Wednesday 2 September 2009

BACULKAH PDRM

Cerita mengenai penduduk Kampong Buah Pala, Pulau Pinang, menghalang sebuah van polis daripada membawa 3 orang AJK kampong berkenaan keluar daripada Balai Polis Jelutong sebagaimana disiarkan oleh The Star 31 Ogos 2009 membuat saya rasa bersyukur, yang saya hanya tinggal 445 hari sebelum menanggalkan uniform biru PDRM. Bukan tak sayang PDRM, yang darinya saya dapat gaji untuk sara anak bini, ibu bapa dan diri saya sendiri untuk hidup. Cuma kalau orang yang kita sayang dah tidak lagi senonoh dan tak boleh berubah perangai, sebagaimana mula kita berkasih sayang, tak patutkah kita humbankan minah atau mamat tu ke dalam longkang. Kata arwah atuk saya, menabur kasih biar bertempat.

Berita tersebut membuktikan betapa bacul, dayus dan hinanya PDRM hari ini sehinggakan boleh digertak-gertak dan dihalang daripada menjalankan tugas. Kalau ahli silat, lagi lama berguru, makin banyak bersilat, makin banyak pengalaman, semakin pendekar. Berbeza nampaknya dengan PDRM, makin lama (202 tahun) menjalankan tugas makin menikus kepada pesalah undang-undang. Kalau setakat tunjuk lagak dan tengking anak buah sendiri sana sini, itu ibarat hero/heroin kampung aje (macam kebanyakkan ahli-ahli sukan negara kita).

Mengapa begini jadinya PDRM. Dari sebuah ajensi penguatkuasa bertukar menjadi agensi yang tidak berkuasa. Inilah padahnya kalau organisasi bukan politik ingin menjadi sebuah badan politik atau pemimpinnya (organisasi) nak jadi ahli politik. Cara berfikir ahli politik Malaysia, lain sikit. Pengurus tulen bertindak untuk memastikan objektif organisasi tercapai. Ahli politik Malaysia bertindak bagi memastikan keuntungan peribadi terlaksana. Itu sebabnya pada hemat saya ahli politik rajin membuat keputusan yang salah tetapi popular dan boleh meraih undi dan bukan keputusan yang menguntungkan negara dan rakyat tetapi boleh menyebabkan mereka hilang undi.

Sosek-sosek dengan Spy Leman, saya dapat tahu bahawa van polis tersebut membawa 3 orang AJK Kampong Buah Pala untuk mendapatkan perintah reman daripada majistret. Beberapa laporan polis telah dibuat bahawa ketiga-tiga mereka ini telah mengancam (i.e. ugutan jenayah) beberapa orang pemaju perumahan. Bermakna ketiga-tiga hamlau ini adalah saspek dalam satu kes jenayah dan boleh dituduh di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan.. Tetapi oleh kerana dihalang oleh orang ramai, saspek dibebaskan dengan jamin polis sahaja. Bukti bahawa polis buat kerja bukan ikut undang-undang tetapi ikut kehendak penjenayah.

Saya tidak ada ijazah undang-undang tetapi sebodoh-bodoh saya, saya tahu bahawa menghalang penjawat awam menjalankan tugas adalah satu kesalahan undang-undang. Pegawai polis adalah penjawat awam. Bawa saspek ke mahkamah untuk dapatkan reman adalah satu tugas rasmi. Menghalang van polis yang bawa saspek ke mahkamah adalah menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Habis kenapa tak ambil tindakan undang-undang di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan. Untuk makluman anda, sepanjang 32 tahun bertugas saya telah 4 kali mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang kerana cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas terhadap mereka yang enggan bekerjasama dengan saya, Sekali tu apabila saya cuba membawa anak seorang Dato’ ke balai polis untuk siasatan. Dato’ itu ok, yang terlebih adalah saudara mara dia, konon anak Dato’ tak boleh tangkap. Tapi itu cerita lama.

Pejam celik-pejam celik, lambat laun saya akan menjadi Joe Public (orang awam). Itu yang membuat saya gusar dan gundah gulana. Sebagai orang awam, saya mengharapkan pihak polislah untuk menjaga dan menjamin keselamatan persekitaran di mana kami bergerak supaya saya dan ahli keluarga dapat hidup dengan selamat. Tapi kalau (pada pandangan saya) pihak yang bertanggungjawab menjaga keamanan negara, asyik tekun menjaga kepentingan golongan tertentu, kepada siapa lagi saya dan rakyat hendak menaruh harapan (macam lagu Zaiton Sameon plak).
Hingga membebel lagi, salam chup chup dari:-
Uncle B

1 comment:

Anonymous said...

Yes, you are right. Spot on. Top level bosses are just not into the core work, they are becoming like politicians.