Askar-askar Singapura mengawal loji air Singapura yang dibina atas bumi Tanah Melayu. Pasir kepunyaan Tanah Melayu di Johor, telah lama dijual kepada Singapura untuk membolehkan Singapura membesarkan negaranya.

Nak tanya sikit. Di mana anda boleh jumpa di Negara Islam Malaysia ini, sebuah masjid dibina tersergam indah ditengah-tengah pusat membeli belah yang berprestij. Kalau jumpa tolong tunjukkan kepada saya. Kalau tak jumpa juga, saya syorkan anda buka mata luas-luas dan lihat rumah ibadat apa yang tersergam indah di tengah-tengah dan menjadi sebahagian dari Mid Valley Shopping Centre.

Aku rasa, apa yang sedang berlaku ke atas orang melayu hari ini ialah satu pengorbanan yang perlu dilakukan oleh Bangsa Malaysia keturunan Melayu, demi mengrealisasikan 1Malaysia. ”Depa tolak, kita ansur, depa tolak lagi, kita ansur lagi, lama-lama kita jatuh lubang, mampuih kena kambus”. Eloklah tu.

Sebelum aku blah, boleh tanya sikit tak? Kalau nak hapuskan ruangan ”bangsa” pada borang-borang rasmi kerajaan demi menghidupkan 1Malaysia, kenapa masih ada sekolah Bahasa Cina dan Bahasa Tamil?

Siapa sebenarnya, pengkhianat bangsa?.

Hingga jumpa lagi, Salam Semerluki.

No comments: